Skip to content

Ucapan Perbahasan sempena Pembentangan Bajet 2015 Negeri Johor oleh ADUN Mengkibol Tan Hong Pin

Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato Speaker kerana memberi peluang kepada Mengkibol untuk turut serta dalam perbahasan Bajet 2015. Salam sejahtera, salam bersih dan salam hijau kepada semua ahli-ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini.

Bajet yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar tempoh hari bertemakan Membangunkan Johor Secara Inklusif sememangnya sedap didengar dan Mengkibol berasa terharu apabila YAB membentangkan ucapan Bajet beliau tempoh hari. Mengkibol berharap pihak kerajaan negeri bersikap serius atas apa yang telah diperkatakan itu serta ikhlas dalam pelaksanaannya. Pada bulan September yang lalu, Pusat Komuniti Kluang telah menganjurkan Pesta Kluang untuk memupuk sikap kekitaan dikalangan warga Kluang dan memperkasakan komuniti Kluang. Dalam program-program yang dirancang terdapat program yang perlu menggunakan premis Majlis Perbandaran Kluang tetapi permohonan kami telah ditolak pada saat-saat terakhir. Perkara ini telah menimbulkan banyak kesulitan kepada kami sehingga beberapa program utama Pesta Kluang terpaksa dibatalkan kerana tidak mendapat kebenaran untuk menggunakan premis-premis tersebut.

Mengkibol berharap tema Membangunkan Johor Secara Inklusif ini bukan sekadar tinggal slogan sahaja. Janganlah kerajaan mengamalkan sikap “cakap tak serupa bikin” tetapi haruslah dilaksanakan sepenuhnya di setiap peringkat kerajaan termasuklah pihak berkuasa tempatan. Oleh yang demikian, Mengkibol berharap insiden seperti yang dialami Pesta Kluang pada tahun ini tidak akan berulang lagi dan kita dapat bersama-sama memulakan era politik baru di negeri Johor.

Pembangunan Inklusif Harus Merangkumi Semua Pihak Tanpa Mengira Latar Belakang

ISU AIR KERUH DI KLUANG – PAMPASAN HARUS DIBERIKAN KEPADA PENGGUNA

Tahun 2014 merupakan satu tahun yang kurang baik bagi penduduk sekitar daerah Kluang kerana menghadapi banyak masalah berkenaan air. Pada awal tahun tersebut, Kluang menghadapi gangguan bekalan air sehingga terpaksa melaksanakan catuan atau pembekalan berjadual mengikut terjemahan pihak Syarikat Air Johor (SAJ). Mulai bulan Ogos pula, air paip di sekitar Kluang seolah-olah berlaku ‘silap mata’ di mana pili air mengalirkan air bali, air the-o, kopi-o dan ada pula yang mengalirkan ‘coca-cola’. Johor bukan Melaka. Kalau di Melaka ada air keruh, tidak hairan lah kerana disana sememangnya ada tempat bernama Ayer Keruh bukan? Pada awal bulan Ogos, apabila masalah ini mula wujud saya telah berhubung dengan pihak SAJ Kluang untuk mengutarakan masalah ini dan bersama-sama mencari penyelesaian bagi isu ini. Bagaimana pun, sehingga sekarang masalah ini masih lagi menghantui penduduk-penduduk di sekitar kawasan Kluang. Malahan masalah ini telah menjadi lebih serius di mana terdapat cacing merah dalam air pili selama tiga hari berturut-turut pada awal bulan November.

Masalah kualiti air ini bukan sahaja berlaku di kawasan sekitar Kluang tetapi juga berlaku di daerah-daerah yang lain. Kemarin, Tangkak turut membangkitkan masalah air keruh di kawasannya, menunjukkan betapa seriusnya masalah ini dan amat menyusahkan rakyat. Pada awal tahun, semasa penduduk di Kluang sedang mengalami masalah putus bekalan air, penduduk di sekitar daerah Kota Tinggi, Muar dan Ledang pula dibekalkan dengan air payau. Apakah pembekalan air payau ini memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia?

Mengkibol ingin mengesyorkan supaya pihak SAJ memberikan pampasan yang setimpal kepada pengguna-pengguna yang terjejas ini. Antara bentuk pampasan yang boleh dipertimbangkan adalah samada memberikan pengecualian bil air bagi mereka dalam tempoh berlakunya masalah ini iaitu pada bulan Ogos, September, Oktober dan November, ataupun berilah rebat yang munasabah kepada pengguna-pengguna ini.

Pada masa yang sama, saya dengan rendah diri ingin memohon supaya pihak kerajaan negeri khususnya Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar dapat mendesak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membentangkan Akta Keselamatan Air Minuman dengan kadar yang segera supaya dapat dikuatkuasakan demi menjamin keselamatan air minuman dan memelihara kepentingan rakyat.

Isu berkenaan air adalah amat rumit. Air, walaupun hanya 3 huruf, tetapi melibatkan banyak jabatan dan agensi. Jabatan Pengairan dan Saliran bertanggungjawab ke atas penyelenggaraan sungai – lebih kepada hidrologi, Jabatan Alam Sekitar pula berkait rapat dengan pencegahan atau lebih tepat penguatkuasaan kegiatan mencemarkan sungai Kawasan tadahan air pula banyak melibatkan pejabat tanah dan galian, pejabat hutan, perhilitan dan mungkin jabatan pertanian. Apabila sampai waktu meminta peruntukan, masing-masing akan berebut-rebut mengakui jabatan mereka berperanan dalam hal-ehwal air atau sungai. Bagaimana pun, sampai masa hendak memulihara kawasan tadahan atau mengawal air sungai, masing-masing ada batas mereka sehingga isu-isu dasar seperti pemeliharaan kawasan tadahan air, perlindungan ekosistem sungai dan pengawalan kualiti air sungai masih menjadi suatu masalah besar yang belum menemui penyelesaiannya.

Sebagai penyelesaian dalam masa terdekat, kerajaan disarankan supaya mewartakan semua kawasan tadahan air. Sumber-sumber air yang mengalami pencemaran yang teruk harus diberikan keutamaan tertinggi dan harus diwartakan secepat yang mungkin. Pewartaan kawasan tadahan air Empangan Bekok, Empangan Sembrong, Empangan Macap, Sungai Skudai haruslah disegerakan supaya kerja pemuliharaan dan penguatkuasaan dapat dimulakan.

Kerajaan dicadangkan mengkaji isu ini dan menubuhkan suatu badan yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas segala hal-ehwal air. Peranan Badan Kawal Selia Air Negeri Johor (BAKAJ) nampaknya amat terhad kepada penyelarasan atau coordinator antara jabatan-jabatan yang berkait rapat dengan isu air sahaja. Peranan BAKAJ sekarang seolah-olah lebih kepada suatu peranan yang bersifat reaktif dan responsif yang kurang berkesan dalam memastikan kualiti sumber air kita sentiasa dalam keadaan yang terkawal.

Oleh yang demikian, suatu badan bersepadu dalam pengurusan sumber air adalah amat penting sebagai penyelesaian jangka masa panjang untuk masalah yang kita hadapi sekarang.

ISU BANJIR KILAT

Pada 20 September yang lalu, beberapa kawasan perumahan di sekitar Kluang dilanda banjir kilat yang mana ada sesetengah tempat yang ditenggelami air sedalam 2 kaki. Apa yang menghairankan ialah, salah satu kawasan yang ditimpa banjir kilat ini ialah rumah-rumah di Jalan Ng Pi Ton dan Taman Kluang Baru, Kluang yang terletak di tepi Sungai Lambak yang baru sahaja dijalankan projek pelebaran! Apabila saya melawat ke lokasi tersebut, saya mendapati air sungai belum penuh, hanya separuh sahaja. Maksudnya banjir kilat yang berlaku ini bukan disebabkan kenaikan paras air sungai sehingga melimpah ke atas darat dan memasuki rumah penduduk. Saya juga mendapati air yang menenggelami kawasan tersebut masuk dari pintu hadapan rumah, keluar ke pintu belakang dan terus mengalir ke dalam Sungai Lambak. Dengan kata lain, masalah yang berlaku adalah disebabkan kelemahan sistem perparitan di kawasan perumahan tersebut. Oleh yang demikian, Mengkibol berharap pihak berkuasa tempatan dapat mengambil langkah yang lebih proaktif dalam menyelesaikan masalah ini dengan membaik pulih sistem perparitan di kawasan-kawasan terbabit yang gagal mengalirkan air ke sungai berdekatan. Kalau boleh, Mengkibol berharap pegawai-pegawai yang bertanggungjawab dalam perkara ini dapat bersama-sama dengan Mengkibol, turun padang dan bersama-sama kami melawat ke lokasi kejadian untuk mencari penyelesaian yang berkesan untuk menyelesaikan masalah rakyat.

PROSES URBANISASI DAN PEMBANGUNAN PEKAN-PEKAN DI LUAR ISKANDAR MALAYSIA

Dengan jaringan bandar yang semakin meluas di seluruh negara, perkhidmatan pengangkutan awam yang hanya meliputi pusat bandar sahaja adalah tidak mencukupi. Terdapat banyak kawasan perumahan baru yang terletak jauh dari pusat bandar dan kawasan berkepadatan rendah.

Walaupun kawasan perumahan itu berkemungkinan kawasan rumah kos rendah, penduduk-penduduk selalunya terpaksa membeli kereta persendirian dengan pinjaman bank kerana lazimnya kawasan baru tiada akses kepada perkhidmatan pengangkutan awam.

Di bandar-bandar sederhana besar di Johor seperti Batu Pahat, Kluang, Muar, Kota Tinggi dan Kulai, pihak berkuasa harus menyediakan pengangkutan awam yang mempunyai rangkaian bas menyeluruh.

Penduduk-penduduk bandar sekunder ini juga kebanyakannya memerlukan perkhidmatan pengangkutan awam antara kota. Oleh itu mereka memerlukan bas untuk bergerak ke institusi awam seperti sekolah, hospital, balai polis, pejabat pos dan juga tempat bekerja.

Dengan perkembangan yang semakin pesat di bandar sekunder di Johor ini, kesesakan lalulintas dijangka semakin teruk sekiranya tiada tindakan diambil segera.

Untuk perkhidmatan pengangkutan awam bandar sekunder, syarikat bas atau pihak berkuasa tidak perlu menyediakan bas yang terlalu besar. Sebaliknya perlu menyediakan bas mini yang selesa dan dapat memasuki lorong serta jalan kecil agar dapat memberikan kemudahan perkhidmatan kepada penduduk kampung. Bas mini yang selesa adalah salah satu pilihan untuk mengatasi masalah ini.

Mengkibol mengalu-alukan pengumuman kerajaan negeri Johor untuk menubuhkan unit pengangkutan awam di peringkat pihak berkuasa tempatan. Diharapkan unit-unit ini dapat merancang pelan induk pengangkutan awam tempatan dengan secepat mungkin. Unit tersebut seharusnya memainkan peranan yang penting agar semua penduduk memperoleh akses kepada rangkaian bas. Selain itu, unit ini juga bertanggungjawab untuk menyelenggara kemudahan pengangkutan awam seperti perhentian bas dan sebagainya.

Telah menjadi suatu trend bahawa terdapat banyak hospital yang asalnya terletak di pusat bandar telah dipindahkan keluar dari kawasan bandar atau ke pinggir bandar. Keadaan ini amat ketara di bandar-bandar sekunder seperti Hospital Enche Besar Hajah Kalsom Kluang dan Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat. Hospital-hospital baru pula kebanyakannya dibina di kawasan-kawasan pinggir bandar di mana terletaknya taman-taman perumahan baru tetapi berjauhan dari pusat bandar. Tidak seperti Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru contohnya. Masalah bas yang menghubungkan penduduk dengan hospital merupakan masalah yang sama dihadapi oleh rakyat.

Lokasi-lokasi baru hospital ini terletak dalam perjalanan bas baru atau perjalanan bas sedia ada yang tidak menguntungkan. Oleh itu, orang awam terutama pesakit-pesakit hospital menghadapi masalah untuk mendapat rawatan di hospital berkenaan. Golongan bawahan yang tidak mampu memiliki kereta sendiri merupakan golongan yang menerima impak terbesar dari kelemahan sistem pengangkutan awam ini.

Satu lagi isu yang mungkin memerlukan perhatian serius dan tindakan segera pihak kerajaan ialah pengangkutan warga emas ke hospital di kampung-kampung, pekan-pekan, dan bandar-bandar sekunder. Warga-warga emas yang tidak tinggal bersama-sama anak mereka ini juga merupakan pelanggan tetap hospital yang terpaksa berulang-alik ke hospital secara berkala untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Buat sementara waktu ini, kami berpendapat bahawa sistem pengangkutan ulang-alik ke hospital adalah begitu penting dan perlu ditangani dengan seberapa cepat yang mungkin. Perkara ini juga boleh dilihat sebagai sebahagian daripada jaringan kebajikan masyarakat yang dapat ditangani dengan pendekatan jangka masa pendek yang diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

JKM boleh menyediakan peruntukan untuk memberi subsidi kos pengangkutan pesakit-pesakit tetap yang terpaksa berulang-alik ke hospital secara berkala. Antara golongan yang layak menerima bantuan ini termasuklah pesakit-pesakit yang juga merupakan kumpulan sasaran yang memperolehi bantuan JKM dan juga warga emas yang tidak tinggal bersama-sama anak mereka yang mencari rezeki di luar kawasan kediaman orang tua.

MENCARI PENYELESAIAN YANG INKLUSIF DAN KOMPREHENSIF

Untuk menghadapi senario politik yang baru di negeri Johor kita haruslah mengamalkan sikap terbuka dalam menyelesaikan masalah rakyat tanpa mengira latar belakang atau perbezaan fahaman politik. Kita seharusnya sentiasa mencari penyelesaian yang inklusif dan komprehensif dengan melibatkan semua pihak dalam usaha membangunkan masyarakat setempat dan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri Johor. Dalam Sidang Dewan yang lepas Mengkibol telah mengesyorkan supaya beberapa Jawatankuasa Terpilih atas beberapa isu penting yang menjadi fokus rakyat yang dipengerusikan Exco-exco ditubuhkan supaya isu-isu ini diberikan perhatian yang sewajar dan mencari penyelesaian yang berkesan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Keanggotaan Jawatankuasa-jawatankuasa Terpilih ini dicadangkan meliputi ahli-ahli Dewan pembangkang dan juga wakil-wakil NGO. Mengkibol yakin melalui Jawatankuasa-jawatankuasa ini akan dapat mewujudkan kerjasama antara semua pihak yang terlibat ini supaya masing-masing mengetepikan perbezaan fahaman politik dan duduk bersama untuk membincangkan isu yang timbul dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik demi kepentingan rakyat. Dengan adanya keanggotaan daripada pihak bukan kerajaan, Mengkibol yakin bahawa cadangan dan dasar yang komprehensif dan memenuhi kepentingan semua pihak dapat kita temui hasil daripada perbincangan dalam Jawatankuasa ini.

Antara Jawatankuasa Terpilih tersebut ialah :

  1. Jawatankuasa Bekalan Air Yang Selamat dan Mapan
  2. Jawatankuasa Pengangkutan Awam
  3. Jawatankuasa Hal Ehwal Alam Sekitar
  4. Jawatankuasa Memerangi Jenayah

USAHA MEMPERKASAKAN DEWAN NEGERI SEBAGAI BADAN PERUNDANGAN TERTINGGI DI NEGERI JOHOR

Mengkibol ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini bahawa beberapa usaha perlu dijalankan demi menambahbaik mutu perbahasan dalam Dewan. Kita harus berusaha lebih kuat dan menaburkan lebih banyak sumber untuk memperkasakan Dewan Negeri yang menjadi suatu organ semak dan imbang terhadap kerajaan negeri. Kita berasa bangga dengan sejarahnya yang merupakan Dewan yang paling awal dalam Malaysia, lebih awal sejarahnya daripada Parlimen. Bagaimana pun, fungsi Dewan yang mulia ini semakin terhakis dan perlu diberi perhatian.

Machap ada menyebut tentang pengiktirafan Ketua Pembangkang di Selangor dan Pulau Pinang. Mengkibol ingin mengingatkan bahawa faktor utama yang menyebabkan kedua-dua kerajaan negeri itu mengiktirafkan kedudukan ketua pembangkang adalah berdasarkan prinsip demokrasi yang menjadi asas kepada sistem yang kita dokong hari ini, BUKAN seperti yang disebut oleh Machap. Mengkibol tidak dapat membayangkan sesuatu Dewan yang mendokong prinsip demokrasi seperti negeri Johor TETAPI tidak wujud Ketua Pembangkang dalam Dewan. Mengkibol menyeru supaya pihak kerajaan memberikan pengiktirafan yang sewajarnya kepada kedudukan Ketua Pembangkang. Iktiraf dahulu, kemudahan-kemudahan lain itu ‘belakang kira’.

Ucapan penangguhan merupakan salah satu platform yang penting bagi ahli-ahli Dewan yang Mulia ini bagi mengutarakan masalah rakyat. Bagaimana pun, peluang untuk memberikan ucapan penangguhan tidak pernah diberikan kepada ahli-ahli Dewan Pakatan Rakyat sejak Dewan Negeri yang ke13 mula bersidang. Adalah disyorkan supaya antara kita mencapai persetujuan supaya peluang untuk ucapan penangguhan ini diberikan kepada sekurang-kurangnya 2 orang ahli Dewan daripada Pakatan Rakyat. Sekiranya ini memerlukan pindaan ke atas peraturan tetap mesyuarat, maka pindalah mengikut kesesuaian ataupun dicadangkan supaya antara kita ini mengundi secara persetujuan tersirat bahawa 2 daripada 5 ahli yang memberikan ucapan penangguhan itu datangnya daripada kalangan Pakatan Rakyat.

Mengkibol juga ingin mencadangkan supaya sesetengah dokumen dalam Persidangan Dewan dimuat naikkan ke laman web Dewan Negeri. Antara dokumen-dokumen yang dimaksudkan itu adalah seperti Enakmen yang digunakan pakai di negeri Johor, Penyata Rasmi persidangan Dewan, jawapan soal-jawab ADUN-ADUN supaya mudah dirujuk oleh rakyat diluar sana dan juga Ahli-ahli Dewan dalam membuat kajian dan persediaan untuk bersidang. Pada masa yang sama, Mengkibol juga berharap jawapan kepada soalan-soalan yang dikemukakan kepada Ahli Dewan Negeri yang mengemukakan soalan bolehlah diberikan juga kepada Ahli-ahli Dewan yang lain supaya maklumat tersebut dapat dikongsi sesama Ahli-ahli Dewan.