Selepas mendengar ucapan belanjawan yang disampaikan oleh Menteri Besar sepanjang 2 jam, pandangan Senai terhadap belanjawan 2015 adalah seperti berikut: Janji Besar Tindakan Kecil, ataupun dalam Bahasa Inggeris, dengan izin, lip service budget.
Dengan belanjawan ini, Senai tidak berharap langsung kerajaan negeri akan melancarkan dasar-dasar yang progresif.
Kenapa begitu?
Ini kerana, Menteri Besar mengumumkan lima strategi utama dalam ucapan beliau, tetapi, isu yang paling penting tidak diberi perhatian atau diambil berat dalam belanjawan ini.
Antaranya,
- Perkhidmatan pengangkutan awam yang menaik taraf kualiti kehidupan semua anak Johor
- Bekalan air kualiti tinggi dengan harga murah
- Pentadbiran kerajaan tempatan yang cekap dan amanah
- Pembangunan projek perumahan dan tanah yang memberi manfaat kepada rakyat; dan
- Pembangunan Lestari
5 perara ini seharusnya dijadikan fokus belanjawan kerajaan bagi meningkatkan taraf kualiti kehidupan rakyat Johor. Malangnya, belanjawan untuk tahun depan tidak memberi cukup perhatian kepada 5 perkara tersebut.
Peruntukan untuk Pembangunan Sistem Pengangkutan Awam
Contohnya, perkhidmatan pengangkutan awam hanya disebut sebanyak dua perenggan sepanjang 2 jam ucapan belanjawan.
Namun begitu, Senai masih ingin mengucapkan tahniah kerana kerajaan negeri akhirnya mengambil cadangan yang saya buat dalam sidang pertama tahun lepas untuk menaik taraf Perbadanan Pengangkutan Awam Iskandar Malaysia menjadi sebuah agensi yang bertanggungjawab untuk rancangan seluruh negeri.
Selain daripada itu, cadangan yang dibuat dalam pertemuan antara wakil rakyat DAP dengan YB Benut sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya pada 19hb Ogos, iaitu pelan induk pengangkutan awam untuk seluruh negeri juga telah diterima oleh kerajaan. Tahniah kepada EXCO-EXCO yang berlapang dada dan menerima cadangan yang baik itu.
Walaubagaimanapun, Senai amat hairan kerana kerajaan negeri memperuntukkan RM 800 ribu sahaja untuk menyediakan 2 Pelan Induk Pengangkutan Awam.
Pelan Induk Pengangkutan Awam Johor dan Pelan Tindakan Pengangkutan Awam Daerah ini amat penting, justeru, kalau RM 3 juta boleh diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menyediakan satu pelan induk untuk seluruh negeri, saya rasa kerajaan Johor seharusnya memperuntukkan lebih banyak dana untuk perkara ini kerana Johor lebih besar keluasannya berbanding Pulau Pinang.
Kita boleh melihat daripada jumlah peruntukan sesuatu perkara itu banyak atau sedikit untuk menunjukkan kepentingan sesuatu perkara di mata kerajaan.
Bas Percuma Tambak Johor
RM 3.5 juta diperuntukkan untuk infrastruktur pengangkutan awan Johor tahun depan. Tol yang dikutip oleh MRCB dari EDL satu bulan sahaja pun telah mencapai RM 11 juta.
Bayangkanlah, kalau MRCB boleh menyumbangkan RM 1 juta tiap-tiap bulan daripada jumlah keuntungan mereka untuk menyediakan bas percuma berulang-alik di antara KIK dan Kastam Singapura, beban berat rakyat yang seringkali menggunakan Tambak Johor akan dapat diringankan dengan segera!
Untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh warga Malaysia yang berulang alik di antara Johor Bahru dan Singapura, Senai mencadangakan sebuah walkalator dibina di atas Tambak Johor.
Cadangan ini telah dibangkit dalam pertemuan pihak pemimpin Pakatan Rakyat bersama Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, Menteri tersebut terus janji, cadangan ini akan ditimbangkan.
Kalau KLIA2 boleh membina sebanyak 19 walkalator dalam terminal yang sebenarnya satu kompleks membeli-belah, Senai fikir itu bukan satu masalah untuk kerajaan negeri Johor membina walkalator sepanjang Tambak Johor.
Komuter Iskandar
Selain daripada itu, sistem Komuter hanya dijangka siap pada 2030 sahaja walaupun wilayah Iskandar sudah mempunyai sekitar 102km landasan keretapi sedia ada.
Kenapa kita tidak melancarkan projek komuter Iskandar sekarang dengan landasan yang sedia ada selepas landasan berkembar siap dibina? Dengan peta yang saya dapat, landasan sedia ada sebenarnya melalui kawasan perumahan dengan kepadatan tinggi. Antaranya, Masai, Johor Jaya, Nusa Bestari, Skudai, Bukit Indah dan sebagainya.
Walau bagaimanpun, hanya lima stesyen keretapi dalam perkhidmatan pada masa sekarang, iaitu Kulai, Kempas, JB Sentral, Pasir Gudang dan Tanjung Kupang. Stesyen Pasir Gudang dan Tanjung Kupang adalah stesyen kargo sahaja. Maksudnya, infrastruktur keretapi tidak digunakan sepenuhnya setakat ini.
Senai mencadangkan supaya infrastruktur KTM ditambahbaik segera dan supaya bilangan stesyen sepanjang landasan keretapi utara-selatan serta timur-barat ditambah.
Sekiranya kerajaan negeri benar-benar berhasrat meningkat kadar kegunaan pengangkutan awam, laksanakan projek Komuter Iskandar segera. Penduduk-penduduk Senai, Taman Sutera, Kampung Melayu Majidee, Taman Johor Jaya dan tempat lain-lain akan dapat dimanfaatkan dengan pembangunan kemudahan ini.
Menubuhkan Syarikat Keretapi Johor (Johor Railway Company)
Memandangkan ketidakupayaan Syarikat KTM untuk melaksanakan projek mengikut jadual dan kelewatan dalam projek depot Kempas Baru dan landasan berkembar; Senai mencadangkan dalam dewan yang mulia ini supaya kerajaan negeri menubuhkan satu syarikat yang menawarkan perkhidmatan keretapi dengan harga tiket rendah. Syarikat Keretapi Johor ini boleh menyewa koc daripada syarikat KTM dan membayar tol kepada mereka untuk menggunakan landasan.
Kerajaan persekutuan sepatutnya tidak ada sebarang alasan untuk menolak cadangan ini, kerana, kerajaan persekutuan akan turut mendapat keuntungan daripada penyewaan kemudahan KTM.
Konsep Rancangan Pengangkutan Awam
Tujuan untuk meningkat kadar penggunaan sistem pengangkutan awam adalah menurun kadar maut di jalanraya, meningkatkan pendapatan boleh guna keluarga serta mengurangkan kesesakan lalulintas.
Oleh demikian, kita seharusnya merancang pengangkutan awam dengan memikirkan soal “public goods”, bukan perkhidmatan yang menguntungkan syarikat. Kalau kehidupan rakyat ditingkat taraf melalui perkhidmatan pengangkutan awam, maksudnya masyarakat dan negara kita untung.
Sistem BRT yang akan dilancarkan di Wilayah Iskandar perlu dirancang dengan fikiran seperti ini juga. Sistem bas pengantara boleh diperbaiki segera tanpa membina lebuhraya atau jalanraya yang baru. Kalau kerajaan masih mahu membina jalanraya baru untuk mengatasi kesesakan lalulintas, masalah ini tidak akan diselesaikan.
Daripada pengalaman seluruh dunia, lebih banyak lebuhraya dan jalanraya dibina, lebih teruk kesesakan lalulintas.
Contohnya, walaupun flyover dari Lebuhraya Senai ke Jalan Lapangan Terbang telah siap dibina, tetapi kesesakan lalulintas masih berlaku tiap tiap hari pada waktu puncak. Ini kerana, terlalu banyak kenderaan menggunakan jalanraya hanya pada waktu puncak untuk pergi kerja atau balik rumah.
Sekiranya kerajaan boleh menyediakan perkhidmatan bas pengantara dan keretapi yang lebih kerap serta jaringan bas yang menyeluruh dengan harga tiket rendah, Senai percaya lebih ramai orang akan mengubah cara hidup mereka.
Pembangunan Iskandar: metropolis yang sedang membangun atau fun fair warga asing sahaja?
Yang Berhormat Tan Sri Speaker,
Masalah Belanjawan 2015 ini adalah janji besar, tindakan kecil, ataupun mengambil tindakan salah.
Memang, negeri Johor khasnya wilayah Iskandar berkembang pesat selepas projek ini dilancarkan. Tetapi, adakah penduduk tempatan mendapat sebarang keuntungan daripada perkembangan tersebut atau sekadar dipinggirkan dalam proses pembangunan ini?
Kerajaan negeri seharusnya menerima pelaburan asing yang akan menambah peluang perkerjaan untuk orang tempatan sahaja. Kalau pembangunan hanya menawar peluang perkerjaan kepada warga asing, apalah guna pembangunan ini?
Oleh demikian, Senai ingin bertanya, adakah pembangunan yang dijalankan sekarang menguntungkan kesemua anak Johor? Adakah Wilayah Iskandar sebuah metropolis yang sedang membangun atau sekadar fun fair warga asing sahaja?
Sekiranya cara pembinaan bangunan yang digunakan oleh semua pemaju-pemaju sama taraf dengan teknologi yang sedia ada, malah, pamaju asing ini mengunakan buruh asing bukan orang tempatan, kenapa kita izinkan mereka mengambil lokasi utama, melakukan aktiviti spekulasi harga hartanah yang tidak menguntungkan kita anak Johor barang sedikit pun?
Senai juga memang bersetuju dengan pandangan beberapa wakil rakyat dari sebelah sana, isu pekerja asing kian serius. Kita perlu menangani isu ini dengan cara holistik.
Pekerja Asing
Pandangan saya, isu pekerja asing di Malaysia sebenarnya adalah isu “penyeludupan manusia” yang sah. Maksudnya, kita import tenaga buruh melalui saluran yang sah tetapi masih wujud masalah pemerdagangan manusia.
Dasar-dasar kerajaan persekutuan yang tidak menghalang import buruh asing tanpa kemahiran, maka, meletakkan banyak halangan terhadap pekerja asing kemahiran ataupun eksekutif yang berhasrat kerja di Malaysia, ini adalah satu punca utama yang mengakibatkan masalah.
Sektor intensif buruh tiada insentif untuk meningkat taraf kemahiran mereka kerana kos buruh asing lebih murah daripada pekerja tempatan, dan tidak cukup perhatian diberi kepada kebajikan pekerja asing.
Setakat ini, 70% tenaga buruh di Malaysia adalah “unskilled”, ataupun “semi-skilled” dan sebagian besar adalah pekerja asing.
Ramai warga Malaysia khasnya orang muda terpaksa bersaing dengan pekerja asing tanpa kemahiran dengan gaji yang rendah, kerana, kerajaan tidak memberi insentif yang cukup menarik untuk IKS menjalankan mechanisation dan automation.
Akhirnya, golongan muda yang dibebani pinjaman PTPTN, mempunyai sekadar diploma dari IPTS terpaksa menurunkan jangkaan kerjaya mereka, ataupun keluar dari pasaran pekerjaan, khasnya wanita. Kenapa kita tidak menyediakan lebih banyak insentif untuk IKS meningkatkan produktiviti melalui mechanisation dan automation upah pekerja tempatan yang mempunyai kemahiran dengan gaji yang lebih menarik?
“Race to bottom” perlu dihentikan segera. Senai mencadangkan supaya kerajaan negeri menubuhkan lebih banyak institusi vokasional untuk pelajar-pelajar yang tidak dapat menghabiskan pendidikan di peringkat sekolah menengah dan pelajar yang tidak berminat dalam pendidikan tinggi. Tak perlu tunggu kerajaan persekutuan lagi.
Isu Senai
Yang Berhormat Tan Sri Speaker,
Dalam Bajet 2015, JKR Kulaijaya diperuntukkan sebanyak RM 500 ribu, Senai berharap peruntukkan ini akan digunakan untuk memperbaiki Jalan Besar Kulai Besar. Jalanraya ini telah menjadi kawasan hitam kepada penunggang motosikal kerana terdapat lubang yang besar.
Malah, masalah Kulai Besar bukan sahaja lubang dan lopak yang seringkali muncul selepas hujan, penutupan persimpangan untuk kenderaan masuk ke Taman Teok telah mengakibatkan kesulitan kepada penduduk-penduduk Taman Teok. Senai faham penutupan itu tidak dapat dielakkan kerana terlalu banyak kemalangan berlaku, tetapi JKR atau PBT seharusnya menyediakan satu jalan alternatif untuk pengguna jalanraya.
Senai telah menghantar cadangan kepada PBT dan JKR agar simpang tiga di depan Stesyen Petrol Shell Kulai Besar boleh diubahsuai ke simpang empat untuk mengatasi masalah tersebut, namun begitu, Senai masih belum dimaklumkan apa keputusan yang diambil oleh pihak berkenaan.
Banjir Kilat Jalan Seelong
Yang Berhormat Tan Sri Speaker,
Sekarang adalah musim hujan, Senai percaya, ramai YB-YB yang berada di dalam dewan ini sangat takut apabila berlaku hujan lebat. Ini kerana banjir kilat sering berlaku memandangkan pembangunan semakin pesat dan pemuliharaan alam sekitar tidak diambil berat dalam proses tersebut.
Contohnya, bahagian Jalan Seelong berdekatan kilang Celestica telah beberapa kali banjir selepas hujan lebat kerana kawasan sekeliling sedang membangun kawasan industri. Sistem perparitan yang tidak menyeluruh mengakibatkan bahagian jalanraya itu jadi kawasan hitam banjir.
Senai harap PBT atau JPS akan mengambil berat isu ini walaupun masalah banjir tersebut mungkin adalah masalah sementara dalam proses pembangunan, tetapi kepentingan penduduk-penduduk Seelong dan pengguna jalanraya yang terjejas mesti diberi perhatian.
Projek Perumahan Terbengkalai: Taman Permata Impian
Yang Berhormat Tan Sri Speaker,
Memandangkan isu perumahan di negeri Johor semakin hangat, kerajaan negeri seharusnya bukan sahaja menjalankan projek baru, juga memperbaiki semua projek perumahan terbengkalai secepat mungkin.
Taman Pertama Impian sebenarnya tidak terletak dalam kawasan saya, itu kawasan Bukit Permai, tetapi Senai ingin bangkitkan isu ini dalam dewan kerana pembeli rumah sana telah menanti terlalu lama untuk rumah mereka siap dibina.
Malah, Taman Pertama Impian ini terletak jauh dari jalan utama, tiada bas pengantara yang masuk ke sana, jadi semua penduduk terpaksa membeli kenderaan walaupun kawasan itu memang kawasan rumah kos rendah ataupun sederhana sahaja.
Cuti Hujung Minggu
Akhir sekali, berkenaan cuti hujung minggu, apa keputusan yang diambil oleh kerajaan selepas enam bulan survey dan kajian?
Penukaran cuti hujung minggu akan membawa kesan negatif kepada pembangunan ekonomi kita dalam jangka masa panjang. Seandainya sektor swasta, khasnya sektor kewangan, terpaksa menukar cuti hujung minggu dari hari Ahad ke Jumaat, pembangunan ekonomi kita akan terjejas memandangkan pelaburan kita banyak bergantung kepada pelabur warga Singapura dan China.
Senai juga ingin mendesak parti MCA, supaya jangan buat bantahan di luar dewan sahaja. Kalau mereka benar membantah penukaran tersebut, mereka sepatutnya minta YB Paloh dan YB Pulai Sebatang menjalankan tugas mereka dalam dewan yang mulia ini.
Sekian terima kasih.