Skip to content

Ucapan Perbahasan Lim Guan Eng, ADUN bagi Kawasan Air Putih yang menyokong usul ke atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dalam Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang Ke-14

Yang Berhormat Yang di Pertua, saya mohon mencadangkan bahawa kami Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, memohon mengucapkan terima kasih kepada TYT Yang di Pertua Negeri Pulau Pinang kerana berkenan melafazkan ucapan kepada Dewan ini di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang ke 14 pada 3 Ogos 2018.

Semoga TYT Tun dan Toh Paan senantiasa dalam keadaan yang sihat walafiat agar dapat terus memimpin negeri Pulau Pinang ke landasan yang lebih maju, makmur dan sejahtera untuk rakyat. Saya meminta maaf tidak dapat hadir hari perasmian kerana terpaksa menghadiri mesyuarat Kabinet pada hari yang sama.

TYT Tun telah merasmikan Pembukaan Dewan Undangan Negeri untuk memulakan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-14 yang bersejarah selepas menyaksikan peralihan kuasa di peringkat kerajaan Perseketuan buat kali pertamanya dalam 61 tahun. Akhirnya pemerintahan kerajaan perseketuan dan negeri berjaya disatukan di bawah satu gabungan kepartian yang baru buat kali pertamanya sejak Merdeka pada 1957.

Tahniah diucapkan kepada YAB Perdana Menteri baru dan yang paling tua di dunia YAB Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan Kabinet beliau. Tahniah juga diucapkan kepada YAB Ketua Menteri baru dan kelima Pulau Pinang YAB Chow Kon Yeow.

Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakyat Pulau Pinang atas keyakinan mereka ke atas kempen UBAH menggantikan regim BN yang rakus dan rasuah, yang dicetuskan dalam PRU-12 pada 2008 bila Pulau Pinang jatuh di bawah Pakatan dengan memenangi 29 daripada 40 kerusi DUN. Dalam PRU ke 13 dan 14, bukan sahaja Pakatan berkekalan kuasa malah menambah kerusi DUN Pulau Pinang sehingga PRU-14, bila Pakatan memenangi 37 daripada 40 kerusi Dun.

Ada yang menyatakan proses demokrasi dan reformasi telah mula pada tahun 1998, bila Presiden baru PKR(tahniah kepada beliau) dan bakal Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat pada 2 September dan kemudian dipenjarakan. Sebelum itu saya telah pun dipenjarakan pada 24hb Ogos 1998 kerana mempertahankan seorang gadis Melayu bawah umur yang diperkosa tetapi perogol tidak ditahan sebaliknya mangsa bawah umur ditahan.

Kita tidak harus lupakan sumbangan parti pembangkang sebelum 1998 yang memastikan obor demokrasi dan reformasi terus bernyala dan membara dalam hati rakyat sungguhpun berseorangan dan bersendiriran. Itulah sebabnya saya hendak memperingati pengorbanan Sdr Lim Kit Siang, pengasas parti DAP dan Ahli Parlimen Iskandar Puteri dan mendiang Karpal Singh bekas Pengerusi DAP. Juga tidak ketinggalan ialah mendiang Peter Paul Dason, Chian Heng Kai dan juga Ahmad Nor yang juga pernah menjadi ADUN dan Ahli Parlimen di Pulau Pinang. Jasamu akan dikenang selama-lamanya.

Datuk Yang di Pertua,

Tahniah atas pelantikan Datuk Yang di Pertua sebagai Speaker untuk penggal yang kedua. Saya yakin pengurusan Dewan Undangan Negeri yang lihat banyak kemajuan di bawah pimpinan Datuk Speaker akan ditambahbaik lagi sebagai simbol demokrasi yang terunggul dan institusi tertinggi dalam Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Saya juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada rakan-rakan seperjuangan Pakatan Harapan merangkumi DAP, PKR, Bersatu dan Amanah, yang turut menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 dan juga Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang kini dipimpin oleh Y.A.B. Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru, rakan saya daripada Padang Kota, yang saya yakin bahawa kesinambungan yang dicapai oleh Negeri Pulau Pinang selama ini dapat diteruskan dan dikekalkan, malah dipertingkatkan ke suatu tahap yang lebih gemilang lagi.

Dalam pilihan raya umum kali ini, Pakatan Harapan telah meraih 67.20% undi sokongan di peringkat kerusi-kerusi DUN dan 68.85% undi sokongan bagi kerusi-kerusi Parlimen di Negeri Pulau Pinang. Prestasi perolehan undi hampir sama dengan pilihan raya yang lepas, di mana Pakatan Rakyat meraih 67.5% undi sokongan di peringkat DUN dan 67.78% di peringkat Parlimen.

Perlu diingatkan pada PRU-13, Pas masih merupakan rakan sekutu kami dalam Pakatan Rakyat. Jikalau diambil keluar undi yang diraih oleh Pas, DAP dan PKR secara keseluruhannya meraih 61.35% undi sokongan di peringkat DUN pada pilihan raya yang lepas. Boleh dikatakan undi sokongan kepada Pakatan Harapan telah meningkat sebanyak 5.85% di peringkat DUN dan 6.88% di peringkat Parlimen, dan jelas menunjukkan rakyat jelata Negeri Pulau Pinang yakin terhadap pemerintahan Pakatan Harapan dalam tempoh 10 tahun yang lepas, dan seterusnya memberi sokongan yang lebih padu untuk PH memerintah negara ini.

Ini merupakan kali pertama saya kembali ke Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang selepas PRU ke-14. Tak kira mana saya duduk, saya berasa amat bangga dapat berkhidmat dan Bersama rakan-rakan seperjuangan dalam PH dalam Dewan yang mulia ini. Walaupun tidak lagi memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, dan hanya sekadar “backbencher” yang merupakan penyokong Kerajaan Negeri, saya tetap sayang Pulau Pinang dan akan kerap pulang daripada tugas saya sebagai Menteri Kewangan di Putra Jaya. Betu-betul rindu kat makanan lazat, kemesraan rakyat Pulau Pinang dan bandaraya warisan yang bersih, hijau, sihat dan selamat.

Sebagai Menteri Kewangan di peringkat kerajaan persekutuan, saya akan berusaha untuk memudahcara pembangunan lestari di Pulau Pinang, khususnya dalam mengatasi masalah kesesakan lalulintas. Di antara tiga cabaran 3C utama, Cleanliness, Crime dan Congestion of traffic, tinggallah kesesakan lalulintas yang masih perlu diatasi. Cadangan dan syor kerajaan negeri untuk memperbaiki infrastruktur asas dengan usaha sendiri, akan diberikan penekanan yang sewajarnya dan tidak dipinggirkan seperti sebelum ini.

Selain itu, peruntukan RM150 juta juga akan diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan bagi menyambung pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Pinang walaupun projek tersebut pernah dijanjikan oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini tetapi dana yang terlibat tidak pernah disalurkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Pemerintahan Pakatan Harapan di Negeri Pulau Pinang akan diperkasakan lagi dengan adanya pemerintahan yang sama di peringkat Persekutuan.

Masalah kewangan yang dihadapi oleh kerajaan persekutuan adalah serius. Bukan setakat hutang kerajaan perseketuan sebenar yang naik melambung tinggi sebanyak RM400 bilion daripada RM687 bilion kepada RM1,087 bilion atau mencecah RM1 trillion. Betapa besarnya jumlah RM1 trillion hutang kerajaan perseketuan boleh dilihat sekiranya RM1 juta dibayar setiap hari, maka masa yang diperlukan untuk melangsaikan hutang RM1 trillion ialah 2,640 tahun! Ataupun bayi yang baru dilahirkan akan hutang sekililing pinggang serta-merta sebanyak RM33,333/-.

Ini semua angkara skandal 1MDB yang melahirkan GST dan menyusahkan rakyat yang harus diberikan keutamaan untuk diselesaikan. Isu ekonomi dan rasuah yang membelenggu kemakmuran untuk rakyat adalah isu utama yang perlu diberikan perhatian. Pengaruh 1MDB masih ada lagi sehingga hutang RM50 bilion yang terpaksa dibayar oleh kerajaan perseketuan diperolehi oleh parti politik seperti UMNO, MCA, Gerakan, MIC dan parti komponen BN serta juga dana pilihanraya BN, termasuk untuk mengalahkan saya dalam Kawasan Air Putih.

Di sini perlu saya menceritakan sedikit tentang hubungan saya dengan setengah pihak dalam media suratkhabar Bahasa Cina yang menjadi renggang kerana skandal 1MDB. Perselisehan mula bila persatuan pemberita dan juru gambar memperolehi keseluruhan RM150,000 daripada 1MDB dalam PRU-13. Saya telah menyatakan ini tidak betul dan mulai dari detik inilah, setengah suratkhabar Bahasa Cina telah bertindak terhadap saya. Mujurlah mata rakyat lebih terang dan minda lebih bijaksana untuk mengenali siapa yang cakap benar dan siapa yang menabur fitnah dalam PRU-14. Sungguhpun pengundi telahpun menolak lapuran palsu setengah suratkhabar ini, “tindakan” sedemikian masih diteruskan ke atas saya dan saya akan menjauhi daripada suratkhabar Cina yang hanya mahu buat lapuran berat sebelah terhadap saya.

Marilah kita bersatu mengatasi masalah ekonomi, rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan tidaklah terbabit dalam permainan sentimen perkauman, agama dan ekstrimis yang memecahbelakan rakyat. Saya ingin merayu parti pembangkang unutk hormati keputusan dan mesej rakyat termasuk dalam pilihanraya kecil Sungai Kandis yang menolak permainan sempit dan bahaya sentimen perkauman, agama dan ekstrimis.

Di samping membayar hutang maha besar ini, kekangan kewangan boleh dilihat dengan kegagalan kerajaan perseketuan gagal membayar Refund GST dan cukai serta pemberian kontrak kepada kroni-kroni tanpa tender terbuka atau mematuhi prinsip akauntabiliti dan ketelusan. Perkara ini juga satu skandal kewangan dan perakaunan yang saya akan bongkarkan minggu ini dalam Parlimen.

Y.A.B. Ketua Menteri memang faham dengan masalah kewangan yang dihadapi oleh Kerajaan Persekutuan sehingga janji-janji dalam Manfesto Pakatan Harapan tidak dapat ditunaikan dengan masa terdekat. Di sini saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Perseketuan komited untuk melaksanakan semua janji-janji manifesto apabila kedudukan kewangan bertambah baik. Sungguhpun begitu janji Manifesto memansuhkan GST telahpun dilaksanakan tanpa menyebabkan negara jadi bankrap.

Ini akan menyebabkan kerajaan persekutuan kurang mengutip RM23 billion, RM44 bilion di bawah GST berbanding dengan RM21 bilion di bawah SST setiap tahun. Anggaplah kekurangan kutipan cukai RM23 bilion ini atau tambahan RM23 bilion untuk dibelanjakan oleh pembayar cukai, sebagai satu hadiah kepada rakyat, khususnya golongan marhaen.

Lebih daripada itu, BR1M yang kini dinamakan semula sebagai Bantuan Sara Hidup(BSH) terus dibayar dan ansuran ketiga akan dibayar pada minggu depan sebelum sambutan Hari Raya Haji Aidiladha atau Hari Raya Korban. Dan harga minyak distabilkan pada harga yang kekal pada RM2.20 seliter untuk RON 95 dan RM2.18 seliter untuk diesel dan tidak naik 47% seperti harga minyak antarabangsa telah naik daripada USD 52 setong kepada USD74.

Sungguhpun begitu, kami sedar bahawa masih ada harga barangan yang tidak turun seperti beras dan gula. Tentunya rakyat ada jimat bayaran 6% GST, tetapi hakikat harga tidak turun adalah struktural – yakni keadaan monopoli beras dan gula oleh BERNAS.

Pakatan bertekad untuk melaksanakan janji Manifesto bila keadaan kewangan dan fiskal dapat dipulihkan. Kerajaan Persekutuan tidak bernasib baik macam kerajaan negeri Pulau Pinang yang mempunyai prestasi kewangan yang baik dalam 10 tahun ini, bukan sahaja lebihan Belanjawan setiap tahun, rizab asset naik sebanyak RM1 bilion atau sekali ganda dan hutang kerajaan negeri dapat dikurangkan sebanyak 90% kepada RM62 juta, hutang yang paling rendah di Malaysia. Jangan lupa juga atas prestasi kewangan yang baik ini membolehkan PDC mendapat pinjaman sebanyak RM1.5 bilion daripada CIMB dengan jaminan daripada kerajaan negeri sahaja – satu-satunya negeri yang dapat pinjmaan sebesar ini daripada bank komersil. Kesemua ini dapat dicapai atas semangat berpasukan dan berintegriti bahawa sememangnya kerajaan yang bersih dan tak makan wang, rakyat boleh dapat wang.

Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang(LTAPP) amat diperlukan dengan kapasiti penumpang mencecah 7.1 juta penumpang tahun lepas yang melebihi kapasiti 6.5 juta penumpang. Pada bulan Jun 2018, saya difahamkan jumlah penumpang pun sudah naik sebanyak 10%. Perlunya membesarkan LTAPP menghadapi masalah kekurangan kewangan daripada kerajaan Perseketuan dan Malaysia Airport Holdings Bhd(MAHB). Itu memaksa kita cari kaedah baru secara perkongsian dengan pihak swasta seperti Air Asia untuk menjalankan kerja pembesaran dalam masa terdekat, yang juga merangkumi pembinaan sebuah Low Cost Carrier Terminal (LCCT) yang baru. Kaedah yang sama akan dipakai untuk pembinaan Pelabuhan Pulau Pinang. Semoga semua projek pembangunan boleh terus dijalankan seperti yang dirancang daripada dahulu hingga sekarang.

Di sinilah kelebihan Pulau Pinang. Kerajaan negeri atas prestasi kewangan yang baik dalam 10 tahun ini mampu melaksanakan 68 janji Manifesto Pakatan Harapan Negeri Pulau Pinang bukan macam kerajaan Persekutuan yang terhimpit dengan kekangan kewang serius kerana skandal 1MDB. Pulau Pinang boleh jadi satu simbol harapan untuk seluruh negara macam mana pengurusan kewangan yang berhemah dan bersih membolehkan janji yang menfaatkan rakyat dapat dilaksanakan. Ini akan menjadi contoh dan motivasi untuk seluruh negara bahawa sebaik kedudukan kewangan dipulihkan maka janji-janji Manifesto Pakatan peringkat persekutuan dapatlah dilaksanakan.