Skip to content

Ucapan Perbahasan sempena Pembentangan Bajet 2015 Negeri Johor oleh ADUN Yong Peng Chew Peck Choo

Yang Berhormat Dato Speaker

Selamat petang dan salam sejahtera diucapkan kepada Yang Berhormat Dato Speaker dan Ahli – Ahli Yang Berhormat sekalian.

Yong Peng mengucapkan terima kasih kerana diberikan peluang mengambil bahagian untuk membahaskan Bajet 2015 Negeri Johor.

Yong Peng teruskan ucapan dengan menyentuh peranan dan kefungsian Pihak Berkuasa Tempatan iaitu PBT.Selama ini perlantikan ahli – ahli PBT adalah perlantikan terus yang dilantik oleh pihak kerajaan yang memerintah.

Saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini dan mencadangkan agar satu pilihanraya peringkat Kerajaan Tempatan dapat diadakan.

Saya berpendapat dengan adanya pilihanraya tersebut suara dan corak pemikiran rakyat setempat dapat direalisasikan.

Ini akan menjadikan fungsi dan peranan ahli – ahli yang terlantik lebih dekat dengan para penduduk yang diwakilinya.

Selain itu hubungan yang rapat antara mereka dapat menterjemah konsep “benar – benar berkhidmat kepada rakyat”.Segala masalah yang berbangkit adalah terus daripada rakyat.

Selain itu.jika pilihanraya itu dapat diadakan maka tenaga – tenaga professional dan pemimpin masyarakat setempat boleh menawarkan diri untuk menjadi calon.Sehubungan dengan itu bentuk pemikiran dan kehendak rakyat di kawasan tersebut dapat disuarakan dengan lebih berkesan kerana ahli – ahli majlis juga dapat menghayati keperluan dan masalah yang timbul.

Dengan adanya pilihanraya tersebut, prestasi Kerajaan Tempatan juga akan lebih berkesan semasa menangani aduan yang dibawa oleh orang awam.

Yong Peng juga ingin mengambil kesempatan ini meminta YB Exco Kerajaan tempatan memberi penjelasan berkenaan SOP PBT (Standard processing procedure) (Minta izin) menangani aduan/permohanan yang dibawa oleh penduduk tempatan

SOP ini termasuk:-

  1. Masa diambil untuk membalas satu aduan
  2. Masa diambil untuk menyelesaikan satu masalah/aduan?
  3. Pemantauan kerja-kerja yang dijalankan oleh setiap kontraktor?
  4. Denda yang dikenakan kepada kontraktor yang gagal atau cuai melaksanakan kerja-kerja PBT.

Yang Berhormat Dato’ Speaker

Isu kedua yang Yong Peng akan sentuh adalah berkaitan Jalan Persekutuan No 1 antara Johor Bahru hingga ke Gemas.

Jalan ini mempunyai satu nostalgia yang dekat dengan hati kita.

Sebelum adanya Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) jalan inilah yang menghubungkan Semenanjung Malaysia.

Namun malangnya keadaan jalan tersebut yang mendukacitakan khususnya antara Ayer Hitam ke Labis. Yong Peng menerima aduan daripada penduduk di kawasan Yong Peng, keadaan jalan itu yang berlubang – lubang dan tidak rata, amat membahayakan pengguna – pengguna jalan tersebut. Selain itu keadaan jalan yang sempit terutamanya di kawasan jambatan,tambahan pula kekurangan lampu jalan di situ dan kawasan selekoh juga amat membahayakan.Adakah pihak kerajaan negeri berhasrat nak menyelesaikan masalah ini?

Yong Peng perlu pertolongan YB Exco berkenaan memberitahu apakah procedure yang digunakan untuk mengenalpasti jalan yang sakit termasuk jalan persekutuan, jalan negeri , jalan kampung, jalan kawasan perumahan dan jalan kawasan perindustrian?

Selain isu jalan persekutuan Yong Peng ingin menyentuh berkaitan pemantauan terhadap paip gas antara Kluang ke Yong Peng.

Saya menyeru dan berharap agar pihak kerajaan mengambil cakna terhadap pemeriksaan berkala terhadap sistem paip gas tersebut. Kita tidak mahu kejadian seperti di Taiwan beberapa bulan yang lepas berlaku di kawasan kita.

Yang Berhormat Dato’ Speaker

Seterusnya saya ingin bangkitkan isu berkenaan cadangan Yong Peng sebelum ini iaitu pembinaan sebuah hospital di kawasan Yong Peng.Walaupun telah dijawab namun oleh kerana keperluan penduduk kawasan yang mendesak maka Yong Peng bangkitkan semula untuk perhatian pihak kerajaan.

Menurut maklumat yang jumlah keupayaan hospital kerajaan dan swasta di daerah Batu Pahat adalah seperti berikut :

  1. Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat – 516 katil
  2. Hospital Putra – 84 katil
  3. Hospital Pantai – 106 katil

Mengikut nisbah yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (MOH) nisbah penduduk berbanding katil di hospital adalah 1.8: 1000.

Keadaan itu jelas tidak mencukupi jika dibandingkan dengan jumlah penduduk di Daerah Batu Pahat dan sekitarnya.Dengan mencadangkan sebuah hospital kecil dibina di kawasan Yong Peng berkapasiti 100 buah katil,ia dapat menampung pesakit – pesakit dari kawasan Yong Peng, Lam Lee, Bekok,Kangkar Bahru,Paloh, Ayer Hitam,Parit Yaani, Parit Sulong dan kawasan sekitarnya.

Untuk Perhatian Dewan yang mulia ini, untuk sebuah Negara maju, kesihatan sangat penting, maka Hospital Batu Pahat jarak 28km dari Yong Peng bagi seorang pesakit adalah jauh. Tentulah kalau hanya pergi membelibelah maka jarak itu bukan masalah.

Untuk makluman dewan yang mulia ini,pesakit – pesakit di kawasan Yong Peng juga menghadapi kesukaran pengangkutan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Batu Pahat.Saya difahamkan tiada perkhidmatan bas di antara hospital dan stesen bas Batu Pahat.Sekali lagi saya menyeru,berharap dan merayu kepada pihak kerajaan untuk melihat isu ini dengan lebih dekat agar sebuah hospital kecil dapat dibina di kawasan Yong Peng.

Dato’ Speaker dan ahli – ahli Yang Berhormat Sekalian,

Sistem prasarana yang baik adalah faktor keselesaan hidup rakyat,di kawasan saya masih menghadapi masalah – masalah banjir kilat dan kekurangan lampu jalan.Banjir kilat sering berlaku di Jalan Kekwa, Taman Timur,Jalan Keembong, Taman Selatan,jalan berhampiran Lucky Garden dan jalan berhadapan restoran KFC Yong Peng . Seterusnya kekurangan lampu – lampu jalan di kawasan saya seperti di jalan helang, Taman Sembrong Barat, Jalan Tembaga, Taman Muhibbah, Jalan Kelerai, Taman Desa, Jalan Kerambit, Taman Ria dan sebagainya menjadi satu faktor meningkatnya kes pecah rumah dan kecurian.Walaupun permohonan dari penduduk telah lama ditujukan kepada Majlis Daerah Yong Peng, malahan masih tunggu tindakan atau jawapan dari Pihak Berkenaan.

Minta pertolongan YB Exco memberi satu penyelesaian dan bilakah ia boleh diselesaikan?

Dato’ Speaker dan ahli – ahli Yang Berhormat Sekalian,

Yong Peng menyambut baik akan pembentangan Bajet 2015 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang memperkasa Sumbangan dan Profesionalisme Wanita.

Yong Peng ingin nak bertanya dengan hanya RM150 ribu peruntukkan Kerajaan Persekutuan dapat mensasarkan menolong berapa orang wanita yang berminat dalam keusahawanan?

Yong Peng juga menyambut baik pembangunan Wanita India di Negeri Johor berdasarkan peruntukkan untuk pembiayaan keseluruhan yang disedia di bawah AIM oleh kerajaan pusat untuk usahawan wanita india. Namum kerajaan negeri johor perlu memahami wanita Melayu dan Cina juga ada yang tidak mampu dan tidak boleh ketinggalan.

Dikesempatan ini juga Yong Peng ingin membawa isu yang membabitkan kaum wanita bekerja yang amat memerlukan Pusat asuhan. Pada masa ini sebuah keluarga juga memerlukan suami dan isteri bekerja. Kekangan ekonomi dan keperluan yang mendesak memerlukan kedua – duanya bekerja. Sehubungan dengan itu Yong Peng menyeru dan mencadangkan satu mekanisme diadakan agar dapat ditubuhkan pusat – pusat asuhan kanak – kanak di syarikat – syarikat swasta serta pejabat – pejabat kerajaan.

Wanita yang mempunyai anak tidak dapat turut serta bekerja bersama – sama mencari rezeki untuk keluarga atas faktor kesulitan menempatkan anak –anak yang ditinggalkan untuk bekerja.Tambahan pula sebahagian ibu – ibu yang menjadi suri rumah tangga sepenuh masa adalah daripada golongan terpelajar.Pihak kerajaan dan swasta kerugian tenaga mahir daripada wanita – wanita tersebut.Sekiranya pusat – pusat asuhan dapat diwujudkan tentunya ia akan dapat menyelesaikan masalah itu.

Selain daripada dapat membantu kewangan keluarga wanita yang bekerja juga akan dapat menabung dalam Kumpulan Simpanan Pkerja (KWSP).Ia dapat dimanfaatkan di hari tua nanti.Kajian juga menunjukkan wanita yang tidak bekerja berasa rendah diri jika bergaul antara rakan – rakan mereka.Perlu ada usaha daripada pihak kerajaan untuk membantu mengatasi masaalah tersebut.Rakyat yang hidup bahagia diperlukan untuk memakmurkan negeri dan Negara.

Yong Peng juga menyambut baik akan pembentangan Bajet 2015 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dengan strategi Utama Bajet 2015 membangunkan masyarakat berilmu dan berkemahiran Bagi Mendukung Peralihan Kearah Ekonomi berasas pengetahuan yang membina Upaya Insan untuk kekuatan Bangsa.

Mengikut definasi– Bangsa yang disebut disini adalah Bangsa Johor yang tidak kira kaum dan agama.

Untuk matlumat Dewan yang mulia ini, Kerajaan Pakatan Rakyat iaitu Pulau Pinang dan Selangor telah memberi peruntukkan tetap kepada sekolah menengah Cina Swasta sejak memegang kerajaaan negeri, kerajaan BN iaitu Sarawak juga telah mengumumkan memberi peruntukkan kepada sekolah tersebut tidak lama sebelum ini, kerajaan Kelantan dan Kerajaan Perak pula mengurniakan tanah.

Dengan tema Bajet 2015 – “Membangunkan Johor secara Inklusif”, Yong Peng berasa segala pengagihan dana negeri , sekolah menengah Cina Swasta ini juga tidak boleh ditinggalkan.

Yong peng dengan sukacita menyeru Kerajaan Negeri Johor memberi Peruntukkan tetap kepada sekolah ini untuk menampung perbelanjaan sekolah tersebut. Saya juga berharap permohonan ini dapat sokongan dari Pihak Exco dan ADUN –Adun pemanis dan Paloh yang lebih faham masalah sekolah tersebut.

Yang Berhormat Dato Speaker

Yong Peng menyambut baik strategi Bajet 2015- Memangkin kesejahteraan hidup rakyat yang teliti mengurangkan Kemiskinan dan menyediaan tempat berlindung untuk membina keluarga Yang kukuh.

Akan tetapi Yong Peng khurtir niat baik Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang memastikan setiap warganya mempunyai tempat perlindungan yang sesuai dan selesa akan sia-sia dengan

jawapan yang diberikan oleh pejabat Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor,

wujudnya kuota Parti Politik iaitu UMNO, MCA dan MIC yang permohonannya perlu surat sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri untuk permohonan Rumah Kos Rendah , Kos sederhana dan Rumah mampu Milik Negeri Johor.

Yang Berhormat Dato Speaker

Sebenarnya Rumah Kos Rendah , Kos sederhana dan Rumah mampu Milik Negeri Johor bertujuan untuk menolong bangsa johor termasuk penjawat awam yang berpendapatan rendah yang masih belum memiliki sebarang rumah, malah dengan adanya kuota parti politik ini ia akan mengurangkan peluang untuk mereka yang betul-betul perlu rumah persendirian.

Yong Peng menyeru agar praktikal yang tidak sihat iaitu kuota parti politik ini dapat diberhentikan.

YB Exco Kerajaan Tempatan perlu memberi satu penerangan apakah tindakan kerajaan yang boleh memastikan tiada lagi praktikal yang tidak sihat ini yang akan menghalang niat baik Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam Bajet 2015 dengan strategi Memodenkan prasarana serta mengukuhkan kepercayaan Awam Terhadap Pentadbiran dan Institusi Kerajaan.

Yong Peng berharap MACC dapat menyiasat dan SPR perlu mengadakan satu garis panduan untuk mengelakkan parti politik menggunakan surat sokongan , permohonan Rumah Kos Rendah , Kos sederhana dan Rumah mampu Milik Negeri Johor

yang boleh dianggap langgar akta-akta pilhanraya.

Dato’ Speaker dan ahli – ahli Yang Berhormat Sekalian,

Akhirnya saya ingin menyentuh isu berkaitan harga getah dan kelapa sawit yang tidak menentu akhir – akhir ini.Kebanyakkan rakyat di kampung – kampung bergantung hidup kepada hasil jualan getah dan kelapa sawit.Apa rancangan pihak kerajaan untuk menstabilkan harga komoditi?Adakah penetapan harga siling bagi komoditi tersebut seperti Base Loan Rate (BLR) (dengan izin) bank –bank komersial dapat ditentukan?

Yang Berhormat Dato Speaker

Sekian Ucapan Yong Peng , terima kasih.