Selamat pagi dan salam sejahtera. Bekok ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi ucapan sempena Mesyuarat Kedua (Bajet 2015) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke Tiga Belas.
Y. B. Tan Sri Speaker,
Izinkan Bekok mengutarakan beberapa isu yang mempunyai impak yang serius kepada penduduk kawasan yang Bekok wakili pada hari ini.
Pertama, Bekok ingin membangkitkan persoalan tentang sistem pengangkutan awam yang tidak lengkap dan sempurna sehingga memudaratkan penduduk di kawasan Labis. Bekok ingin menekankan sekali lagi pada dewan yang mulia ini bahawa Jalan Segamat – Yong Peng merupakan jalan persekutuan dan utama yang merangkaikan kawasan utara dan selatan Labis serta menghubungkan aktiviti ekonomi dan interaksi antara penduduk Labis dengan luar. Namun begitu, bilangan kes kemalangan jalan raya semakin meningkat di bahagian jalan ini terutamanya di simpang jalan masuk ke taman perumahan.
Walaupun Bekok pernah membangkitkan isu ini supaya menarik perhatian pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang segera demi mencegah kes kemalangan berlaku, tetapi nampaknya bilangan kes kemalangan jalan raya yang telah berlaku sehingga kini tidak pernah diturunkan. Keadaan ini bagaikan masuk angin keluar asap jika pihak yang berkuasa tidak mengambil tindakan yang sewajarnya dengan segera.
Y. B. Tan Sri Speaker,
Sebenarnya, punca utama yang menyebabkan fenomena berlakunya kes kemalangan di kawasan ini adalah disebabkan oleh reka bentuk, perancangan dan keadaan jalan raya yang tidak sempurna dan kemudahan jalan raya yang tidak cukup di kawasan tersebut. Maka, Bekok ingin bercadang atas permohonan dan hasrat penduduk Labis dan pengguna jalan raya supaya kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas yang profesional untuk merancang semula langkah-langkah yang patut diambil demi mengurangkan kes kemalangan jalan raya yang berlaku di kawasan tersebut sehingga dapat mengurangkan kerugian nyawa, kecederaan pengguna jalan raya dan harta benda awam.
Tambahan pula, Bekok ingin mencadangkan supaya memperluaskan dan menaiktarafkan jalan raya di kawasan persekitaran taman perumahan terutamanya di bahagian depan Taman Sentosa yang berlengkok lagi sempit. Bekok juga ingin mohon jasa baik pihak kerajaan negeri untuk menimbangkan hasrat umum masyarakat Labis agar menambah kemudahan keselamatan di jalan persekutuan, iaitu memasang lampu isyarat di simpang masuk ke taman perumahan seperti di Taman Labis / Taman Perwira dan Taman Gunung Emas, depan pintu Sekolah Menengah Kebangsaan Labis di Labis dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bali di Chaah untuk menjaga keselamatan pelajar dan pengguna jalan raya.
Sementara itu, penduduk Labis juga ingin memohon supaya melukis garis kuning yang bertujuan untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya supaya memperlahankan kelajuan kenderaan mereka dan mengadakan “traffic islands” yang bertujuan untuk memberi ruang yang cukup kepada kenderaan yang ingin masuk ke taman perumahan di bahagian depan simpang masuk ke taman perumahan sekitar Jalan Persekutuan Segamat – Yong Peng. Langkah-langkah yang dicadangkan ini adalah lebih berkesan untuk mencegah dan mengurangkan kes kemalangan jalan raya yang tidak diingini berlaku di kawasan tersebut. Hati Bekok seperti kaca terhempas ke batu apabila setiap kali diberitahu bahawa terdapat pengguna jalan raya bercedera atau terkorban dalam kemalangan jalan raya. Justeru itu, Bekok ingin menyeru pihak berkenaan supaya mengambil berat dan tindakan yang segera untuk menangani masalah ini demi menjaga kebajikan awam.
Y. B. Tan Sri Speaker,
Keadaan Jalan Segamat – Yong Peng amat teruk. Keadaan jalan raya yang tidak rata dan berlubang amatlah berbahaya dan menyusahkan para pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal. Keadaan ini merupakan salah satu punca yang mengakibatkan kenaikan kadar kemalangan jalan raya di kawasan tersebut. Ini adalah kerana kebanyakan pengguna jalan raya selalunya terpaksa mengelakkan lubang besar atau jalan yang tidak rata sehingga terlanggar dengan kenderaan lain dengan tidak sengaja dan tanpa disedari.
Bukan itu sahaja, keadaan jalan raya di kawasan perumahan juga agak tidak memuaskan. Kebanyakan jalan raya yang baru diturap tar mula berlubang dalam jangka masa yang pendek. Siapakah yang bertanggungjawab untuk menyelenggarakan jalan raya yang bermasalah? Adakah kontraktor yang berkenaan akan disenaraikan dalam senarai hitam?
Tambahan pula, tiada satu garis panduan yang piawai tentang pembinaan bonggol jalan di kawasan perumahan. Keadaan ini telah menyebabkan ada sesetengah bonggol jalan raya yang dibina adalah terlalu tinggi dan lebar sehingga menyebabkan penunggang motosikal dan basikal terjatuh serta ada tapak kereta pula terkena pada bonggol jalan raya yang terlalu tinggi apabila melaluinya. Jika bonggol jalan raya adalah terlalu tinggi dan cat kuning yang sudah tertanggal, maka, keadaan ini sangatlah membahayakan dan menyusahkan para pengguna jalan raya.
Oleh hal yang demikian, Bekok menyeru pihak yang berkenaan menggariskan satu panduan piawai tentang pembinaan bonggol jalan raya di kawasan perumahan. Bekok juga berharap supaya pihak berkuasa menumpukan perhatian dalam pemilihan kontraktor pembinaan jalan raya yang sesuai serta mengambil tindakan terhadap kontraktor yang tidak menunaikan obligasi mereka dengan baik supaya kerajaan tidak akan mengalami kerugian. Pihak berkuasa juga diseru supaya sentiasa menyelenggara jalan raya dengan baik demi menjaga kebajikan dan manfaat para penghuni tempatan serta pengguna jalan raya.
Y. B. Tan Sri Speaker,
Perkhidmatan keretapi amatlah penting untuk menghubungi bandar utara dan selatan di Semenanjung Malaysia dengan Bekok. Kekurangan perkhidmatan pengangkutan awam di Bekok telah menghalang perkembangan aktiviti ekonomi, pelancongan dan interaksi antara penduduk Bekok dengan bandar-bandar utara dan selatan. Bekok bercadang supaya kerajaan negeri mengadakan stesen keretapi di Bekok dan Labis dalam Projek Pembinaan Landasan Berkembar Keretapi dari Gemas ke Johor Bahru. Cadangan alternatif termasuklah menyediakan perkhidmatan “shuttle bus”, iaitu bas tempatan yang menghubungi kawasan Labis, Bekok dan Chaah. Langkah-langkah ini bukan sahaja akan memudahkan penduduk Bekok, malah juga dapat menggalakkan perkembangan sektor pelancongan di Taman Negara Johor Endau – Rompin (Selar) dan Air Terjun Sungai Bantang, Bekok. Kerajaan negeri tidak patut meminggirkan Bekok daripada pembangunan dan perkembangan ekonomi dan sektor pelancongan ekoran daripada Projek Pembinaan Landasan Keretapi Berkembar yang memakan belanja berjuta-juta Ringgit Malaysia yang akan dimulakan di negeri Johor.
Sementara itu, Bekok ingin menekankan dan bercadang agar membina satu jalan yang menghubungkan Bekok dengan Paloh untuk meningkatkan aktiviti ekonomi dan integrasi antara penghuni Bekok dan Paloh. Bekok menggesa pihak kerajaan negeri supaya merancang untuk membina jalan ini dengan segera demi kebajikan dan kebaikan penduduk di kedua-dua kawasan ini.
Y. B. Tan Sri Speaker,
Tanpa sistem pengangkutan awam yang cekap, bagaimanakah kerajaan negeri hendak membangunkan dan mengembangkan aktiviti ekonomi dan pelancongan di Bekok yang bagaikan dipulaukan oleh bandar lain? Sekali lagi, Bekok menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan proaktif untuk menyelesaikan masalah sistem pengangkutan awam yang dihadapi oleh penduduk Bekok.
Y. B. Tan Sri Speaker,
Kedua, kerajaan negeri pernah berazam untuk membangunkan bidang pertanian di kawasan Segamat. Namun begitu, nampaknya masih tiada projek yang dirancangkan telah bermula dilaksanakan setakat ini. Projek-projek pembangunan bidang pertanian patut dimanfaatkan kepada setiap lapisan masyarakat tanpa mengira warna kulit, agama, kaum dan bangsa. Bekok berharap agar kerajaan negeri mengumumkan maklumat yang jelas dan terbuka berkaitan dengan projek pembangunan bidang pertanian di kawasan Labis supaya tidak menimbulkan perasaan serba salah kerana mempercayai khabar angin di kalangan penduduk terhadap projek pembangunan aktiviti ekonomi di kawasan tersebut.
Justeru itu, kerajaan harus meletakkan syarat yang ketat terhadap projek pembangunan yang akan dijalankan dan tertakluk kepada undang-undang. Selepas itu, maklumat-maklumat berkenaan dengan projek pembangunan yang telah disahkan harus dikongsi bersama-sama dengan majlis daerah, PBT, ahli-ahli majlis, wakil-wakil rakyat dan penduduk sejajar dengan prinsip ketelusan. “Kerbau dipegang pada tali, manusia dipegang pada katanya.” Bekok berharap supaya hasrat kerajaan untuk membangunkan daerah Segamat dalam bidang pertanian dapat ditunaikan dan memanfaatkan penduduk dalam Daerah Segamat.
Y. B. Tan Sri Speaker,
Kerajaan negeri harus menubuhkan satu jawatankuasa khas yang bertanggungjawab untuk memantau projek-projek pembangunan sektor pertanian dalam negeri Johor seperti Projek Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan dan pelaksanaan strategi pemberian bantuan kepda pekebun-pekebun kecil. Projek Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan harus dipantau dari segi hasil tanaman, kegunaan tanah tanaman, perancangan semula tanah tanaman yang terbiar, pemberian bantuan kepada pemohon yang memerlukan sahaja dan sebagainya.
Selain itu, kerajaan negeri harus membantu penanam dalam pembinaan infrastruktur seperti sistem pengairan dan jalan raya yang sempurna yang bertujuan untuk meningkatkan hasil dan mengangkut hasil tanaman ke pasaran. Sebagai contoh, penanam di 18 Sengkang, Bukit Gambir, Ledang selalu menghadapi masalah kekurangan air semasa musim kemarau dan jalan raya dimusnahkan apabila banjir kilat. Adakah kerajaan negeri pernah mengambil berat tentang situasi penanam di 18 Sengkang yang susah terutamanya apabila berlakunya bencana alam?
Bekok menyeru pihak berkuasa mengambil berat dan langkah-langkah yang berpatutan untuk menolong pekebun kecil apabila menghadapi masalah kejatuhan harga tanaman mentah seperti getah dan kelapa sawit. Bekok telah menerima banyak aduan daripada pekebun getah kecil bahawa garis panduan permohonan bantuan akibat kejatuhan harga getah adalah amat mengelirukan para pemohon kerana cara dan syarat permohonan tidak dinyatakan dengan jelas. Keadaan ini telah menyebabkan mereka yang memerlukan bantuan dan berkelayakan kehilangan peluang untuk memohon bantuan. Bekok berharap agar bantuan ini betul-betul dapat membantu mereka yang memerlukan dan meringankan kebebanan mereka.
Y. B. Tan Sri Speaker,
Usaha kerajaan negeri untuk membangunkan bidang pertanian tidak boleh hanya menumpu kepada beberapa tanaman komersial sahaja. Malah, kerajaan negeri harus membangunkan pekebun kecil, penternakan ayam, lembu daging dan kambing serta bidang perikanan. Usaha pembangunan bidang pertanian tidak hanya terhad kepada pemberian insentif kepada pengusaha sahaja, malah kerajaan negeri harus peka terhadap masalah pengusaha secara bersifat jangka panjang dan kompleks. Kerajaan negeri harus menyalurkan teknik yang lebih saintifik dan berteknologi kepada pengusaha tradisional. Dalam konteks belanjawan negeri, adalah wajar kerajaan menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi mengatasi masalah pengusaha secara menyeluruh dan berstruktur serta mampu memberi kesan positif kepada ekonomi pertanian dan hasil pertanian tempatan. Tetapi dengan pemberian insentif kepada setiap pengusaha pertanian, apakah kesan jangka yang depan yang boleh diharapkan oleh pihak kerajaan negeri? Janganlah nelayan mengharapkan pancing, tetapi diberi ikan.
Y. B. Tan Sri Speaker,
Ketiga, kadar inflasi yang tinggi sejak kebelakangan ini telah membawa impak yang besar kepada rakyat dan amat membebankan golongan berpendapatan sederhana dan rendah terutamanya mereka yang menduduki di kawasan kampung dan pekan. Kebebanan kehidupan akan menjadi semakin berat apabila Majlis Daerah Segamat mengumumkan kenaikan kadar cukai harta dan GST juga akan dilaksanakan pada tahun depan yang dijangka akan menaikkan kadar inflasi dan lagi membebankan kehidupan rakyat. “Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.” Maka, Bekok bercadang dan berharap agar Majlis Daerah Segamat supaya pelaksanaan kenaikan cukai harta ditangguhkan atau mengurangkan kadar kenaikan cukai harta demi meringankan kebebanan penduduk dalam Daerah Segamat. Bekok juga berharap supaya tarikh pelaksanaan kenaikan cukai harta juga akan ditangguhkan di seluruh negeri Johor.
Y. B. Tan Sri Speaker,
Keempat, Bekok telah menerima aduan daripada pelancong yang pernah melawat ke tempat pelancongan di Labis seperti Pusat Rekreasi Kolam Air Panas dan Taman Negara Johor Endau – Rompin (Selar) serta Air Terjun Sungai Bantang di Bekok bahawa infrastruktur awam seperti tandas telah rosak dan tidak diselenggara dengan baik oleh pihak berkuasa. Tambahan pula, keadaan jalan raya pergi ke Air Terjun Sungai Bantang sangat tidak baik dan amat menyusahkan para pengguna jalan raya. Bagaimanakah tempat pelancongan dapat menarik perhatian para pelancong jika keadaan tempat pelancongan adalah tidak selesa dan kemudahan yang rosak walaupun Bekok dikurniakan oleh Tuhan alam semula jadi yang amat mengkagumkan dan cantik? Adakah keadaan ini dapat menunaikan cita-cita kerajaan negeri untuk membangunkan Taman Negara Endau – Rompin sebagai pusat pelancongan dan penyelidikan alam sekitar yang terunggul di Asia Tenggara.
Y. B. Tan Sri Speaker,
Kelima, Bekok juga ingin membangkitkan masalah keselamatan sosial seperti kes pecah masuk kedai dan kecurian yang sering berlaku di kawasan Chaah dan Labis sejak kebelakangan ini. Keadaan ini telah mengganggu keamanan dan ketenteraman penduduk tempatan serta mula menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan. Maka, Bekok memohon jasa baik daripada pihak berkuasa supaya menambahkan kekerapan perondaan di kawasan Chaah dan Labis terutamanya di tempat yang pernah berlakunya kes kecurian pada waktu awal pagi dan lewat malam demi memerangi dan mencegah kes jenayah di kawasan tersebut. Bekok juga bercadang supaya menambah anggota polis di kawasan ini untuk menjaga keselamatan awam dan memerangi masalah jenayah.
Y. B. Tan Sri Speaker,
Sejak tahun lepas, Bekok telah menerima beberapa aduan daripada pemohon bantuan kebajikan di Pejabat Kebajikan Masyarakat Labis bahawa mereka sering ditanya tentang pendapat sokongan parti politik kesukaan mereka. Mereka ditanya siapakah calon dan apakah parti politik yang disokong dan dipilih semasa Pilihan Raya Umum Malaysia Ke-13 apabila menghadiri temu duga. Setakat kini, masih terdapat pemohon ditanya dengan persoalan ini walaupun sudah setahun PRU Ke-13 telah lalu. Apakah perkaitan soalan seperti ini dengan permohonan bantuan kebajikan? Adakah penolong pegawai ingin menunjukkan “sesuatu” atau memberi amaran kepada para pemohon tentang arah tuju pemilihan parti politik? Bekok sangat tidak berpuas hati dengan sikap dan tindakan penolong pegawai kebajikan tersebut.
Pemberian dan menghulurkan bantuan kepada seseorang yang memerlukan merupakan suatu tindakan yang amat mulia dan tidak patut mengira warna kulit, kaum, bangsa, agama mahupun arah tuju sokongan parti politik. Penolong pegawai kabajikan tersebut tidak patut berbuat demikian dan menyusahkan pemohon semasa temu duga. Kita patut menolong mereka yang lemah dan memerlukan bantuan dari segi humanistik dan bukan sebaliknya. Harap penolong pegawai kebajikan tersebut dapat menyedarkan diri dan menunaikan obligasinya yang mewakili imej kerajaan dengan telus hati dan baik.
Y. B. Tan Sri Speaker,
Itulah ucapan Bekok pada hari ini. Sekian terima kasih.