Skip to content

Ucapan Perbahasan sempena Pembentangan Bajet 2015 Negeri Johor oleh ADUN Bentayan Chua Wee Beng

Salam sejahtera Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

Bentayan amatlah bersyukur dan ingin menzahirkan ucapan terima kasih kerana turut diberikan peluang untuk turut sama membahaskan Belanjawan 2015 di Dewan yang mulia ini. Bentayan ingin memulakan perbahasan pada hari ini dengan menekankan salah satu daripada peranan fundamental sesebuah kerajaan adalah untuk mengagihkan pendapatan. Peranan ini timbul daripada keperluan untuk menangani kecekapan pasaran dan juga untuk mempelopori pembangunan ekonomi yang mempunyai kepentingan strategik.

Kembali kepada fokus terhadap belanjawan negeri Johor 2015. Setiap tahun Kerajaan akan meletakkan sasaran dan polisi dalam bentuk angka di dalam bajet dan juga kerangka polisi fiskal di dalam ucapan pembentangan belanjawan. Apa yang sering menjadi cabaran adalah untuk berpegang kepada prinsip pentadbiran yang baik ataupun hanya sekadar mengangkat polisi atau agenda yang popular.

BAJET DEFISIT ATAU BAJET LEBIHAN

Kita juga nampaknya sedikit kabur dalam menterjemahkan bajet defisit dan bajet lebihan. Apabila kita melihat belanjawan 2015 ini sekali imbas, ia cuba untuk membuatkan kita mempercayai bahawa ianya adalah merupakan satu bajet lebihan. Tetapi jika kita lihat dengan teliti, anggaran perbelanjaan pembangunan tidak ditolak daripada hasil yang diperolehi. Nampaknya kita hanya membelanjakan hampir 100% daripada hasil yang diperolehi untuk urusan pentadbiran sahaja.

Jadi bagaimanakah dapat kita tafsirkan belanjawan 2015 ini?

DANA PEMBANGUNAN YANG SEMAKIN MENGECIL

Selain daripada itu Tan Sri Speaker, jika kita bandingkan jumlah anggaran perbelanjaan pembangunan ini dengan tahun-tahun yang lepas, kita akan dapat melihat nilai peruntukkan pembangunan ini semakin menyusut tahun demi tahun. Pada tahun 2013, kita telah memperuntukkan sebanyak RM 904 juta untuk peruntukkan pengurusan dan hanya RM 297 juta ataupun 24.74% untuk peruntukkan pembangunan.

Manakala untuk tahun 2015, kita memperuntukkan RM 1.235 billion untuk peruntukkan pengurusan dan RM 366 juta untuk peruntukkan pembangunan. Walaupun jika dilihat dengan mata kasar terhadap peningkatan angka namun hakikatnya berlaku penurunan peratusan iaitu hanya sekadar 22.86% sahaja peruntukkan pembangunan yang diperuntukkan dalam keseluruhan Belanjawan 2015 ini.

Ramai yang menyangka bahawa mentadbir sebuah negeri ini adalah seperti mentadbir sebuah perniagaan. Hakikatnya falsafah pentadbiran sebuah kerajaan tidaklah mirip falsafah pentadbiran sebuah konglomerat. Perbedaannya adalah dari segi mengumpulkan keuntungan. Kerajaan mendapat lebihan daripada perbelanjaan adalah dengan cara memungut daripada rakyat. Lebih besar keuntungan yang diperolehi sebenarnya turut bermaksud lebih berat beban yang sedang ditanggung oleh rakyat.

Falsafah pemerintahan Kerajaan tidaklah tertakluk hanya kepada mengumpul keuntungan semata-mata tetapi juga turut mengangkat agenda kesejahteraan sosial rakyat. Kerajaan seharusnya memberikan lebih banyak bantuan dan insentif untuk kesejahteraan rakyat dan bukannya mengaut keuntungan dan memilih untuk mengadakan satu belanjawan yang lebih seimbang.

PEMBERIAN KEPADA NELAYAN

Bentayan bersetuju dengan pemberian RM 1000 kepada 1800 nelayan yang terjejas di selatan Johor kerana projek pembangunan. Tetapi seperti juga BR1M, ia bukanlah cara penyelesaian jangka panjang terhadap isu pendapatan nelayan yang terjejas. Pepatah cina ada menyatakan bahawa kita tidak boleh selalu memberi ikan tetapi kita juga perlu memberikan mata kail dan umpan untuk mereka berdikari.

Kerajaan Negeri boleh mencontohi Sabah yang mewujudkan usaha melatih nelayan mereka dengan skil menghasilkan kraftangan tradisional untuk dipasarkan di pasar kraftangan minggu. Para nelayan ini perlu diberikan latihan untuk mencipta satu peluang baru untuk mereka meraih pendapatan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

Jika RM 1000 ini juga dijadikan sebagai bayaran pampasan saguhati kepada nelayan, ia juga tidak mencukupi berbanding dengan keuntungan ratusan juta yang bakal diperolehi oleh pemaju.

Tan Sri Speaker,

IDEALISME VS REALISME

Bentayan ingin menarik perhatian semua ahli Dewan yang mulia ini akan konsep idealisme dan realisme terhadap lembaran belanjawan negeri 2015.

MARINE CONSERVATION

Malaysia merupakan antara 6 buah negara yang digelar Coral Triangle dengan izin dimana 30% terumbu karang dunia terletak di negara kita dan mempunyai 75% daripada spesis karang yang diketahui. Perairan kita juga mempunyai 3 ribu spesis ikan dan merupakan dua kali ganda daripada lokasi-lokasi lain. Sifat bio-diversified dengan izin inilah merupakan khazanah laut yang sangat berharga untuk negara kita khasnya dan dunia amnya.

Bentayan bersetuju bahawa eco-tourism dengan izin penting dalam menjana ekonomi namun di dalam masa yang sama aspek penjagaan dan pemuliharaan hidupan marin juga perlu diambil kira agar tidak menjejaskan industri perikanan kita. Perikanan juga merupakan sumber yang sangat penting di Malaysia dimana setiap rakyat mengambil ikan sebanyak 52 kilogram setahun sebagai makanan mereka, iaitu dalam kedudukan 10 teratas paling ramai memakan ikan di dunia.

Idea Kerajaan untuk mewujudkan pemuliharaan marin di Mersing dan mengenakan kutipan yuran aktiviti penyelaman adalah baik. Akan tetapi perlaksanaan polisi ini gagal. Bentayan telah membangkitkan berapakah jumlah kutipan yang telah terhasil semenjak ia dilaksanakan dan Exco telah memberikan jawapan tiada kutipan yang telah dijana daripada pengenalan polisi yuran aktiviti penyelaman.

Mensasarkan kepada penyelam-penyelam sahaja sebenarnya tidak menyelesaikan masalah marin di perairan kita. Menurut laporan kajian oleh World Resources Institute yang disokong oleh Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, WWF dan lain-lain persatuan dunia menyatakan bahawa 4 ancaman utama terhadap terumbu karang dan kehidupan marin adalah aktiviti masyarakat tempatan iaitu kegiatan menangkap ikan yang berlebihan, pencemaran di lembangan atau watershed pollution dengan izin, pembangunan di kawasan pesisiran pantai termasuklah di pulau-pulau dan juga pencemaran berasaskan kepada lalu lintas bot-bot dan kapal-kapal.

Sebelum kita membangunkan pulau-pulau ini kita perlulah mempunyai pelan pengurusan yang seimbang dalam membuat pembangunan dan juga menjaga alam sekitar. Penduduk di kawasan pulau termasuklah pemilik resort dengan izin perlulah mempunyai sistem sanitari yang baik terutamanya tangki septik agar sisa-sisa kumbahan tidak terus mengalir ke laut.

Kerajaan juga boleh membuat pelbagai undang-undang namun realitinya ia haruslah memikirkan dan tanpa menafikan hak semua pihak yang berkepentingan termasuklah nelayan, pelabur, penyelam dan juga generasi masa depan. Setiap pembangunan yang ingin dirancangkan di kawasan pulau-pulau ini haruslah tidak meminggirkan salah satu pihak ini.

Jika pemuliharaan kehidupan marin ini dilakukan dengan seimbang di antara eko-pelancongan, pengurusan penangkapan ikan dan sebagainya, ia bukan sahaja akan memanfaatkan industri pelancongan tetapi juga akan membolehkan kita mempunyai hasil makanan laut sebanyak 5 hingga 15 tan bagi setiap kilometer persegi dalam setahun untuk selama-lamanya.

YB Tan Sri Speaker,

HARGA RUMAH

Seterusnya, dalam isu perumahan juga turut mengalami pertembungan antara idealisme dan realisme. MEIA telah menyatakan pada tahun 2011 transaksi perumahan adalah 430403 unit rumah dengan nilai sebanyak RM 137.83 billion. Namun, pada tahun 2012 transaksi ini menurun kepada 427520 unit dengan nilai RM 142.80 billion.

Lebih signifikan apabila kita melihat kepada tahun 2013. Jumlah transaksi rumah menurun kepada 381130 unit tetapi nilai telah meningkat kepada RM 152.37 billion. Ini menunjukkan idea Kerajaan untuk mengawal harga rumah daripada naik telah gagal sama sekali. Kita perlu melihat semula polisi yang telah kita gariskan selama ini. Dan mula berfikir di luar kotak.

Bentayan juga ingin menarik perhatian dewan yang mulia ini berkenaan satu kes di Jalan Dato’ Haji Hassan, Mukim Bandar Maharani, Muar dimana satu lot tanah yang telah dirancangkan oleh satu pemaju untuk perumahan kos rendah tetapi tidak membinanya. Kemudian, pemaju telah memecah bahagi lot tanah ini dan menjual kepada pembeli individu. Namun, apabila pembeli ini ingin membina rumah di lot ini, permohonannya telah ditolak oleh pihak MPM kerana tanah tersebut tidak mempunyai perancangan rumah kos rendah.

Persoalannya, ia bukanlah kesalahan pembeli tersebut sebaliknya kesalahan pemaju yang tidak memenuhi tanggungjawab sosialnya dan juga pihak yang memberikan kelulusan untuk memecah bahagi lot tanah tersebut. Mengapakah pembeli individu tersebut pula yang terpaksa menanggung beban kesalahan pemaju dan pihak berkuasa tempatan?

YB Tan Sri Speaker,

GST

Seterusnya isu GST. Bentayan ingin menarik perhatian dewan berhubung dengan barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan terutamanya berkaitan dengan kemudahan kesihatan seperti pusat hemodialisis swasta. Bentayan telah pun menjalankan kajian terhadap Pusat Hemodialisis yang dimiliki oleh Lions di kawasan Bentayan dan mendapati bahawa dengan pengenalan GST nanti akan meningkatkan kos pusat terbabit sebanyak RM 9 ribu sebulan.

Bagi pusat perkhidmatan kesihatan yang diuruskan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan seperti Lions ini yang membantu mengurangkan tanggungan beban perkhidmatan kesihatan oleh Kerajaan, mereka terpaksa memilih antara menyerap kesan kos GST dan mengekalkan kadar subsidi rawatan yang berjumlah RM 50 walaupun kos sebenarnya adalah RM 120. Atau pun cakap-cakap yang kedengaran di antara pemain industri perkhidmatan kesihatan swasta ini adalah menaikkan kadar caj rawatan sebanyak RM 20.

Walaupun kos adalah berlainan di setiap pusat perkhidmatan kesihatan ini, tetapi Bentayan ingin menyimpulkan situasi ini seperti keadaan kenaikan 10 sen harga gula pasir yang akan menyebabkan kenaikan 10 sen juga pada harga secawan kopi walaupun hanya menggunakan 10g gula pasir sahaja. Dalam kes ini, idea untuk mengecualikan cukai sebenarnya telah menyebabkan kenaikan harga secara realitinya.

YB Tan Sri Speaker,

ZON HIBURAN

Rancangan Pengubahan Rancangan Pembangunan Tempatan Majlis Perbandaran Muar (Pengubahan Zon Hiburan) adalah satu rancangan yang baik untuk menyatukan premis-premis hiburan di satu-satu kawasan dan untuk memudahkan pemantauan penguatkuasaan undang-undang, kawalan trafik, pencemaran bunyi dan lain-lain perkara yang boleh menimbulkan kacau ganggu kepada masyarakat sekeliling.

Namun begitu, apa yang dicadangkan oleh Majlis Perbandaran Muar adalah melibatkan satu jajaran kawasan yang besar. Cadangan ini sebenarnya tidak menyelesaikan masalah-masalah yang digariskan dalam kertas rancangan pengubahan tersebut. Tetapi sebaliknya daripada mahu mewujudkan zon yang bersepadu, MPM telah memperbesarkan kawasan hiburan ini di sepanjang Jalan Pintasan Muar dan sebahagian Jalan Bakri yang melebihi 10 kilometer lantas menyebabkan ia lebih berselerak.

Cadangan yang dikemukakan dalam kertas ini bukanlah satu rancangan penetapan zon mengikut ertikata sebenar sebaliknya ia adalah satu rancangan yang bertentangan dengan hasrat sebenar. Idea MPM adalah untuk mewujudkan zon hiburan adalah baik namun perlaksanaannya tidak menepati sasaran.

Jika lesen hiburan keluarga dan lesen premis hiburan telah dibekukan dan pengusaha Cuma mempunyai lesen perniagaan sahaja, maka apakah rasionalnya zon hiburan ini diwujudkan?

Jadi, Bentayan telah memberikan 4 aspek idealisma dalam membuat polisi namun ia tidak membawa hasrat yang sama di dalam realism. Kerajaan perlu membuat penilaian semula polisi-polisi yang telah dan sedang diimplementasikan.

BANGUNAN WARISAN

YB Tan Sri Speaker,

** Bentayan juga ingin membangkitkan beberapa isu di sekitar kawasan Muar. Di Muar, banyak terdapat bangunan-bangunan kedai lama yang telah dibangunkan semula dengan bangunan baru dengan rekaan yang baru. Bagaimanakah usaha Kerajaan untuk memastikan pemilik premis lama ini tidak mengubahsuai struktur bangunan ini? Apakah bantuan dan insentif yang diberikan kepada pemilik premis ini untuk memastikan penjagaan dan pemuliharaan struktur bangunan warisan ini?

** Beberapa minggu yang lepas, telah diumumkan peruntukan untuk memulihara 20 buah bangunan-bangunan lama di sekitar Jalan Petrie. Bentayan mencadangkan juga agar bangunan sekolah rendah Chung Hwa 1A dan bangunan Pejabat Pelajaran Muar di Jalan Arab turut diwartakan sebagai bangunan warisan yang akan menerima peruntukan untuk memulihara bangunan ini. Bentayan juga turut ingin mendapatkan penjelasan apakah kerjasama di antara Kerajaan dan Swasta untuk menjaga dan memulihara bangunan-bangunan warisan ini.

Selain itu, Yang Berhormat Jorak dalam ucapannya semalam menyatakan bahawa Muar adalah merupakan antara lokasi yang mempunyai nurseri yang terbesar di negara ini. Bentayan juga bersetuju dengan Yang Berhormat Jorak dan Bentayan ingin mencadangkan agar kawasan sekitar Tanjung Emas dan Tanjung Ketapang dimajukan sebagai taman Botani yang menempatkan pelbagai jenis produk botani. Daripada pokok-pokok besar sehinggalah bunga-bunga. Ia akan membuka potensi menjadi produk pelancongan Bandar Di Raja selain daripada boleh juga menjadi lokasi untuk pemain-pemain industri nurseri untuk mempamerkan produk-produk botani mereka.

YB Tan Sri Speaker,

Pertambahan bilangan kenderaan terutamanya kereta di daerah Muar adalah sangat pantas dan beberapa infrastruktur jalanraya perlu ditambahbaik bagi keselesaan rakyat. Kekurangan kawasan tempat letak kereta dalam kawasan pusat bandar adalah sangat kritikal ketika ini dan menjadikan keadaan sesak di jalan-jalan utama ekoran daripada pengguna yang memberhentikan kenderaan di tepi-tepi jalan.

Maka, sebagai penyelesaian jangka pendek adalah dicadangkan agar pihak Majlis Perbandaran Muar boleh menerima pakai sistem had masa meletak kenderaan di kawasan-kawasan tumpuan seperti di hadapan bangunan pejabat kerajaan, bank-bank dan lain-lain seperti yang diamalkan di Australia. Orang ramai tidak dibenarkan untuk meletakkan kenderaan mereka sepanjang hari di kawasan terbabit sebaliknya hanya untuk satu tempoh tertentu sebagai contoh 30 minit sahaja bagi menjalankan urusan mereka di premis tersebut.

** Penambahbaikan Terminal Bas Bentayan sememangnya dapat menyelesaikan masalah tempat letak bas ekspress tetapi ia tetap tidak menyelesaikan masalah kenderaan lain yang datang menghantar atau menjemput penumpang bas. Kesesakan di hadapan Terminal bas ini tetap berlaku walaupun penambahbaikan yang menelan belanja 500,000 telah siap dilaksanakan.

** Pemindahan terminal bas ini telah pun disuarakan lebih 15 tahun. Adakah terminal bas ini akan terus digunakan atau pun rancangan pemindahan ini akan dilakukan? Bilakah tempoh rancangan pemindahan ini akan dilaksanakan? Berapa lamakah lagi terminal bas ini akan digunapakai? Sebagai penyelesaian jangka pendek, Bentayan mencadangkan hentian teksi di sebelah terminal bas ini dinaiktaraf untuk kemudahan pengguna yang ingin mengambil dan menurunkan penumpang. Selain itu, ruang bumbung di hadapan kaunter tiket bas juga perlu dilebarkan lagi untuk memberikan keselesaan kepada pengguna.

Akhir sekali, Bentayan menyambut baik usaha Majlis Perbandaran Muar menyediakan perkhidmatan aduan melalui WhatsApp sebagai satu medium untuk berkomunikasi dengan rakyat Muar dengan lebih pantas. Bentayan amat berharap agar dengan pengenalan system aduan ini, pihak MPM juga akan memberikan respons balas dan tindakan yang segera terhadap aduan-aduan yang diterima. Walaupun kami merupakan Pembangkang tetapi bukanlah kami akan hanya membangkang setiap apa yang dilakukan. Jika usaha yang memberikan manfaat yang baik kepada rakyat maka kami boleh kadangkala bersetuju dengan usaha tersebut.

Bentayan dengan ini sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Tan Sri Speaker kerana memberi peluang untuk membahaskan belanjawan 2015 ini.

Sekian, terima kasih