Skip to content

Ucapan Perbahasan Usul Junjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong oleh Wong Shu Qi, Ahli Parlimen Kluang

Terima Kasih dan Salam Sejahtera.

Tuan Yang Dipertua

Saya berasa amat bersyukur kerana buat julung kalinya diberi peluang untuk mewakili rakyat Kluang dalam Dewan yang mulia ini. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua ahli Dewan Rakyat kerana kita semua diberi mandat oleh pengundi kawasan masing-masing dalam satu pilihan raya yang menyaksikan peralihan politik negara kita.

Peralihan politik yang aman ini bukan satu perkara yang mudah memandangkan banyak negara gagal dalam proses tersebut. Peralihan politik juga bukan benda ajaib ataupun “magic” yang akan secara automatiknya menjadikan Malaysia sebagai model demokrasi yang terbaik di dunia. Maksud saya ialah, kita semua perlu ingat, terutamanya Ahli-ahli di pihak kerajaan, termasuklah saya sendiri, perjalanan kita baru saja bermula dan cabaran yang kita bakal hadapi cukup besar. Ramai di luar sana mempunyai harapan yang tinggi melangit terhadap kerajaan baru.

Mereka mahu perubahan dilakukan dengan kadar segera di semua peringkat kerajaan. Namun, semua ini memerlukan masa. Lihat sahaja benih reformasi yang ditanam 20 tahun yang lalu, kini baru berputik bunga. Lihat angin perubahan yang bermula 10 tahun yang lalu, kini baru menjana tsunami rakyat yang melanda negara kita. Justeru, yang akan betul-betul menikmati buah hasil peralihan politik ini ialah generasi depan kita, 10 tahun atau 20 tahun yang akan datang. Pepatah Cina menyebut, satu generasi menanam pokok, satu lagi generasi menikmati redupnya.

Justeru, saya ingin meminta agar semua rakan-rakan Yang Berhormat sabar dalam kita bekerja keras. Yang di sebelah sana kalau mahu kembali ke tempat duduk dahulu sekalipun, ingat, mestilah mengikut jalan-jalan demokrasi yang betul, buangkan politik perkauman, sebab politik perkauman telahpun ditolak oleh majoriti anak Malaysia.

Tuan Yang Dipertua

Seperti membina bangunan, apa yang kita bina pada hari ini, sama ada akan kekal atau runtuh di masa hadapan kelak bergantung kepada asas yang kita letakkan. Kalau kita mahu sebuah demokrasi yang sihat dan kukuh, maka lebih baik kita meletakkan sebagai asasnya institusi demokrasi yang utuh bermula dari sekarang.

Justeru, saya menyarankan agar kerajaan segera menubuhkan sebuah Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat. Majlis Perundingan ini perlu berfungsi untuk membina asas hubungan antara kaum yang lebih kukuh demi menjamin masa depan kita bersama-sama. Bagi mencapai sasaran tersebut, kita mesti bermula pada hari ini memahami sentimen di kalangan masyarakat majmuk ini.

Walaupun negara kita Malaysia telah tertubuh selama 55 tahun, di kalangan rakyat, ada ramai lagi yang berasa bahawa mereka hidup tertindas. Di bawah pemerintahan rejim lama, sesiapa yang merasakan diri mereka mangsa penindasan, akan senantiasa menuding jari ke kaum lain sebagai penindas mereka. Melayu tertindas, kerana kaum lain mengambil kesempatan ke atas mereka. Cina tertindas, kerana kaum lain membuli mereka. India tertindas, kerana kaum lain mengabaikan mereka. Dan saudara senegara kita di Sabah Sarawak, juga berasa tertindas kerana perbuatan kaum lain, terutamanya di Semenanjung ini.

Pendek kata, hampir setiap kaum rasa bahawa mereka menjadi mangsa penindasan di bawah rejim lama dahulu. Dan lazimnya, faktor penindasan dipersalahkan ke atas warna kulit. Tapi, jika semua orang berasa tertindas, maka siapa sebenarnya yang membuli dan siapa pula yang dibuli? Apakah punca dimangsakan, dengan izin, victimisation, tersebut? Paling penting sekali, bagaimana kita boleh menanangi masalah ini di bawah kerajaan Pakatan Harapan?

Dalam usaha kita membina semula negara kita, isu keresahan setiap kaum ini mestilah kita selesaikan: harapan besar rakyat Malaysia ialah, tiada lagi orang yang berasa mereka tertindas di tanah air sendiri. Setiap rakyat Malaysia perlu mempunyai keyakinan bahawa di negara sendiri, kita akan dapat mengejar impian masing-masing tanpa dihalangi mana-mana pihak kerana warna kulit kita.

Biarlah kita jujur dan ikhlas dalam perbahasan dalam Dewan yang mulia ini. Biarlah kita membawa suara rakyat akar umbi, bertolak ansur dan saling menghormati pandangan yang dikemukakan di sini walaupun tidak bersetuju dengan pandangan tersebut, kerana kepelbagaian pandangan ini sebenarnya cermin kepada kepelbagaian masyarakat kita.

Tuan Yang Dipertua,

Dalam proses penubuhan Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi Afrika Selatan, pengerusi Suruhanjaya, Desmond Tutu berkata bahawa, “no future without forgiveness” – tiada masa depan tanpa pengampunan. Tetapi, tanpa kebenaran, tiada pengampunan. Kita perlu tahu kebenaran di sebalik sesuatu perkara barulah kita boleh membuat keputusan untuk memaafkan mereka yang telah membuat salah jika ada. Dan pada masa yang sama, pihak yang memohon pengampunan mesti ikhlas dan jujur dalam proses tersebut.

Saya sangat setuju dengan idea ini. Seharusnya dalam kita ghairah mencari keadilan ke atas segala semua penindasan kerajaan lama, jangan pula kita meneruskan kitar kemarahan (the cycle of anger) di antara kaum; kita perlu menghentikan kitar kemarahan tersebut. Dalam kita mencari keadilan, kita perlu sedar bahawa masyarakat kita setelah beratus tahun hidup dalam keadaan pecah-perintah melalui dasar perkauman penjajah dan rejim terdahulu, kita perlukan keadilan restoratif selain keadilan retributif. Tanpa menyembuhkan luka-luka akibat racun perkauman terdahulu, sukar kita membina ukhuwah masyarakat Malaysia baru demi membentuk sebuah bangsa Malaysia yang utuh. Justeru, elemen penghukuman penting, tetapi elemen pengampunan juga amat penting sekali.

Tuan Yang Dipertua,

Saya kenal seorang lelaki yang pernah dipenjarakan selama 12 tahun ke atas sesuatu jenayah yang dia tidak terlibat langsung. Lelaki ini ditangkap oleh kerajaan Taiwan pada umur muda 22 tahun ketika beliau sedang menuntut di Universiti Tainan, Taiwan. Dia dipaksa oleh pemerintah untuk menulis pengakuan jenayah yang dia tidak terlibat dan tidak tahu apa-apa tentang. Dia diseksa dalam siasatan, sepuluh jari jemarinya dicucuk dengan carum, dihalang daripada tidur dan rehat pada waktu malam, digantung songsang dan disumbat air ke dalam mulutnya.

Walaupun dia didapati tidak bersalah, namun dia tetap dikurung selama 12 tahun kerana kerajaan Taiwan ketika itu dengan latar belakang Perang Dingin, tidak sanggup untuk mengaku mereka tersalah tangkap orang.

Nama lelaki tersebut Chin Him San, dilahirkan di Ipoh. Encik Chin meninggalkan kampung halaman demi menuntut ilmu di luar negara. Impiannya ialah untuk mendapat ijazah sarjana muda di Taiwan, kemudiannya menyambung pelajaran ke United Kingdom dan pada suatu hari pulang ke tanah air untuk mengajar di Universiti Malaya.

Malangnya, impian Encik Chin musnah sepenuhnya. Dia bukan ahli politik, dia hanya seorang pelajar biasa. Taiwan zaman 70–an berbeza dengan Taiwan masa kini. Proses pendemokrasian telah berlaku dengan pesat selepas itu. Namun, berapa ramai orang biasa seperti Encik Chin telah hilang segala-galanya termasuk impian mereka sepanjang proses pendemokrasian tersebut? Ramai yang ingin menyumbang kepada usaha menambahbaik negara, tetapi dilihat sebagai orang jahat dan penjenayah dan diperlakukan sedemikian oleh kerajaan.

Kes Encik Chin Him San berlaku di Taiwan, namun berbalik ke Malaysia pula, berapa ramai “orang biasa” di Malaysia seperti Encik Chin yang mempunyai pengalaman yang sama. Ada yang terlibat dalam politik dan mereka cuba untuk bersama-sama membangunkan negara ini, ada pula daripada masyarakat sivil, ada juga rakyat biasa yang tiada kepentingan politik, tetapi mereka pernah menjadi mangsa rejim. Sampai orang korporat pun terpaksa keluar video minta ampun daripada kerajaan lama kerana mengkritik mereka.

Kita tidak boleh lagi melakukan kesilapan terdahulu. Tiada siapa-siapa patut dimangsakan semata-mata kerana pandangan politik mereka tidak sehaluan dengan pihak kerajaan. Kita mesti membina satu sistem demokrasi yang sihat, supaya tidak akan berlaku kes seperti Encik Chin, supaya tiada lagi kematian seperti Teoh Beng Hock, supaya orang yang mencuri dihadapkan ke muka pengadilan dan orang yang melaporkan kecurian tidak didakwa seperti Yang Berhormat Damansara ataupun Saudara Rafizi Ramli.

Tuan Yang Dipertua,

Ramai pejuang demokrasi tidak menyangka bahawa kita boleh mencapai kemenangan pada hari ini. Pada malam keputusan pilihan raya ke-14 diumumkan, ada seorang penyokong kita yang terpaksa dimasukan ke hospital kerana sesak nafas akibat, terlalu gelisah. Beliau meninggal dunia dua hari selepas itu. Seorang lagi veteran parti DAP yang pernah menjadi calon suatu ketika dahulu, tetapi sudah lama terlantar koma di hospital; apabila diberitahu keputusan pilihan raya umum ke-14, denyutan jantung beliau meningkat dengan mendadak sehinggakan ahli keluarga membisik kepada beliau agar kena bertenang. Beliau juga meninggal dunia beberapa hari selepas itu, bagaikan penutup kepada perjuangan berdekad lamanya sudahpun tercapai. Orang-orang ini semunaya telah menyumbangkan sepanjang hayat mereka demi perjuangan demokrasi negara kita. Perjuangan mereka mesti kita kenang. Tanpa sumbangan mereka, kerajaan Pakatan Harapan tidak akan menang pada hari ini.

Justeru, tanggungjawab kita amat berat kerana kita mesti bina satu sistem demokrasi yang akan menjamin masa depan negara kita. Bukan setakat ada pilihan raya formal sahaja, tetapi pembudayaan demokrasi dalam segala aspek kerajaan dan kehidupan bermasyarakat yang mampu menjamin kemakmuran, keamanan dan pendamaian negara kita.

Tuan Yang Dipertua,

Isu bahasa sering menjadi pertikaian di negara kita. Pihak-pihak chauvinis tidak kira dari apa kaum sekalipun hanya ingin memperjuangkan bahasa masing-masing tanpa mengambilkira kepentingan bahasa kebangsaan dan juga bahasa ibunda masyarakat majmuk di negara ini. Di sini, saya ingin mengajak Dewan yang Mulia ini untuk melihat kepelbagaian bahasa dan budaya sebagai kekuatan masyarakat kita. Impian saya untuk tanah air tercinta ialah untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang hebat di kalangan negara-negara Asia Tenggara mahupun dunia kerana rakyat kita mampu bertutur dalam pelbagai bahasa. Malaysia berpotensi untuk menjadi hab penerjemahan budaya dan tamadun dunia, malah kita seharusnya menjadi pengantara tiga tamadun besar, iaitu Asia Timur, Asia Selatan serta Austronesian.

Bahasa Melayu, bahasa kebangsaan kita ada 300 juta pentutur di rantau ini. Bahasa Cina bahasa yang dikuasai oleh ramai rakyat Malaysia, termasuk yang bukan Cina sekalipun ialah sebuah bahasa yang mempunyai sekurang-kurangnya 1.4 bilion pentutur di luar sana. Bahasa Tamil, satu lagi bahasa yang dikuasai oleh rakyat Malaysia pula ada 66 juta pentutur. Bayangkan dengan penguasaan ketiga-tiga bahasa ini, belum campur lagi dengan Bahasa Inggeris, rakyat Malaysia akan mendapat akses kepada semua pasaran yang menggunakan bahasa-bahasa tersebut. Betapa besarnya peluang bagi generasi anak Malaysia yang akan datang jika kita mampu mengenepikan pemikiran sempit tentang bahasa dan menggalakkan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia menguasai seberapa banyak bahasa yang mungkin.

Walaupun saya seorang pelajar di Sekolah Menengah Persendirian Cina selama 6 tahun dan kemudiannya, menuntut kursus Ijazah Saujana Muda Media dalam bahasa Cina, pengalaman pendidikan aliran Cina tidak menjadi halangan kepada saya untuk menguasai bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris. Kini saya mampu bertutur, membaca dan menulis dalam tiga bahasa besar dunia. Saya percaya peluang sebegini patut terbuka kepada semua anak Malaysia, bukan sahaja anak Cina, tetapi juga anak Melayu, anak India, anak Orang Asli, anak Iban, anak Dayak, anak Kadazan.

Dalam Malaysia baru, saya berharap kita boleh membina semula negara kita dengan kekuatan yang kita ada iaitu kepelbagaian bahasa, walaupun kekuatan ini jarang dihargai. Janganlah kita berpecah kerana kekuatan masing-masing. Biarlah kita mempromosikan tulisan sastera dalam bahasa Melayu tapi pada masa yang sama, jangan lupa bahawa ada ramai anak Malaysia yang mempengaruhi dunia dengan tulisan dalam bahasa lain.

Bayangkan, sebahagian besar warga Amerika Syarikat cuma bertutur dalam bahasa Inggeris, manakala majoriti warga negara China hanya bertutur dalam bahasa Cina sahaja. Apabila dua kuasa besar ini bersaing, apa peranan Malaysia dalam konteks antarabangsa zaman ini? Mampukah kita menjadi negara yang dihormati dengan kekuatan kepelbagaian bahasa dan budaya serta keupayaan diplomatik kita? Bayangkan Malaysia menjadi pusat pendamaian dunia kerana kita boleh mengajar dunia untuk hidup harmoni dalam kepelbagaian kaum dan agama.

Oleh ini, saya mengalu-alukan pandangan Menteri Pendidikan untuk menggalakkan generasi muda menguasai lebih banyak bahasa. Janganlah kita pecah belah lagi kerana ada orang belajar bahasa ini terlebih dahulu atau bahasa itu terlebih dahulu. Tujuan pendidikan adalah untuk memperoleh ilmu pengetahuan. Setiap bahasa adalah tingkap kepada ilmu, lebih banyak tingkap yang dibuka seseorang itu, maka lebih banyak capaian dia kepada ilmu.

Paling penting sekali, rakyat Malaysia sebenarnya merupakan penterjemah yang semula jadi. Majoriti kita hidup dalam komuniti berbilang kaum. Tanpa menjalani kursus ataupun latihan penterjemahan sekalipun, ramai di antara kita sudah mampu untuk menterjemah di antara beberapa bahasa. Biarlah kerajaan baru menghargai dan mengangkat tinggi kekuatan masyarakat kita ini.

Tuan Yang Dipertua,

Satu lagi isu yang saya ingin bangkitkan adalah tentang gejala perjudian yang telah banyak kali dikemukakan di Dewan yang mulia ini. Walaupun negara kita membenarkan aktiviti perjudian yang terkawal, dan itu tidak menjadi pertikaian saya, nampaknya aktiviti perjudian haram menjadi semakin berleluasa.

Masalah kedai mesin judi sudah lama menjadi bahan perbahasan khususnya oleh Ahli-ahli Yang Berhormat di sini. Berkali-kali dibangkitkan, berkali-kali tindakan diambil, namun sindiket kedai mesin judi tetap berani membuka kedai seakan-akan kebal. Tabiat berjudi ini bila dipupuk akan menjadi parah. Dasar rejim lama yang mengutip cukai judi sebagai pendapatan yang sama dengan cukai lain tidak mampu untuk membendung aktiviti perjudian, malah secara tidak langsung akan menggalakkan tabiat berjudi. Mengapa tidak? Lebih ramai orang berjudi, lebih banyak cukai dikutip, lebih tinggi pendapatan yang diperoleh.

Justeru, saya ingin menyeru kepada Kerajaan Pakatan Harapan untuk mengasingkan cukai perjudian daripada cukai biasa. Kerajaan tidak sepatutnya melihat judi sebagai sumber pendapatan. Selain itu, semua cabutan-cabutan khas perlu dihentikan dengan serta merta. Mengapa perlu cabutan khas sedangkan syarikat-syarikat loteri pada masa kini sudah mempunyai cabutan tetap? Membenarkan cabutan khas ini jelas merupakan satu bentuk galakkan oleh kerajaan terdahulu untuk menambahkan aktiviti perjudian.

Fenomena perjudian haram atau kedai mesin kuda ini tidak akan dapat diselesaikan jika kita tidak mengubah sikap orang awam terhadap aktiviti perjudian. Tabiat berjudi adalah sama dengan tabiat menagih dadah; mereka yang ketagih memerlukan perhatian masyarakat, diberi kaunseling, dan aktiviti alternatif yang lebih sihat.

Oleh itu, saya menyarankan agar kerajaan Pakatan Harapan bukan sahaja meningkatkan operasi membanteras aktiviti perjudian haram, kerajaan juga perlu melaksanakan kempen kesedaran terhadap kesan negatif aktiviti perjudian bagi mengurangkan tabiat berjudi di kalangan masyarakat Malaysia.

Tuan Yang Dipertua,

Kita hanya tinggal 25 hari lagi sebelum tempoh 100 hari Malaysia Baru. 100 hari sebenarnya hanya permulaan sahaja. Saya yakin lebih banyak pembaharuan akan dilancarkan. Di antaranya, saya berharap pembaharuan sektor media perlu diberi perhatian.

Rejim lama telah menggunakan media perdana seperti organ propaganda parti mereka sendiri. Adakalanya jika pemimpin terdahulu berasa tidak puas hati dengan berita yang dilaporkan, mereka akan terus menelefon editor media tersebut dan memberi amaran kepada wartawan terlibat. Saya berharap perkara sebegini tidak akan berlaku sama sekali dalam Malaysia baru ini.

Tuan Yang Dipertua,

Semua agenda pembaharuan ini bukan perkara yang mudah. Setiap pembaharuan bakal menghadapi halangan dan kekangan. Namun, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Hari ini kita menyemai benih, 10 atau 20 tahun nanti, kita akan menikmati hasil buah yang manis. Saya mengajak pihak sebelah sana turut bersama dengan Kerajaan Pakatan Harapan demi membina semula negara kita. Akhir sekali, saya menyokong usul Ahli yang Berhormat Sungai Petani menjunjung kasih titah Duli Yang Dipertuan Agong.