Selamat petang dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Tan Sri Speaker,
Terima kasih kerana sudi memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Budget 2015 dalam dewan yang mulia ini.
Bajet 2015 yang bertema “Membangunkan Johor Secara Inklusif” telah dibentangkan oleh YAB Menteri Besar.
Bajet ini merangkumi pelbagai aspek secara inklusif demi mencapai hasrat membangunkan Negeri Johor supaya menjadi sebuah negeri yang ekonominya kukuh dan berdaya saing serta rakyat hidup dalam kesejahteraan.
YAB Menteri Besar telah berkata jurang keberadaan antara yang kaya dengan yang miskin semakin melebar. Johor jaya berasa amat bimbang dengan masalah sosio-ekonomi terutamanya terhadap golongan miskin, miskin tegar atau golongan berpendapatan rendah.
Selepas PRU13, kehidupan rakyat manjadi semakin susah kerana menghadapi masalah kenaikan harga barang termasuk harga petrol naik, pemansuhan subsidi gula dan juga kenaikan harga tol di CIQ. Tidak lupa lagi, GST yang akan dilancarkan pada bulan April yang akan datang.
Oleh itu, Johor Jaya berpendapat bahawa Bajet 2015 tidak cukup menyeluruh dan seharusnya memberi lebih manfaat kepada rakyat Johor secara menyeluruh dari segi pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam, perumahan dan isu keselamatan.
Yang Berhormat Tan Sri Speaker,
Johor Jaya be ingin membentangkan Bajet 2015 dari beberapa aspek yang penting.
Isu Pembinaan SJK (C) Pei Hwa 2 – Di mana SJK( C) Pei Hwa 2 yang telah dijanjikan?
Yang Berhormat Tan Sri speaker,
Pembinaan sekolah rendah cina yang baru memang salah satu masalah yang sering kita hadapi terutamanya penduduk-penduduk sekitar Permas Jaya. Memandangkan bilangan pelajar yang semakin meningkat, sekolah rendah cina yang sedia ada akan menghadapi masalah pelajar yang terlampau ramai. Berita baik adalah kerajaan persekutuan telah meluluskan pembinaan sekolah rendah cina yang baru di Permas Jaya.
Bekas Timbalan Menteri Pendidikan pernah berkata kelulusan dan pembinaan SJK (C) Pei Hwa 2 ini merupakan salah satu sekolah rendah cina yang telah dijanjikan oleh kerajaan BN pada tahun 2008.
Di samping itu, sebelum PRU13, YAB Menteri Besar berkata bahawa atas usaha pelbagai pihak, Permas Jaya telah berjaya mendapat kelulusan untuk membina sebuah sekolah rendah cina di Permas Jaya. Ini merupakan salah satu projek yang paling besar dan beliau berkata sekiranya beliau menang dalam PRU13 di DUN Permas Jaya, beliau akan memastikan pembinaan tersebut boleh diteruskan.
Dengan janji-janji daripada pelbagai pihak, penduduk memang berasa amat gembira dengan kelulusan pembinaan tersebut kerana sebelum ini mereka terpaksa hantar anak mereka ke sekolah rendah cina yang lain seperti SJK (C) Chien Chi Masai, SJK (C) Johor Jaya, SJK (C) Chee Tong dan Foon yew 1, di mana sekolah tersebut adalah jauh dari rumah.
Majlis pecah tanah telah diupacarakan pada bulan April tahun lepas iaitu sebelum PRU13. Namun, apa yang mengecewakan penduduk-penduduk tempatan adalah kerja-kerja pembinaan tidak dijalankan sejak tahun lepas sehingga kini.
Kedudukan tempat sekolah telah dipastikan, nama sekolah telah ditetapkan, ahli jawatankuasa bagi sekolah tersebut telah diplih dan apa yang paling penting iaitu peruntukan 5.5juta telah diserahkan.
Johor jaya ingin bertanya, apa yang sudah terjadi dengan SJK(C) Pei Hwa 2? Projek pembinaan ini dijangka siap dan mula beroperasi pada tahun 2015. 2 bulan lagi adalah tibanya tahun 2015, tetapi, satu bilik kelas pun tidak siap dibina.
Peruntukan 5.5 juta telah diberi oleh Kerajaan Persekutuan. Di mana peruntukan ini sudah pergi? Walaupun projek ini di bawah kerajaan Persekutuan, namun, ini adalah tanggungjawab kami supaya memastikan dan memantau dengan pembinaan ini terutamanya, projek ini telah dijanjikan oleh Menteri Besar sebelum PRU13 iaitu beliau akan memastikan projek ini diteruskan setelah beliau menang dalam DUN Permas Jaya. Oleh itu, pihak kerajaan harus memantau pembinaan tersebut.
Saya amat berharap bahawa SJK (C) Pei Hwa 2 dapat mulanya pembinaan supaya dapat menyelesaikan masalah kekurangan sekolah rendah cina dan menampung bilangan pelajar yang semakin meningkat. Dan juga, pembinaan haruslah dijalankan sekiranya peruntukan sudah diberi. Dan bukannya biarkan peruntukan simpan dalam bank tetapi sekolah tak nampak sehingga kini.
Yang Berhormat Tan Sri speaker,
Isu Pelancongan
Bajet Negeri Johor 2015 termasuk menjadikan Johor Jauhari Selatan dan destinasi pelancongan terbaik Malaysia. Johor jaya tetap percaya bahawa Negeri Johor mempuyai kedudukan yang strategik untuk menjadi Hub Pelancongan Wilayah Selatan dan menjadikan sektor pelancongan penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Sektor Pelancongan ini bukan sahaja harus menarik minat pelancong asing tetapi juga pelancong dari Negeri Johor dan seluruh negara. Namun, Johor Jaya ingin bertanya, antara produk-produk yang disebutkan iaitu Legoland, Angry Bird, Hello Kitty world dan Johor Premium Outlet. Produk-produk ini dikira produk yang kos tinggi atau dengan izinnya, high-end. Ini mungkin hanya dapat menarik minat bagi pelancong asing dan pelancong tempatan yang mampu membeli tiket.
Ini disebabkan 60% keluarga Malaysia berpendapatan bulanan di bawah RM3000. Sebagai contoh, harga tiket bagi Legoland adalah RM175 bagi dewasa dan RM140 bagi kanak-kanak, Hello Kitty World RM75-RM110, Angry Bird RM60 bagi pemegang mykad. Purata harga tiket masing-masing lebih daripada RM100.
Sekiranya, keluarga yang mempunyai 4 anggota keluarga, iaitu ibubapa dengan 2 anak, keluarga tersebut perlu RM 630 untuk melawat Legoland sahaja. Iaitu 20% daripada pendapatan bulanan. Ini bermaksud tempat-tempat yang menarik ini mungkin tidak dapat dikunjung oleh mereka disebabkan harga tiket yang mahal dan tidak mampu dibeli.
Oleh itu, dalam usaha memajukan sektor perlancongan negeri Johor , Johor Jaya berharap pihak kerajaan jangan terlupa atau meminggir golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah.
Kedudukan Johor yang strategik di pintu masuk utama pelancong ke Malaysia dapat membantu mengembangkan industri pelancongan. Negeri Johor kaya dengan tarikan tempat pelancongan semula jadi termasuk pantai peranginan, air terjun di kota tinggi, pantai peranginan seperti Desaru.
Terdapat banyak lagi tempat pelancongan tempatan yang menarik tetapi ketinggalan atau dilupa oleh masyarakat. Kesemua tempat ini tidak perlu tiket masuk yang mahal tetapi keindahannya cukup menarik pelancong. Malangnya, kebanyakkan tempat tidak dipromosikan dengan baik atau yang lebih penting kemudahan asas yang sedia ada telah rosak atau keadaan yang kurang memuaskan tetapi tidak dibaiki atau dikatakan tidak mempunyai maintenance.
Sebagai contoh, Taman Botani Johor yang terletak di Sri Medan, Batu Pahat. Tempat ini merupakan suatu tempat pelancongan tempatan yang menarik terutamanya menarik minat pengantin untuk mengambil gambar kerana mempunyai tasik yang indah. Ahli Parlimen Kulai, YB Teo Nie Ching yang berasal dari Batu Pahat pun pernah mengambil gambar pengantin beliau di tempat tersebut.
Tetapi, menurut Laporan Audit Negara Tahun 2012, pembangunan Taman Botani dengan perancangan yang tidak teliti telah menyebabkan komponen Taman Botani dan landskap yang telah dibangunkan tidak sempurna dan tidak disenggarakan dengan baik. Kemudahan asas pula tidak dijaga dengan baik. Ini hanya salah satu contoh tempat pelancongan negeri yang sesuai untuk rakyat tempatan tetapi tidak berada dalam keadaan yang sempurna.
Dalam usaha mengembangkan industri pelancongan negeri, Johor Jaya berharap pihak kerajaan dapat mengambil berat terhadap tempat pelancongan yang sedia ada tidak kira tempat pelancongan itu swasta atau dimilik kerajaan.
Sekiranya tempat pelancongan tersebut dimilik swasta, apakah syarat-syarat , perancangan atau tindakan pihak kerajaan sekiranya tidak diurus dengan baik. Ini adalah penting, sebagai contoh wet world di Batu Pahat telah terbiar dan merosakkan imej tempatan. Sekiranya, lukisan mural-mural dikatakan merosakkan imej, macam mana pula dengan tempat pelancongan yang tidak diurus dengan baik? Adakah ini merosakkan imeg bandar dan menjejaskan industri pelancongan?
Johor Jaya ingin mengingatkan pihak kerajaan bahawa pelancong dari seluruh negeri atau negara tetap penting untuk memajukan sesuatu tempat. Selain tempat perlancongan yang kos tinggi, tempat perlancongan tempatan turut dapat membantu peniaga tempatan dan mengembangkan ekonomi tempatan tidak kira kawasan bandar atau luar bandar.
Johor Jaya berpendapat tempat-tempat ini tidak diurus dengan baik dan pengangkutan awam untuk sampai di tempat-tempat pun tidak disediakan. Ini juga dibentangkan oleh kukup tadi. Johor Jaya berpendapat bahawa pelancongan memang berkait rapat dengan pengangkutan awam yang disediakan.
Selain itu, tedapat 6 Taman Negara di Negeri Johor, tidak kira lagi pulau-pulau yang indah dan gunung-gunung serta Taman Rekreasi. Pengangkutan awam dan maintenance tempat pelancongan adalah penting dalam industri pelancongan.
Oleh itu, dua pelan yang diberi peruntukan sebanyak RM800ribu dalam Bajet 2015 iaitu Pelan Induk Pengangkutan Awam Johor dan Pelan Tindakan Pengangkutan Awam Daerah harus selaras dengan Pelan Induk Pelancongan negeri Johor. Ini membolehkan pelancong dapat mudah sampai ke destinasi pelancongan.
Kesemua perkara ini harus diambil kira dalam Bajet 2015 dan juga Pelan Induk Perlancongan Negeri Johor perlulah dilaksanakan dengan sempurna untuk memajukan industri pelancongan.
Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 2
Laporan Ketua Audit Negara turut menjadi perhatian kepada orang ramai. Saya percaya tujuan laporan audit negara bukan untuk memberitahu kelemahan agensi, jabatan atau projek-projek tertentu tetapi adalah untuk memperbaiki kerja-kerja bagi semua pihak.
Seperti yang dikatakan, kemajuan sesebuah negara tertakluk kepada perancangan yang teliti dan tegas. Pengurusan setiap PBT adalah amat penting bagi memastikan kerja-kerja dilaksanakan seperti yang dirancang dalam teratur, cekap dan berhemah supaya mencapai matlamat yang ditetapkan.
Menurut Laporan Audit Negara Siri 2, terdapat 9 buah gerai dan medan selera sama dengan 81 unit gerai kosong antara 14-44 bulan dalam kawasan MBJB. Kebanyakan kemudahan yang disediakan telah terbiar, usang dan rosak serta tidak disenggarakan dengan sempurna. Anggaran hasil yang tidak dapat dikutip kerana tiada penyewaan ke atas gerai dan medan selera tersebut adalah sebanyak RM0.43 juta.
Selain itu, sebanyak 51unit ruang niaga daripada 69unit yang terdapat di sebuah pasar MBJB dan 89unit daripada 191 unit yang terdapat di 3 buah pasar awam di kawasan Majilis Daerah Simpang Renggam didapati tiada penyewa. Anggaran kutipan hasil yang tidak dapat dikutip akibat tiada penyewaan ke atas pasar awam tersebut adalah berjumlah RM0.63 juta.
Anggaran hasil yang tidak dapat dikutip juga menunjukkan pembinaan kemudahan yang disediakan telah menjadi pembaziran. MBJB telah memaklum balas bahawa tidak lagi mensyaratkan tapak pembinaan gerai semasa Kebenaran Merancang memandangkan tapak yang diberikan oleh pemaju tidak strategik.
Ini adalah hanya salah satu contoh kebaziran pembinaan kemudahan awam atau dikatakan kemudahan awam yang sedia ada tidak digunakan dengan sempurna. Masalah ini bukan sahaja menjadi pembaziran tetapi tempat tersebut mudah menjadi tempat kegiatan jenayah berlaku.
Masalah ini bukan sahaja dihadapi oleh MBJB dan MDSR tetapi semua PBT. Apakah perancangan pihak PBT dan pihak kerajaan terhadap pembaziran kemudahan awam yang telah berlaku. Perancangan dan tindakan yang seterusnya memang lebih penting selepas memastikan masalah.
Yang Berhormat Tan Sri Speaker,
Isu Keselamatan
Kehidupan yang susah akan meningkatkan kegiatan jenayah. Walaupun didapati kadar jenayah menurun tetapi Isu keselamatan tetap salah satu perkara yang masih merisaukan rakyat.
Sekali lagi, Johor Jaya ingin membangkitkan isu keselamatan kerana Johor Jaya berpendapat selain daripada pengurusan tempat perlancongan, isu keselamatan turut berkait rapat dengan sektor perlancongan yang saya sebut tadi. Kadar Jenayah yang rendah dapat memberi rasa selamat kepada orang ramai dan turut menarik pelancong untuk mengunjungi negeri kita.
Pelbagai perancangan telah dinyatakan dalam Bajet 2015 termasuk pemasangan lampu awam, pembinaan Ibu Pejabat Daerah dan penambahan anggota Polis Bantuan. Pemasangan CCTV di lokasi-lokasi panas dan kritikal telah dibentangkan dalam Bajet 2014. Johor Jaya ingin bertanya apakah keberkesanan dengan pemasangan CCTV di tempat-tempat kadar jenayah tinggi? Adakah projek pemasangan CCTV telah siap di kawasan Iskandar Malaysia terutamanya kawasan DUN Johor Jaya?
Yang Berhormat Tan Sri Speaker,
Isu Projek Menaiktaraf Lebuhraya Pasir Gudang
Projek Menaiktaraf Lebuhraya Pasir Gudang (FT17) Dari 4 lorong ke 6 lorong telah dijalankan sejak bulan Julai tahun 2013. Projek ini dijangka siap pada bulan Sepember 2015. Namun begitu, projek ini dilihat ketinggalan jadual. Ini amat merisaukan pengguna Lebuhraya Pasir Gudang kerana lebuhraya yang sibuk ini merupakan salah satu jaringan perhubungan yang amat penting dalam negeri.
Johor Jaya berasa amat kecewa dengan langkah-langkah keselamatan yang dilaksanakan oleh pihak kontraktor. Sebagai contoh, lampu jalan yang dipasang semasa kerja menaiktaraf dijalankan adalah tidak cukup terang. Penghadang jalan yang diletakkan di tepi jalan pula tidak sempurna. Terdapat penghadang jalan yang patah dan jatuh ke tengah jalan yang akan menyebabkan kemalangan berlaku terutamanya kepada penunggang motosikal. Tanah-tanah yang digunakan semasa projek dijalankan tidak ditutup dengan kanvas mengakibatkan tanah mengalir ke jalan raya semasa hujan dan menyebabkan kesesakan jalan raya berlaku di atas jambatan Jalan Rosmerah.
Kerja-kerja menaiktaraf dijalankan tanpa mengambil kira keselamatan pengguna jalan raya amat mengecewakan pengguna jalan raya. Oleh itu, Johor Jaya sekali lagi meminta pihak kerajaan memastikan projek menaik taraf ini dapat siap dalam tempoh masa yang ditetapkan dan juga memastikan pihak kontraktor menjalankan kerja mengikut, dengan izinnya, SOP keselamatan yang ditetapkan. Pihak kerajaan harus bertanggungjawab dalam memastikan kualiti dan keberkesanan setiap kontraktor dan mengambil tindakan sekiranya kontraktor tidak mencapai matlamat. Keselamatan pengguna jalan raya harus diutamakan apabila projek dijalankan.
Yang Berhormat Tan Sri Speaker,
Isu Jambatan Kampung Melayu Pandan, Jalan Masjid
Jambatan Kampung Melayu Pandan yang terletak di Jalan Masjid telah mendap sejak tahun lepas. Jambatan ini merupakan salah satu jalan utama untuk masuk ke Kampung Melayu Pandan.
Jambatan ini mempunyai dua jalan dan kini hanya satu jalan yang dapat digunakan kerana keadaan mendap yang teruk sehingga kenderaan tidak dapt lalu. Namun, jalan yang tiggal ini pun kelihatan mendap kian hari. Keadaan ini memang merisaukan penduduk-penduduk dan menyebabkan kesushan bagi mereka yang mengguna jambatan tersebut. Selain itu, kenderaan bomba pun terpaksa mengguna jalan yang lain semasa kebakaran berlaku pada beberapa bulan yang lepas.
Sudah satu tahun, masalah ini masih belum diselesaikan. Oleh itu, saya amat berharap pihak kerajaan dapat mengambil perhatian dan tindakan secepat mungkin sebelum kecederaan dan kemalangan berlaku atau sebelum jambatan ini runtuh sepenuhnya.
Yang Berhormat Tan Sri Speaker,
Akhir kata, Bajet 2015 harus dibentangkan dengan lebih terperinci terutamanya kehidupan dan masalah kos sara hidup perlu diatasi. Pembangunan sesebuah negeri bergantung dengan ekonomi. Malah, isu keselamatan, industri pelancongan serta pengangkutan awam adalah saling berkait rapat dengan memajukan ekonomi negeri. Johor Jaya berharap pihak kerajaan dapat sentiasa memastikan perancangan yang sempurna dilaksanakan dengan sempurna juga demi kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan sebuah negeri dan rakyat tercapai.
Sekian, terima kasih.