Skip to content

Ucapan Perbahasan Belanjawan Negeri Pahang 2025 oleh Ahli Dewan Negeri Tanah Rata Ho Chi Yang pada 4 Disember 2024

1. Mempertingkatkan Jaringan Keselamatan Pekebun Bagi Mengurangkan Risiko Kerugian Sektor Pertanian

Perubahan iklim memberi kesan besar kepada sektor pertanian, termasuk ketidaktentuan cuaca, musim tidak stabil, dan cuaca ekstrem. Pada September 2024, ribut kencang di Cameron Highlands mengakibatkan kerosakan struktur kebun dan kerugian besar kepada pekebun sayur. Harga sayuran yang tidak stabil dan rendah turut memburukkan lagi keadaan, khususnya bagi pekebun kecil dan sederhana.
(a) Memperkenalkan Agricultural Index Insurance
  • Insurans ini menggunakan pendekatan inovatif dengan penilaian risiko pertanian berdasarkan indeks faktor yang mudah diukur, seperti taburan hujan dan purata hasil.
  • Contohnya, Agrobank baru melancarkan Takaful Tanaman Padi yang menyediakan bantuan kewangan kepada petani yang terjejas oleh bencana alam, perosak, dan penyakit.
  • Skim ini mampu mengurangkan risiko kerugian tidak dijangka dan meringankan beban pekebun.
  • Maka, saya mencadangkan agar skim takaful ini dilancarkan dan melibatkan lebih ramai pekebun, termasuk di Cameron Highlands, untuk memperkukuh jaringan keselamatan pekebun, terutamanya bagi mengurangkan kerugian besar akibat bencana dan membolehkan pekebun terus melabur dalam meningkatkan produktiviti.
(b) Menubuhkan Tabung Bencana Pertanian Cameron Highlands
  • Sebagai langkah mitigasi, saya juga mencadangkan sebahagian kecil daripada kutipan sewaan oleh Pahang Corporation dikekalkan untuk menjadi tabung bencana pertanian Cameron Highlands demi membantu mengurangkan beban pekebun.

2. Mempertingkatkan Infrastruktur Dan Dasar Untuk Memajukan Teknologi Sektor Pertanian


(a) Menyeru kerajaan negeri untuk memperluaskan penggunaan sistem pengurusantanah elektronik (e-tanah) dengan memasukkan maklumat berkaitan tanah pertanian yang diuruskan oleh Pahang Corporation.
  • Langkah ini bertujuan memastikan urusan tanah lebih telus dan efisien, sekali gus mempercepatkan transformasi teknologi dalam sektor pertanian.

(b) Menyeru kerajaan negeri untuk melanjutkan tempoh pajakan tanah pertanian di Cameron Highlands bagi memberikan jaminan tanah yang lebih kukuh kepada para pekebun.

  • Pendekatan ini dapat disokong dengan langkah-langkah sistematik bagi menggalakkan pekebun beralih ke arah pertanian mampan.

(c) Meningkatkan Kesambungan Luar Bandar untuk Memperkenalkan Teknologi
dalam Sektor Pertanian

  • Kerajaan perlu meningkatkan kesambungan luar bandar, termasuk kawasan terpencil, agar lebih ramai pekebun boleh mempunyai fasiliti Internet.
  • Ini akan menjadi asas untuk memperkenalkan teknologi yang mampu mengatasi jurang digital.

(d) Penyelidikan Khas untuk Membangunkan Sektor Pertanian Tanah Tinggi

  • Di Cameron Highlands, saya mencadangkan agar Kerajaan Negeri boleh bekerjasama dengan Kementerian dan agensi kerajaan seperti MARDI untuk menubuhkan institusi penyelidikan khas bagi pertanian tanah tinggi.
  • Penyelidikan ini perlu lebih khusus, fokus, dan berorientasikan masalah dan cabaran tempatan demi memperkenalkan strategi spesifik yang mampu membantu pembangunan sektor pertanian.

3. Penubuhan Jawatankuasa Kerja Antara Negeri Untuk Menangani Isu Sempadan

  • Isu penutupan Laluan Persekutuan FT185 Simpang Pulai-Cameron Highlands di KM43.4 akibat tanah runtuh jelas membuktikan bahawa isu yang berlaku di sempadan sebenarnya melibatkan lebih banyak pihak.
  • Dalam konteks ini, penutupan jalan tersebut adalah di bawah kuasa negeri Perak, tetapi ia merupakan jalan perhubungan utama bagi ramai penduduk, pekebun dan pelancong di Cameron Highlands.
  • Maka, saya mencadangkan agar satu jawatankuasa kerja yang melibatkan kedua-dua pihak atau negeri ditubuhkan sekiranya insiden sebegini berlaku di kawasan sempadan, agar agensi kerajaan dan wakil kerajaan dari kedua dua negeri dapat duduk bersama dan membincangkan solusi bersama bagi mengambil kira pendapat semua pihak berkepentingan, dan segala kerja dapat dijalankan dengan lebih cepat.

4. Memperkasa Pendidikan Berasaskan Bahasa Ibunda Orang Asli Untuk
Meningkatkan Tahap Pendidikan

  • Masalah ketidakhadiran atau keciciran pelajar ke sekolah adalah antara masalah pendidikan yang agak serius dalam kalangan pelajar Orang Asli.
  • Salah satu faktor sebahagian pelajar Orang Asli enggan pergi ke sekolah, terutamanya sekolah menengah, adalah kerana mereka tidak biasa meninggalkan tempat tinggal mereka dan mempunyai harga diri yang rendah.
  • Maka, saya mencadangkan agar Kerajaan negeri dan Pusat melahirkan tenaga pengajar dari kalangan kaum Orang Asli sendiri.
  • Selain itu, saya juga mencadangkan agar satu kajian menyeluruh dijalankan mengenai sama ada pengajaran bahasa ibunda Orang Asli boleh diajar di sekolah rendah dan menengah.
  • Tindakan ini bukan sahaja mampu menarik minat pelajar Orang Asli untuk belajar, tetapi turut meningkatkan harga diri (self-esteem) mereka agar tidak rasa terpinggir atau tidak difahami oleh kaum lain.
  • Kajian membuktikan bahawa pendekatan pendidikan berasaskan bahasa ibunda (Mother Tongue-Based Education Approach) dapat meningkatkan literasi dan pembelajaran pelajar, termasuk murid dari Masyarakat Melayu Patani di Thailand.
  • Pelajar yang dipaksa belajar dalam bahasa selain bahasa ibunda, seperti Thai, sering mengalami kesukaran dalam pembelajaran, mendapat keputusan teruk dalam peperiksaan, dan tidak hadir ke sekolah.
  • Maka, sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan usaha memartabatkan kedudukan Orang Asli agar mereka turut menikmati kemajuan sosioekonomi seperti kaum lain di Pahang dan Malaysia.