Skip to content

Ucapan Perbahasan Usul Junjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor sempena pembukaan Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Ke-13 oleh ADUN Senai, Wong Shu Qi

Terima Kasih dan Salam Sejahtera.

Yang Berhormat Dato Speaker,

Terlebih dahulu, Senai ingin mengucapkan terima kasih kerana berpeluang mengambil bahagian dalam perbahasan usul junjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan sempena pembukaan Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor ke-13 pada Khamis yang lalu.

A. Kesesakan Lalulintas Tambak Johor

Tahun lalu, saya memulakan ucapan perbahasan saya dengan membangkitkan isu kesesakan lalulintas. Setahun telah berlalu, kerajaan masih belum dapat menyelesaikan isu lama, justeru, saya terpaksa membangkitkan isu yang sama sekali lagi pada permulaan ucapan saya kali ini.

Mungkin ada orang yang tertanya-tanya, mengapa saya begitu mengambil berat tentang isu ini? Jawapannya, kerana ayah saya pernah berulang-alik di antara Johor Bahru dan Singapura demi mencari pendapatan yang lebih tinggi untuk pendidikan tiga orang anak beliau. Sehingga hari ini, saya masih ada saudara-mara yang berulang-alik setiap hari menunggang motorsikal. Saya senantiasa bertanya kepada mereka, adakah mereka akan kembali bekerja di Malaysia kalau ada peluang yang lebih baik. Kesemua mereka bersetuju bahawa mereka akan kembali bekerja di tanah air. Malangnya, peluang pekerjaan dan tawaran gaji yang sekurang-kurangya dua-petiga gaji Singapura pun tidak ada.

Sebagai seorang wakil rakyat, saya berasa malu kerana masalah ini tidak dapat diselesaikan walaupun sudah berulang kali dibangkitkan dalam dewan yang mulia ini. Saya sedih kerana setiap hari semak saja dalam media sosial, ada pekerja Malaysia yang terlibat dalam kemalangan jalan raya. Saya kecewa kerana ekonomi negara kita tidak sebaik seperti apa yang digambarkan parti pemerintah di pusat dan negeri ini.

Saya faham bahawa RTS dijangka siap pada tahun 2022, dan saya harap projek ini akan disegerakan bukan dilewatkan seperti apa yang kita saksi di Lebuhraya Pasir Gudang. Dalam pada itu, kita masih perlu menyediakan satu penyelesaian jangka pendek untuk lima tahun yang akan datang. Jangan pandang ringan terhadap lima tahun ini. Tempohnya pendek, tetapi jumlah jiwa yang bakal hilang akan menjadi satu tragedi kalau kita tidak ambil sebarang tindakan untuk lima tahun ini. Bayangkanlah, ada sekurang-kurangnya lima kemalangan setiap minggu. Berapa ramai keluarga akan terkesan kerana kerajaan Muafakat Johor ini tidak mengambil tindakan segera?

B. Isu Pekerja Asing Masuk Tidak Ikut Prosedur

Yang Berhormat Dato Speaker,

Saya sebut tadi sebahagian besar pekerja Malaysia di Singapura berhasrat balik kerja di Malaysia. Maka, gaji semasa dan peluang pekerjaan adalah faktor yang paling penting. Negeri kita berkembang pesat, namun saya senantiasa diberitahu bahawa anak tempatan susah mendapat perkerjaan. Justeru, siapa yang dapat peluang perkerjaan berikutan pembangunan negeri kita?

Bulan yang lepas, saya dihubungi oleh wartawan tentang pekerja asing dari negara China tersesat di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. Apabila saya bertemu dengan kumpulan tersebut, saya dimaklumkan bahawa mereka ditipu oleh agen pekerjaan di China. Mereka datang ke Malaysia dengan pas pelancong bukan “pas pekerjaan” untuk pekerja asing dari China. Apabila mereka dibawa ke sebuah asrama berhampiran tapak pembinaan, baru mereka sedar bahawa mereka telah ditipu oleh agen.

Perkara yang pelik ialah, walaupun warganegara China ini hanya mempunyai pas pelancong, namun mereka dibenarkan bekerja untuk tempoh tertentu. Akhirnya mereka akan menerima satu “special pass” untuk pelepasan imigresen. Ada kalangan mereka yang telah mendapat gaji yang dijanjikan dan pulang ke negara mereka. Ada pula yang berasa mereka ditipu dan justeru balik ke negara dengan kecewa. Yang paling teruk, ada yang rugi kerana telah membayar agen untuk datang bekerja di sini.

Saya berpendapat bahawa, masalah ini memang bukan masalah kerajaan kita. Namun, insiden sebegini akan memburukkan imej negara kita. Pihak berkenaan perlu menerangkan kenapa kita izinkan pemaju dan sub-kontraktor projek-projek besar ini mengambil pekerja asing tanpa ikut prosedur yang sah.

Khasnya, seorang anggota MAS airlines memberitahu saya bahawa keadaan sebegini cuma berlaku selepas direct flights di antara Johor Bahru dan Shenzhen dilancarkan. Saya sendiri membuat pemantauan satu malam hingga jam 2 pagi di lapangan terbang. Agak-agaknya 50 orang daripada 180 penumpang penerbangan tersebut nampaknya jelas masuk untuk bekerja. Agen-agen menunggu mereka di balai ketibaan. Ada lagi agen yang ucap dalam pelat China mendakwa bahawa dia akan membawa mereka ke Kampung Pok. Tujuan mereka? Melancong, melancong di asrama besar-besaran Kampung Pok.

Dalam isu pekerja asing ini, kita mesti ingatkan satu konsep yang penting: Kita mesti menjaminkan kepentingan pekerja asing agar kepentingan pekerja tempatan turut terjaga. Jika tidak, majikan akan mengupah pekerja asing bukan anak Malaysia kerana mereka mudah mengeksploitasikan pekerja asing tersebut. Pekerja tempatan pula akan hilang peluang pekerjaan dan terpaksa menjadi pekerja asing di negara orang.

C. Isu Projek Pembinaan Padang Golf dan Hartanah di Gelang Patah

Yang Berhormat Dato Speaker,

Saya amat setuju dengan ucapan titah Tuanku tentang pengurusan tanah di negeri kita. Kerajaan Team Johor ini tidak seharusnya bermurah hati memberikan tanah-tanah kerajaan kepada individu atau syarikat terutama bagi tanah di dalam kawasan bandar atau pinggir bandar.

Selain itu, kita perlu memantau projek-projek pembangunan ini dari masa ke masa agar tidak terpesong daripada syarat-syarat yang ditentukan dalam buku rancangan yang dihasilkan oleh banyak agensi kerajaan. Tanpa pengawasan dan penguatkuasaan, lebih baiknya kita buang saja buku rancangan itu ke dalam tong sampah.

Dengan ini, saya berharap kerajaan Team Johor ini akan menerangkan mengapa sebuah syarikat telah memperoleh satu bidang tanah seluas 417 ekar di Mukim Tanjung Kupang, Gelang Patah walaupun Rancangan Tempatan menyenaraikan lokasi itu sebagai hutan simpan. Selepas ditukar milik, PBT kemudiannya mengubah kategori kegunaan tanah lot tersebut daripada hutan simpan kepada perindustrian, sembilan bulan selepas penjualan tersebut terlaksana.

Adakah Team Johor ini mengikut prosedur apabila tanah hutan simpan ditukarguna selepas penjualan dilakukan pada 3 Mac 2016? Kalau Team Johor betul-betul mengikut prosedur untuk mengubah kategori kegunaan tanah lot tersebut, kita juga perlu menyoal adakah keputusan tersebut tepat dengan konsep pembangunan Wilayah Iskandar?

Mungkin kes tersebut terlalu kecil kerana keluasan tanah itu 417 ekar sahaja. Walaupun disenarai sebagai hutan simpan, tetapi kawasan sekeliling sudahpun dibangunkan. Justeru, mungkin untuk kerajaan negeri, tidak menjadi masalah jika kita kehilangan hutan simpan seluas 417 di kawasan tersebut. Mungkin kerajaan negeri berpendapat bahawa kita masih mempunyai hutan simpan paya bakau yang jauh lebih luas lagi.

Namun, apa yang membimbangkan ialah, saya telah mendapat maklumat bahawa Team Johor ini bakal meluluskan satu permohonan “degazettement” hutan simpan paya bakau di tempat yang sama. Kali ini, keluasan yang akan terlibat dalam tukarguna tanah adalah 2000 ekar. Dalam kata lain, jika perkara ini adalah benar, maka hampir keseluruhan hutan paya bakau yang terletak dalam Mukim Tanjung Kupang akan dimusnahkan selepas pembangunan itu dilancarkan.

Apa tujuan pembangunan besar-besaran ini? Menurut dokumen yang saya perolehi dan juga kenyataan yang dikeluarkan oleh pemaju berkenaan, pembangunan tersebut merangkumi pembinaan tiga padang golf, hotel, hartanah berketumpatan rendah dan kondominium. Pemaju sudahpun melantik seorang pereka antarabangsa terkemuka untuk rekabentuk projek mereka.

Kalau tidak silap saya projek tersebut akan bermula bulan Mei ini. Padang golf dan hotel pertama akan siap dibina pada hujung tahun ini. Maksudnya kita sedang dalam proses kehilangan 2000 ekar hutan simpan paya bakau. Jangan lupa bahawa hutan simpan paya bakau ini adalah kedua terbesar di seluruh dunia. Kebetulan tarikan ini merupakan antara slogan pemasaran Country Garden untuk projek Forest City.

Paling penting sekali, Tuanku sudah bertitah bahawa lebih baik “kerajaan hanya memberikan hak penggunaaan secara sewaan atau pajakan tahunan, yang akan memberikan hasil yang lebih baik”. Walaupun titah tersebut ditujukan untuk tanah pertanian, saya percaya pendirian Tuanku yang bernas tersebut patut dipertimbangkan untuk tanah kegunaan lain. Saya rasa bahawa, kita perlu meneliti secara terperinci apabila pemaju hartanah luar negara membeli tanah lot kita untuk pembangunan hartanah. Khasnya, ini kes yang melibat hutan simpan.

Adakan kerajaan Team Johor akan menjual hutan simpan kita kepada pemaju hartanah secara pegangan kekal? Buat masa ini, 417 ekar hutan simpan telah dijual kepada mereka sebagai pegangan kekal. Adakah kita bakal kehilangan 2000 ekar lagi pusaka negeri dan negara demi pembinaan padang golf, hotel dan kondominium untuk pemaju asing? Hutan simpan paya bakau merupakan sebahagian penting ekosistem alam sekitar kita, namun dengan pembangunan yang bakal dilaksanakan ini, adakah kawasan Greater Johor Bahru akan terdedah kepada risiko ancaman kemusnahan alam sekitar.

D. Isu Projek Hartanah dibangun oleh Pemaju Luar Negara

Yang Berhormat Dato Speaker,

Pasaran hartanah Johor adalah fokus bukan sahaja di dalam negara kita, ramai pemaju antarabangsa juga mengikuti berita pembangunan Forest City dari masa ke masa. Ini kerana Forest City adalah projek pertama di seluruh dunia yang membina sebuah bandar baru bersifat mesra alam (eco-friendly) di atas tanah penambakan laut. Projek ini akan jadi contoh di seluruh dunia. Dengan skala pembangunan setakat ini, saya tidak boleh bayangkan apa yang akan terjadi jikalau projek ini tidak berjaya. Justeru, saya benar-benar berharap projek ini akan berjaya dan menjadi satu projek contoh untuk masa yang akan datang.

Kita mesti memantau pembangunan hartanah ini secara teliti agar projek ini berjaya. Khususnya, pemaju yang sama akan membangunkan satu projek hartanah besar-besaran di Gelang Patah seperti saya yang sebut tadi. Berapa unit yang akan dibeli oleh anak tempatan serta adakah PBT kita mempunyai kecekapan untuk menguatkuasa kutipan cukai pintu dari semua pembeli warga asing?

Bayangkanlah, kita akan menyaksikan satu lagi projek pembangunan di Gelang Patah. Kalau mengikut dokumen rancangan yang saya memperolehi, projek tersebut melibatkan pembinaan seluas 4.78 juta meter persegi, ataupun 51 juta kaki persegi.

Saya faham Johor Bahru akan dibangunkan sebagai metropolitan. Jumlah populasi kian meningkat. Saya tak pernah mempunyai rasa sangsi terhadap aspirasi ini, saya cuma minta kerajaan Team Johor ini meneliti semua projek pembangunan hartanah yang akan dilaksanakan serta mengambil tindakan agar menyelesaikan masalah jangka pendek.

E. Isu Infrastruktur Basikal secara Pengangkutan Awam dan Sukan Lasak

Yang Berhormat Dato Speaker,

Kemalangan basikal di Jalan Lingkaran Dalam pada awal tahun ini amat memilukan. Masalah ini bukan masalah keluarga kanak-kanak mangsa sahaja. Kita seharusnya meneliti isu ini secara holistik. Kalau kita memandang isu ini sebagai isu pengajaran kepada keluarga tertentu, kita tidak akan menyelesaikan masalah sosial ini.

Jelasnya, keluarga kanak-kanak yang terlibat bukan keluarga yang kaya. Sebahagian besar duduk di kawasan perumahan yang tidak mempunyai kemudahan rekreasi untuk remaja seperti mereka. Taman rekreasi yang dibina oleh pemaju rata-rata tidak mencukupi. Biasanya, alat permainan yang disediakan cuma sesuai untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun. Bayangkanlah, selepas main buaian tiga atau lima tahun, tak bosan ke untuk anak-anak kita?

Basikal nyamuk yang dipakai oleh mereka sebenarnya adalah untuk sukan lasak, basikal BMX, itu extreme sport. Walaupun saya sendiri tidak berani mencuba sukan lasak ini, tetapi kita perlu menyediakan infrastruktur yang sesuai untuk peminat sukan lasak menjalankan aktiviti mereka. Ini tidak terhad kepada basikal BMX, sukan lasak seperti “free running”, “freestyle scootering”, “skateboarding”, “Hardcourt Bike Polo”, MMA dan sebagainya perlu diambil kira dalam merancangan kemudahan rekreasi sedemikian.

Saya ingin tegaskan bahawa, kanak-kanak yang bermain sukan lasak di lebuhraya melakukan kesilapan yang besar. Walau bagaimanapun, kita seharusnya merenung sama ada wujud infrastruktur sukan yang sesuai dan mencukupi ataupun tidak? Maka, saya cadangkan agar kerajaan negeri mewujudkan pusat sukan lasak di setiap daerah untuk pelbagai sukan lasak.

Selain itu, kita perlu meneliti juga infrastruktur untuk pengguna Non-motorised Transport (NMT), khasnya, basikal. Kalau kita lihat semua kawasan perumahan yang baru, jalannya sudah cukup luas untuk membina satu lagi lorong basikal. Kalau tak cukup, kita seharusnya menetapkan peraturan agar semua pemaju membina lorong basikal dalam projek perumahan mereka.

Dalam Pelan Induk Pengangkutan Awam negeri Johor, NMT adalah satu elemen yang penting. Namun, saya mendapati bahawa semua laluan basikal yang dicadang dalam pelan induk tersebut cuma terletak di sekeliling bangunan PBT. Seharusnya, lorong basikal ini dibina di kawasan sekolah, masjid, pasar awam, dan kawasan perumahan. Kalau pengguna pun sudah tiba di pejabat kerajaaan, buat apa nak menunggang basikal di sekeliling pejabat lagi?

F. Isu Kawasan (Banjir Kilat, Sistem Perparitan & Perancangan Trafik)

Yang Berhormat Dato Speaker,

Dalam dua bulan yang lalu, kawasan Senai dilanda beberapa kali ribut dan hujan lebat. Berikutan itu, Taman Aman mengalami banjir sekurang-kurangnya dua kali. Ribut melanda di Indahpura pada bulan Mac dan ribut melanda di kawasan lapangan terbang pada bulan April mengakibatkan kerugian kepada penduduk, pengusaha kilang, hospital Kulai dan sebagainya.

Kalau kita meninjau secara terperinci, kita akan mendapati bahawa sebahagian bencana alam boleh dielakkan jika kerajaan mengambil tindakan lebih awal. Contohnya, seramai 50 keluarga yang tinggal di Taman Aman terjejas dengan teruk semasa banjir kilat pada 25hb Mac. PBT kemudiannya menghantar kontraktor untuk membersihkan kolam takungan dan perparitan. Apabila banjir kilat berlaku sekali lagi pada 18 April, bilangan rumah yang terjejas berkurangan kepada 20 buah. Masih teruk lagi tetapi sekurang-kurangnya kita tahu bahawa masalah banjir kilat boleh diselesaikan jika PBT melaksanakan pembersihan berkala terhadap infrastruktur perparitan.

Punca banjir kilat ini amat jelas: iaitu projek-projek pembangunan di sekitar kawasan banjir tidak dikawal dengan baik. Sistem perparitan sering tersumpat dengan tanah merah daripada tapak pembinaan. Air membanjiri rumah mangsa,  merosakkan perabot mereka.

Selain kawasan ini, sistem perparitan yang perlu dinaiktaraf atau dibersihkan termasuk bahagian Jalan Seelong di depan kilang Celestica, Jalan Seelong Jaya 2, Jalan Idaman yang terletak di Taman Desa Idaman Senai.

Satu isu yang berkenaan perparitan lagi; aduan kerosakan perparitan dan tanah runtuh di belakang kawasan kediaman Jalan Bintang Utama 5 masih tidak diselesaikan. Penduduk sendiri melaporkan kes ini sejak tahun 2013 kepada pelbagai pihak, termasuk MPKu, JKR, IWK, dan JPS. Namun, langsung tiada pihak yang mengambil tindakan. Selepas ribut dua minggu yang lepas, keadaan kerosakan sistem perparitan itu menjadi semakin membimbangkan, iaitu hanya 15 kaki daripada rumah penduduk. Saya berharap PBT akan mengambil tindakan segera.

Memandangkan perkembangan pesat di Senai dan Kulai, semakin ramai orang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. Namun, setiap kali keluar dari lapangan terbang, pengguna jalanraya akan menghadapi masalah jalanraya berlubang. Bahagian yang paling teruk adalah di depan Pusat Hemodialysis Rotary. Juruteknik PBT ada memaklumkan pejabat saya bahawa paras kelembapan air bawah tanah terlalu tinggi, justeru masalah tidak dapat diselesaikan. Namun, masalah ini telah wujud bukan satu atau dua tahun, tetapi lebih daripada itu. Saya menyeru kerajaan negeri segera menyelesaikan masalah ini secepat mungkin agar melindungi imej baik pintu masuk negeri kita.

Isu Jalan Seelong Jaya 2 yang tidak diturap sehingga kini tiada penyelesaian. Nampaknya PBT dan kerajaan negeri lebih mengambil berat tentang kawasan perindustrian baru, menyebabkan kawasan perindustrian yang lama terabai.

Kalau kita memerhatikan lalulintas di simpang empat Jalan Seelong dan Jalan Lapangan Terbang, masalah lalulintas semakin serius jika PBT tidak mengambil initiatif untuk merancang semula semua simpang dalam jarak 1 km. Simpang tersebut adalah salah satu simpang yang paling sibuk pada waktu pagi dan petang kerana pengguna jalanraya semakin meningkat.

Isu terakhir yang saya ingin bangkit dalam dewan yang mulia ini, adalah isu tanah merah di luar Sekolah Agama Indahpura. Isu ini sudahpun menjadi mimpi ngeri kepada ibu bapa yang mengambil anak mereka sewaktu hari hujan dan menimbulkan risiko keselamatan kepada murid-murid yang terpaksa berjalan di tengah jalan raya yang sempit. Walaupun ibu bapa dimaklumkan bahawa rancangan pembinaan jalan telah dimasukkan ke dalam bajet 2017, namun tiada apa-apa tindakan diambil oleh PBT lagi. Saya berharap masalah ini boleh diselesaikan secepat mungkin.

Sekian, terima kasih.