Puan Yang di-Pertua,
Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.
Terima kasih kerana memberi ruang dan peluang kepada Batu Kawan untuk membahaskan usul mengenai Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) bagi tempoh 2026 sehingga 2030 pada hari ini.
Tahniah diucapkan kepada YAB Perdana Menteri kerana telah berjaya membentangkan pelan pembangunan jangka sederhana negara yang strategik, berdaya saing dan inklusif, selaras dengan pendekatan yang digariskan dalam kerangka Malaysia Madani. Bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’, RMKe-13 telah memperlihatkan kesungguhan kerajaan Perpaduan dalam usaha menyusun semula struktur ekonomi negara, memperkukuh tatakelola dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat secara menyeluruh.
Tujuh aspirasi Ekonomi Madani yang menetapkan matlamat untuk meletakkan negara dalam kalangan 30 ekonomi terbesar dunia; kedudukan 12 negara teratas dalam daya saing global; perkongsian pendapatan buruh ditingkatkan kepada 45 peratus; penyertaan wanita dalam tenaga buruh pada kadar 60 peratus; kedudukan 25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah dan 25 teratas dalam Indeks Pembangunan Manusia telah mencerminkan cita-cita murni Kerajaan dalam mencapai keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi serta mengangkat martabat rakyat yang juga bertepatan dengan aspirasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerusi Visi Penang2030 yang digagaskan pada tahun 2018.
Puan Yang di-Pertua,
Tahun 2026 merupakan tahun ke-40 saya berada dalam arena politik. Melihat, memperjuangkan serta membentuk polisi kerajaan bagi tempoh yang begitu panjang bagi kemajuan pembangunan kepada negeri dan juga negara ini, saya merasakan bahawa banyak lagi yang wajar diperbaiki untuk kita mencapai status negara maju khususnya. Lihat sahaja negara-negara jiran di rantau Asia yang telah mencapai status negara maju walaupun turut dibelenggu permasalahan sendiri. Kenapa kita tidak mampu mencapai status tersebut, adakah kita masih terikat dengan belenggu struktur dalam sistem politik, ekonomi, nilai sosial, agama dan persaingan perkauman yang menghalang kita daripada mencapai potensi sebagai negara yang boleh lebih maju.
Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) bakal mengemudi negara untuk lima tahun seterusnya. Saya teramat ingin melihat pelaksanaan setiap RMK yang dirancang akan membawa negara kita ke hadapan dalam perjalanan mencapai status negara yang lebih maju. Walaupun kita akan melangkau ke RMKe-13, saya menyeru agar setiap Kementerian dan agensi bertanggungjawab terus komited menjalankan pemantauan projek-projek tersenarai dalam RMK-RMK sebelum ini secara berterusan, dilaksanakan mengikut pelan perancangan ditetapkan, dan sesekali tidak terus terkubur.
Jujurnya, pelaksanaan setiap RMK tidak akan mencapai matlamat sebenarnya sekiranya masalah struktural yang disebut di atas tidak dapat diatasi dengan berkesannya. Secara dasarnya, rakyat mengharapkan piawaian yang lebih tinggi dalam pelaksanaan, tadbir urus, demokrasi dan kebebasan sivil terhadap segala polisi serta perancangan yang diumumkan oleh Kerajaan. Kemajuan ekonomi perlu disertai dengan peningkatan dalam kebebasan bersuara, tadbir urus baik serta penghormatan terhadap hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan. Kegagalan memenuhi jangkaan ini adalah amat berisiko menimbulkan rasa tidak puas hati yang boleh dieksploitasi oleh naratif ekstremis. Sebaliknya, kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan akan diperkukuh apabila perbezaan pendapat tidak ditakuti tetapi dialu-alukan, dan apabila institusi demokrasi menunjukkan kebebasan serta integriti mereka.
Setelah beberapa tahun politik negara ini bergolak dalam ketidakstabilan dan kesan negatifnya terhadap penggemblengan iktizam negara untuk terus maju, akhirnya Kerajaan Perpaduan berjaya memulihkan keadaan negara kita dengan mewujudkan keyakinan untuk terus maju ke hadapan. Bergelar sebagai rakyat Malaysia, adalah tidak wajar kita melepaskan peluang terakhir untuk negara kita, di bawah pemerintahan Kerajaan sekarang, dalam usaha untuk memperkukuh kedudukan demi mencapai status negara maju. Aspirasi negara untuk bergelar sebuah ekonomi berpendapatan tinggi yang dipacu oleh inovasi adalah perlu disokong oleh dasar yang membangun serta mengekalkan bakat dan mengelakkan peningkatan jurang ketidaksamaan sosioekonomi. Rancangan ini perlu disertai dengan pembaharuan bermakna dalam hubungan Persekutuan-Negeri, sebagaimana yang diamanatkan oleh semangat federalisme bagi memastikan pengagihan sumber, pelaburan infrastruktur dan pemindahan fiskal yang adil bukan sahaja mencerminkan saiz penduduk atau penjajaran politik, tetapi juga keperluan pembangunan serta keadilan jangka panjang.
Sebaliknya, Kerajaan pula perlu lebih yakin dengan kemampuannya untuk memimpin rakyat ke hadapan dan tidak senang mengaku kalah kepada sentimen serta permintaan yang tidak berasas. Rakyat kini ingin melihat kejujuran dan kesungguhan dalam pentadbiran Kerajaan bagi mengubah nasib rakyat serta negara kita, dan tidak inginkan negara terus dibelenggu dengan pelbagai polimik politik yang melemahkan jati diri keseluruhan sistem yang menjadi tunjangnya.
Puan Yang di-Pertua,
Saya percaya Kerajaan Persekutuan telah menggubal sebuah Rancangan Malaysia yang terbaik walaupun menghadapi pelbagai cabaran, kekangan kewangan dan suasana ekonomi serta perdagangan dunia yang masih tidak menyakinkan. Lazimnya, kekuatan sesebuah rancangan bukan sahaja terletak pada visinya, tetapi juga pada konsistensi pelaksanaannya. Tanpa komitmen politik yang jelas dan tegas (termasuk komitmen politik kukuh untuk membasmi ancaman rasuah sistemik) serta penyelarasan berterusan, terdapat risiko berlakunya jurang antara niat dasar dan hasil yang dicapai di lapangan.
Justeru, setiap negeri memainkan peranan penting dalam menyokong pencapaian prestasi yang lebih baik di peringkat negara. Misalnya, Pulau Pinang sedia untuk menyahut cabaran dan membantu Kerajaan Persekutuan mencapai matlamat yang ditetapkan khususnya dalam mencapai objektif bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara, darjat hidup rakyat dan memperkukuh tatakelola baik ke arah merealisasikan aspirasi Ekonomi MADANI. Pulau Pinang akan terus menggembleng sumber dan penyertaan rakyat untuk mempercepat peralihan kepada ekonomi bernilai tinggi, meningkatkan pengaruh serta imej positif negara di persada dunia di samping memastikan kehidupan rakyat yang lebih sejahtera dan alam sekitar yang lestari sebagaimana diaspirasikan.
Dalam memastikan intipati Malaysia Madani yang digagaskan terus membara, kita perlu memastikan keberhasilan yang dicetuskan RMK dapat dinikmati oleh rakyat bukan hanya dalam tempoh lima tahun, sebaliknya daripada generasi ke generasi agar Malaysia terus mampu menyuntik harapan kepada darah-darah baharu yang bakal menjadi nakhoda negara kelak.
Sekian, terima kasih.