Skip to content

Ucapan Perbahasan sempena Pembentangan Bajet 2015 Negeri Johor oleh ADUN Pekan Nenas Yeo Tung Seong

Selamat sejahtera Yang Berhormat Tan Sri Speaker dan rakan-rakan Ahli Dewan sekalian. Pekan Nenas ingin mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet 2015 Negeri Johor.

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

YAB Menteri Besar Johor berusaha mengurangkan kemiskinan yang dihadapi rakyat jelata melalui menetapkan strategi memangkin kesejahteraan hidup rakyat. Nanum, banyak lagi usaha adalah amat dialu-alukan untuk menolong golongan nelayan dan petani kecil.

I. Pembangunan Lestari Menjamin Rezeki Golongan Nelayan

Pekan Nenas bersetuju dengan rintihan nelayan di Tanjung Piai yang dibangkitkan oleh Kukup dalam dewan ini. Peruntukan sebanyak RM 1.8 juta dari kerajaan negeri Johor untuk memberi bantuan kewangan kepada anggaran 1,800 orang nelayan di selatan negeri Johor dengan jelasnya tidak dapat menyelesai masalah yang dihadapi akibat pendapatan mereka terjejas dalam arus pembangunan.

Sebanyak 913 hektar hutan paya bakau di Tanjung Bin telah ditebang untuk memberi laluan kepada industri petrokimia dan industri maritime. Projek pembangunan industri petrokimia dan industri maritime di Tanjung bin telah menjejaskan hutan payu bakau dan rumpai laut yang merupakan habitat bagi pelbagai hidupan laut. Tidak ada pemulihan terhadap pembekalan sumber laut yang dihasilkan oleh hutan paya bakau.

Di samping itu, kesan pencemaran terhadap alam sekitar akibat bahan-bahan toksik yang dihasilkan oleh industry petrokimia akan merencatkan pertumbuhan dan pembiakan spesies hidupan laut. Kehidupan golongan nelayan di kawasan Sungai Pulai semakin terjejas selepas pelaksanaan mega projek Pelabuhan Tanjung Pelepas, Stesen Janakuasa Arang Batu serta industri petrokimia dan industri maritime.

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

Selain daripada ancaman Mega Projek, terdapat lebih daripada 70,000 kapal dagang melalui Selat Melaka, menghasilkan pukulan ombak dan menyebabkan hakisan yang serius di kawasan Tanjung Piai. Dari tahun 1974 hingga 2011, jarak hakisan yang berlaku adalah selebar 303.9 meter menyebabkan hutan paya bakau semakin berkurangan di kawasan Taman Negara Johor Tanjung Piai.

Berdasarkan kajian Integrated Shoreline Management Plans yang dilaksanakan oleh JPS Negeri johor, 6 offshore breakwater 500 meter dari pesisiran pantai dan kos pembinaan berjumlah RM 106 juta telah dicadangkan untuk mengatasi masalah hakisan di Tanjung Piai. Malah pihak JPS Negeri Johor hanya mendapat RM 30 juta untuk menangani masalah hakisan tersebut. Kehilangan hutan paya bakau akibat hakisan laut yang ketara juga akan mengurangkan sumber laut di kawasan tersebut. Peruntukan sepenuh sepatutnya disalurkan kepada JPS Negeri Johor untuk mengatasi masalah hakisan di Tanjung Piai.

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

Pekan Nenas juga memohon pencerahan tentang projek STS (Ship To Ship) yang sedang rancang dilaksanakan di perairan Pelabuhan Kukup. Projek STS yang melibatkan pemindahan produk berasas petroliam dari satu kapal ke kapal yang lain dan berpotensi menyebabkan pencemaran minyak. Sekarang, perairan Kukup sudah sering menghadapi masalah pencemaran yang disebabkan oleh tumpahan minyak dari kapal-kapal, kenapa pula nak melaksanakan projek STS untuk meningkatkan risiko ini lagi? Sekiranya projek STS diluluskan, sumber pendapatan nelayan-nelayan dan penternak sangkar di kawasan perairan Kukup, Gelang Patah dan Pontian akan mengalami kemudaratan yang amat serius.

Bantuan kewangan RM 1000 setahun hanya membawa nilai tidak cukup RM 3 sehari kepada golongan nelayan. Pekan Nenas mendapati nasib dan sumber rezeki golongan nelayan hanya akan terjamin sekiranya kerajaan benar-benarnya melaksanakan pembangunan lestari.

Selain itu, menurut bajet 2015 yang dibentangkan oleh YAB Menteri Besar, kerajaan Johor dengan matlamat merancakkan industri pelancongan, berhasrat memulihkan kedudukan Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Sungai Pulai dan membangunkannya sebagai taman rekreasi dan penyelidikan paya bakau berkepentingan antarabangsa yang mesti dilawati.

Setakat ini, Kukup telah terkenal dengan makanan laut yang sedap dan murah. Terdapat banyak homestay di kawasan Kukup untuk memudahkan pelancong-pelancong menginap dan membolehkan Kukup berkembang menjadi suatu tempat pelancongan yang amat popular dengan aktiviti menikmati makanan laut.

Hasrat kerajaan merancakkan industri pelancongan di Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Sungai Pulai akan menghadapi masalah sekiranya projek STS diluluskan dan berlakunya kes pencemaran laut akibat tumpahan minyak yang ketara. Sebab itu, Pekan Nenas membantah pelaksanaan projek STS dijalankan di perairan Kukup.

II. Kestabilan Harga Hasil Tanaman

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

Pekan Nenas juga ingin menyentuh masalah yang dihadapi oleh pekebun-pekebun kecil akibat kejatuhan harga getah dan minyak kelapa sawit yang semakin serius.

Walaupun kerajaan memberi bantuan kewangan One Off sebanyak RM 500 kepada pekebun kecil dan penoreh bukan pemilik serta program dan skim bantuan lain, malah bantuan tersebut bukan langkah-langkah untuk menyelesai masalah dihadapi oleh pekebun kecil secara menyeluruh.

Masalah utama dalam sektor pertanian di negara kita, termasuk jugalah negara-negara yang lain ialah sebagai pihak pengeluar bahan mentah, kita tidak berhak untuk menentukan harga barangan pertanian di dalam pasaran dunia.
Malasalah ini menjadi semakin ketara akibat kejatuhan harga getah berlanjutan sejak tahun 2012 yang melibatkan seramai 400,000 pekebun kecil yang mengendalikan kawasan getah seluas 979,860 ekar.
Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

Association of Natural Rubber Producing Contries (ANRPC) yang terdiri daripada 11 negara pengeluar getah utama di dunia termasuk Thailand, Indonesia, Malaysia, India telah menguasai lebih 90% daripada pengeluaran getah dunia. Mereka seharusnya bekerjasama dan mencari pendekatan untuk memegang kuasa menentukan harga getah di pasaran dunia.

Selain itu, cadangan daripada Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) untuk menetapkan harga minimum getah beku RM 4 sekilogram harus dipertimbangkan secara mendalam oleh pihak kerajaan.

Satu mekanisme penentapan harga lantai atau harga terendah yang munasabah kepada pekebun kecil getah adalah amat dialu-alukan untuk mengelakkan kejatuhan harga getah berterusan dan memastikan pendapatan miminum pekebun getah dapat dijamin.

III. Cukai Harta

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

Banyak penduduk daerah Pontian menghadapi kenaikan cukai harta dari 100% sehingga 300% apabila pihak MDP melaksanakan penilaian semula terhadap harta tanah sejak akhir-akhir ini.

Notis Senarai Nilaian Baru yang dikeluarkan oleh MDP bertarikh 6 November, tetapi kebanyakan penduduk hanya dapat menerima notis tersebut selepas 13 November. Menurut Notis tersebut, penduduk perlu membuat bantahan secara bertulis kepada Yang Dipertua, Majlis Daerah Pontian pada atau sebelum 18 November. Masa yang ditetapkan untuk membuat aduan adalah terlalu singkat kerana surat diserahkan kepada penduduk terlalu lewat.

Oleh itu, Pekan Nenas menyeru pihak MDP memanjangkan masa bagi penduduk membuat bantahan dan rayuan.

Selain itu, Pekan Nenas juga memohon pihak MDP jangan melaksanakan kerja-kerja penilaian semula harta tanah kerana tahun depan bukan masa yang sesuai untuk melaksanakandasar ini. Kini, kos sara hidup rakyat semakin tinggi akibat kenaikan harga petrol dan elektrik, lagipun GST juga akan dilaksanakan pada 1 April tahun depan. Kenaikan cukai harta yang mendadak dan tinggi akan menyebabkan beban hidup rakyat terlalu berat.

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

Pelaksanaan kenaikan cukai harta mendapat bantahan yang hebat oleh rakyat daerah Pontian. Salah satu sebab utama adalah kenaikan cukai harta yang terlalu tinggi. Kadang kala, bukannya rakyat tidak bekerjasama dan enggan membayar kenaikan cukai harta, malah kenaikan yang rasional dan berperingkat perlu dijalankan untuk mengelakan tentangan hebat dari golongan rakyat. Andaikan cukai harta pada asalnya hanya seratus lebih pada tahun 2013, tetapi melonjak menjadi empat ratus lebih. Perasaan tidak puas hati di kalangan penduduk yang terbabit adalah senang difahami.

Oleh itu, Pekan Nenas berharap sekiranya kenaikan cukai harta tidak dapat dielakkan, kadar kenaikannya mestilah dalam suatu tahap yang rasional dan munasabah.

IV. Banjir kilat

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

Pekan Nenas memohon pihak JKR, JPS dan MDP mengambil langkah untuk menyelesai masalah banjir kilat yang sering berlaku di Taman Pontian Jaya dan Pusat Bandar Pontian Kechil.

Banjir kilat yang berlaku di Taman Pontian Jaya berpunca daripada aliran air yang tidak lancar di jambatan PT 2/12, Batu 34, Jalan Johor, menyebabkan lebih kurang 200 keluarga kawasan tersebut terpengaruhi. Setelah beberapa tinjauan di jambatan tersebut, Pekan Nenas mendapati bahawa terdapat sekatan air oleh kabel ultiliti yang terletak pada culvert konkrit di bahagian bawah jambatan tersebut. Kabel ultiliti tersebut menyebabkan air bertakung sekurang-kurangnya satu hingga dua kaki tinggi dan tidak dapat mengalir sepanjang tahun.

Pekan Nenas berbesar hati sekiranya pihak JKR dapat mengalihkan kedudkan kabel atau mengambil alternative lain untuk mengatasi masalah ini.

Yang Berhormat Tan Sri Speaker

Manakala banjir kilat yang mengambil bahagian dalam Bandar Pontian Kechil berpunca daripada kelemahan system pengaliran dengan jumlah longkang besar yang sedia ada tidak mencukupi untuk mengalirkan kapasiti air yang banyak pada satu-satu masa terutamanya hujan lebat. Menurut tinjauan semasa berlakunya banjir kilat di Bandar Pontian Kechil. Pekan Nenas mendapati longkang yang mengalirkan air daripada Jalan Parit Mesjid, Jalan Ismail tidak sempat mengalir dengan sempurna di kawasan Jalan Osman akibat tidak dapat menampung kapasiti air yang tinggi.

Pekan Nenas bercadang menambah mana-mana saliran di kawasan Bandar Pontian Kechil yang mampu menampung kapasiti air yang mengalir ke arah laut. Oleh sebab, kawasan tersebut begitu dekat dengan kawasan pantai, saliran atau longkang yang dibina hanya sepanjang kira-kira 50 meter.

V. Pembinaan Roundabout

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

Pekan Nenas juga menyeru pihak MDP mengambil tindakan proaktif supaya masalah lalulintas di Pusat Perdagangan Pontian dapat diatasi. Banyak penduduk dan peniaga di kawasan tersebut sentiasa mengadu bahawa system lalulintas di kawasan tersebut amat tidak memuaskan menyebabkan pelanggan-pelanggan terpaksa membuat pusingan yang besar untuk pergi ke destinasi-destinasi di kawasan tersebut.

Pekan Nenas bercadang agar simpang di Jalan Delima yang berhadapan dengan Kolej komuniti Tanjung Piai dapat digantikan dengan struktur roundabout agar aliran lalulintas lebih efektif dan teratur. Sebarabg tindakan untuk menutup mana-mana simpang adalah kurang wajar selagi roundabout tersebut belum siap dibina kerana akan menyebabkan pengguna jalanraya di kawasan tersebut membuat pusingan yang sangat besar.

VII Permasalah Struktur Bangunan Pusat Komersial Pekan Kukup

Yang Berhormat tan Sri Speaker,

Struktur bangunan di atas lot 1419, Pusat Perniagaan Kukup yang dibangunkan di bawah projek Penswastaan Pembangunan Komersial yang melibatkan usahasama pihak MDP dan pihak pemaju swasta telah mengalami kerosakan dan keretakan yang serius.

Kajian siasatan terhadap struktur bangunan terbabit dijalankan oleh perunding dari Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Malaysia dan renovasi bangunan yang dijalankan oleh pemilik dituduh sebagai punca kerosakan dan keretakan bangunan tersebut.

Pemilik memohon mendapatkan salian laporan forensic daripada pihak MDP, namum tidak menerima sebarang maklum balas daripada MDP. Ini telah menimbulkan keraguan dalam kalangan mereka. Kenapa pemilik-pemilik tidak boleh mendapatkan satu salinan laporan untuk rujukan mereka. Adalah amat tidak adil bahawa mereka tidak diberi satu salinan report untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

Laporan tersebut adalah penting supaya pemilik-pemilik boleh membuat keputusan dan mengambil tindakan selepas mendapatkan cadangan daripada pihak professional yang lain tentang laporan tersebut.

Oleh itu, Pekan Nenas sekali lagi menyeru pihak MDP menyediakan senaskah laporan forensic kepada setiap pemilik kedai yang terbabit supaya keraguan mereka dapat diselesaikan dan tindakan lanjut boleh diambil oleh pihak-pihak yang terbabit.

VIII KPI Bagi Dewan Undangan Negeri Johor.

Akhir sekali, Pekan Nenas ingin menyentuh tentang isu yang berkaitan dengan mesyuarat Dewan Undangan Negeri Johor.

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

Dewan Undangan Negeri Johor telah menjalankan 4 kali mesyuarat pada penggal persidangan pertama. Manakala dalam penggal persidangan yang kedua, sudah bulan November, kita hanya menjalankan dua kali mesyuarat setakat ini. Adalah dijangkakan bahawahanya 3 kali mesyuarat yang akan dijalankan dalam penggal persidangan kedua dan ini adalah berkurangan berbanding dengan penggal persidangan pertama.

Banyak isu rakyat perlu dibawa ke dewan yang mulia ini untuk mencari langkah penyelesaian. Oleh itu, Pekan Nenas menyeru bilangan mesyuarat dewan negeri harus bertambah dan bukan sebaliknya semakin berkurang. Janganlah dewan negeri Johor menjadi salah satu dewan yang malas dan jarang untuk mengadakan mesyuarat.

Saya menyarankan bagi penggal persidangan yang akan datang, adalah baik kita mengadakan sekurang-kurangnya 4 kali mesyuarat dalam setiap penggal persidangan dan lebih baiklah sekiranya bilangan mesyuarat dapat bertambah. Setiap ahli dewan dapat membentangkan 11 soalan dalam mesyuarat dan membolehkan ahli-ahli dewan lebih memahami perkembangan dan memantau pelaksannaan dasar yang dijalankan oleh kerajaan negeri Johor. Sebab itu, bilangan mesyuarat yang dijalankan dalam setiap setiap penggal persidangan seharusnya dipandangkan sebagai suatu KPI untuk Dewan Negeri Johor.

Sekian, terima kasih.