Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana hari ini saya diberi peluang untuk berdiri dalam Dewan yang mulia ini untuk membahaskan usul menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Saya berdiri di sini, buat julung kalinya mewakili warga dalam kawasan Parlimen Bangi.
Umum mengetahui bahawa kawasan Parlimen Bangi adalah kawasan Parlimen dengan paling ramai pengundi. Terdapat lebih daripada 300,000 pengundi yang layak mengundi di Bangi. Alhamdulillah, pengundi Bangi telah memberi mandat yang meyakinkan kepada saya untuk mewakili mereka di Dewan yang mulia ini.
Saiz Parlimen yang begitu besar sudah tentu memberi kesan kepada nilai undi seorang yang mengundi di kawasan Parlimen Bangi.
Saya ambil contoh, beberapa kawasan Parlimen dalam negeri Selangor sendiri, yang ada 50, 60 ribu pengundi. Jika bandingkan dengan seorang pengundi di Bangi, ini bermakna nilai satu undi pengundi kawasan-kawasan Parlimen ini adalah bersamaan dengan 5 atau 6 undi dalam kawasan Parlimen Bangi.
Isu, dengan izin, malapportionment ini perlu dipandang serius.
Saya sedar, peruntukan Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan iaitu pemberatan sewajarnya perlu diberikan kepada kawasan-kawasan luar bandar.
Juga sudah tentu, kepentingan Sabah dan Sarawak perlu dilindungi sebagai wilayah dalam Persekutuan Malaysia supaya seimbang dengan kawasan Parlimen di Semenanjung. Ini semua termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan wajib kita junjung dan hormati.
Tetapi pada masa yang sama Suruhanjaya Pilihan Raya harus melihat semula kawasan-kawasan Parlimen mega seperti Bangi. Jika perlu dipecahkan menjadi 2 atau 3, usulkan kelak. Jika perlu pindaan Perlembagaan, bentangkan.
Saya suarakan ini bukan untuk saya sebagai Ahli Parlimen Bangi, tetapi untuk pengundi kawasan Parlimen Bangi, supaya nilai undi mereka sekurang-kurangnya hampir sama dengan nilai undi pengundi di kawasan-kawasan lain.
Di kesempatan ini, izinkan saya untuk merakamkan sokongan saya kepada usul yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Titiwangsa. Pada saya, titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada Isnin adalah suatu titah ucapan yang begitu menyeluruh, yang menyentuh pelbagai aspek termasuklah gagasan Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh YAB Tambun.
Antara tonggak Malaysia Madani adalah ‘Hormat’. Konotasinya, bila kita hormat seseorang itu, kita angkat maruahnya sebagai manusia. Sebagai rakyat Malaysia.
Apa maksudnya untuk menjadi rakyat Malaysia dengan kehidupan yang bermaruah?
Pada saya, ia bermaksud individu warga Malaysia itu harus diberi ruang untuk mengamalkan hak mereka dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini termasuklah hak untuk hidup, hak untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang dan juga hak sivil dan politik (dengan izin, civil and political rights) seperti kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun dan lain-lain lagi.
Dengan media sosial, rakyat dapat menyuarakan pendapat mereka. Kritikan mereka. Rintihan mereka. Ya, kadangkala caci maki mereka. Apalah sangat dimaki dek rakyat, apabila kita ada kuasa. Kadangkala, itu sahaja cara untuk rakyat meluahkan isi hati mereka.
Tetapi malangnya, undang-undang kita membenarkan suara rakyat dibungkam oleh pemegang kuasa hanya kerana hantaran tersebut tidak disenangi oleh mereka atau atas kepentingan politik.
Saya ingin khusus menyentuh tentang Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. Undang-undang yang menjenayahkan ekspresi atas talian. Seksyen 233 menjadikan jenayah apa-apa hantaran atas talian yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menaniya, mengugut, mengganggu atau menyakitkan hati.
Seksyen ini begitu luas, Tuan/Puan yang dipertua. Dan oleh kerana ia begitu luas maka ia boleh disalahgunakan oleh mereka yang memegang tampuk kuasa.
Besar harapan saya dalam tempoh jangka hayat Parlimen ini, Kerajaan Perpaduan akan membentang pindaan terhadap Seksyen ini. Mungkin tidak untuk memansuhkan terus kesalahan Seksyen ini, kerana diakui ada peruntukan yang masih diperlukan. Hantaran yang mengancam (threatening) untuk tujuan mengugut, contohnya, masih perlu dijenayahkan.
Tetapi hantaran seperti yang dikatakan ‘jelik sifatnya’ perlu disemak semula. Contohnya, pada saya Liverpool itu jelik sifatnya; tapi takkanlah hantaran tentang Liverpool boleh disiasat oleh polis. 20. Maka, pindaan-pindaan perlu dipertimbangkan untuk memastikan Seksyen ini selari dengan gagasan Malaysia Madani.
Ini tidak bermakna bahawa kebebasan itu tanpa had. Ini juga tidak bermakna bahawa kebebasan itu juga adalah kebebasan untuk memfitnah. Memastikan rakyat boleh bersuara bukanlah menghalalkan ekspresi-ekspresi yang boleh mengganggu-gugat keharmonian masyarakat.
Saya ulang sekali lagi, supaya jelas di sini: Kebebasan bersuara bukan kebebasan memfitnah, menipu atau membakar sentimen perkauman.
Malaysia kita ini begitu bertuah kerana kita mempunyai kepelbagaian agama, bangsa dan budaya.
Dalam titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tempoh hari, Baginda telah menyentuh mengenai semangat muhibah sebagai asas kepada kestabilan negara. Baginda bertitah bahawa keutuhan keharmonian ini hendaklah dijadikan agenda utama negara.
Kawasan Parlimen Bangi adalah kawasan Parlimen campuran. Bangi mempunyai hampir 50 peratus pengundi Melayu, 38 peratus pengundi Cina, 11 peratus pengundi India dan lain-lain kaum peratus yang berbaki.
Ya, saya wakil rakyat berbangsa Melayu dan beragama Islam. Tetapi saya bukan hanya mewakili bangsa Melayu dan orang Islam sahaja. Saya mewakili semua warga Bangi, baik Melayu, baik Cina, India atau apa-apa kaum atau keturunan sekalipun.
Inilah prinsip yang telah dipersetujui dan menjadi asas kepada negara ini. Sebuah negara yang mana Islam adalah agama Persekutuan, tetapi agama lain bebas diamalkan dengan aman damai. Sebuah negara yang mana Melayu mempunyai kedudukan istimewa, tetapi hak dan kepentingan komuniti lain terpelihara.
Malangnya, dalam keghairahan kita orang politik berpolitik, perkara-perkara yang menggugat keharmonian semakin di bawa ke politik arus perdana.
Tadi saya ada sentuh tentang ekspresi atas talian. Tetapi kita telah melihat bagaimana retorik perkauman yang melampau dan bahaya ini telah diberi suatu platform arus perdana melalui penyedia platform media sosial seperti TikTok.
Ini amat membimbangkan. Perlu ada batas-batas jelas tentang apa yang dibolehkan dalam politik. Kita sebagai ahli politik, mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa dalam kita bersaing untuk meraih undi, kita jangan sekali-kali memusnahkan hubungan antara kaum dalam negara tercinta ini.
Kita tidak boleh mengambil pendekatan bumi terbakar atau scorched earth policy dalam politik. Maka, saya menggesa ahli-ahli Dewan yang mulia ini untuk bersama-sama menolak politik perkauman yang melampau dan membahayakan negara.
Marilah kita sama-sama berpolitik dengan matang. Dengan persaingan idea dan pendapat, bukannya perseteruan sentimen bangsa dan agama.
Saya ingin mengakhiri ucapan perbahasan ini dengan menyatakan bahawa kita kini mempunyai peluang keemasan untuk benar-benar mengangkat politik kita ke persada yang lebih tinggi.
Dalam Kerajaan ini, seteru lama berpadu, etnik berbilang bersatu dan wilayah dan negeri berganding bahu.
Apabila Kerajaan Perpaduan ini berjaya merealisasikan potensinya, maka ia boleh menjadi model dan panduan untuk segala bentuk kerjasama politik di masa hadapan. Kita boleh mewujudkan budaya politik baharu yang matang dan berhemah dengan adanya Kerajaan Perpaduan ini.
Dan apabila Kerajaan Perpaduan ini berjaya, saya percaya sesungguhnya kita akan dapat memartabatkan rakyat Malaysia sebagai bangsa Merdeka yang bermaruah.
Izinkan saya mengakhiri ucapan saya dengan petikan daripada sajak Datuk A. Samad Said:
Dan kita sudah sampai di lereng indah, pasti
tetap mendaki juga, menyanggah musuh, menambah
kawan tanpa jenuh, khuatir, juga tanpa rawan
Dan dalam alaf baru semangat kita wajar padu,
berjalan kita atas nama tanah air dan bangsa –
bangga kerana merdeka, megah kerana bahagia.
Sekian, Tuan/Puan yang Dipertua, Bangi mohon menyokong usul.