TPPA Ada Baik Buruknya, Tetapi Selagi BN Tidak Dapat Tunaikan Janji Bahawa GST Akan Bawa Kebaikan Dengan Menurunkan Kadar Harga Barangan, Macam Mana 30 Juta Rakyat Malaysia Boleh Diyakinkan Bahawa TPPA Menguntungkan Mereka?
Terlebih dahulu, saya mahu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industria, YB Jeli untuk mengaturkan persidangan khas Parlimen untuk perbahasan tentang penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans Pacific ataupun ‘Trans Pacific Partnership Agreement” (TPPA). Walaupun perjanjian ini tidak perlu mendapatkan kelulusan melalui parlimen Malaysia, YB Menteri telah membuat keputusan untuk mengadakan sidang khas pada hari ini dan esok, seperti yang dijanjikan pada tahun lepas, supaya rakyat boleh diberikan peluang untuk mendengar pandangan dan juga kritikan terhadap TPPA daripada perspektif-perspektif yang berlainan sama ada di sebelah pihak pembangkang ataupun di sebelah pihak Barisan Nasional.
Pada masa yang sama, saya juga mengalu-alukan langkah yang diambil oleh Menteri dan Kementerian beliau untuk menganjurkan sesi taklimat terperinci kepada semua ahli parlimen dalam sesi yang sama untuk memberi penjelasan yang lebih lanjut tentang butiran TPPA terutamanya yang berkenaan dengan isu hangat seperti harga ubat, harta intelek dan perolehan kerajaan. Walaupun bukan semua jawapan dan penjelasan yang diberikan oleh pihak Kementerian diterima oleh ahli parlimen yang menghadiri sesi ini, saya berpendapat bahawa langkah seperti ini patut diekori oleh Menteri dan Kementerian yang lain, terutamanya, apabila dasar yang berimpak besar dibentangkan. Alangkah baik sekiranya BN boleh juga membenarkan persidangan khas Dewan Undangan Negeri Kedah untuk membahaskan usul undi tak percaya kepada Menteri Besar Kedah agar menghormati peruntukan dalam Perlembagaan Negeri yang memberikan ADUN kuasa untuk memilih Menteri Besar dan bukan ditentukan oleh hulubalang-hulubalang tertentu dalam UMNO.
Dalam membuat keputusan untuk menyokong ataupun menolak mana-mana dasar kerajaan, kita sebagai ahli parlimen patut menilai dasar itu secara objektif dan rasional. Kita tidak sepatutnya menolak mana-mana dasar atas sebab yang tidak munasabah ataupun tidak berasas. Sebagai satu contoh, kita tidak sepatutnya menolak TPPA oleh kerana kebimbangan bahawa negara kita akan didominasi oleh Amerika Syarikat. Pada hakikatnya, apa yang diperlukan ialah untuk memperkukuhkan hubungan perdagangan negara kita dengan semua negara dagangan utama kita. Ada setengah daripada negara ini yang terlibat dalam TPPA termasuk Singapura (no. 1 dari segi pasaran eksport), Amerika Syarikat (no. 3), Jepun (no. 4) dan Australia (no.9). Ada setengah negara yang tidak terlibat dalam TPPA seperti China (no. 2) dan India (no. 7) tetapi termasuk dalam perbincangan Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP).
Kita juga tidak patut mengeluarkan kenyataan bahawa ada pihak yang sokong atau tolak TPPA atas kepentingan satu kaum atau satu puak sahaja. Ini adalah tuduhan fitnah jahat yang tidak berasas dan patut ditolak sama sekali.
Apa yang diperlukan sekarang ialah penilaian secara objektif tentang kos dan faedah penyertaan Malaysia dalam TPPA, RCEP dan perjanjian perdagangan bebas ataupun FTA yang sedang dirundingkan oleh Malaysia.
Dalam konteks sebegini, saya hendak membangkitkan beberapa isu penting mengenai TPPA yang belum ditangani dengan sewajarnya oleh pihak kerajan persekutuan.
Isu pertama yang saya hendak bangkitkan adalah impak TPPA terhadap industri kecil dan sederhana (IKS) ataupun small and medium enterprises (SMEs).
Walaupun analisis kos-faedah yang dijalankan oleh PwC menunjukkan potensi kesan positif kepada sektor SME akibat daripada pembukaan pasaran baru, kemungkinan besar kesan positif ini akan dinikmati oleh SME yang sudah berorientasikan mengeksport barangan keluaran mereka. Untuk SME yang lebih kecil, kebanyakan daripada mereka tidak akan menikmati potensi kesan positif daripada TPPA tetapi kemungkinan besar akan mengalami kemerosotan perniagaan akibat daripada persaingan luar yang lebih besar.
Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Penang Institut, syarikat kecil di Malaysia secara umumnya lebih kecil, mempunyai ‘leverage’ yang lebih rendah, diberikan nilai yang lebih rendah di pasaran saham (untuk mereka yang disenaraikan dalam pasaran saham) dan terlibat dalam industri yang boleh dikatakan kurang berkeuntungan. Boleh dikatakan bahawa syarikat-syarikat SME kecil ini kemungkinan besar kurang dapat bersaing serta mendapat manfaat daripada TPPA berbanding dengan GLC dan juga syarikat bukan GLC yang lebih besar.
Menurut Michael Kang, Presiden Persatuan IKS Malaysia ataupun SME Association of Malaysia, 30 peratus daripada 195,000 perusahaan kecil dan sederhana di Malaysia “akan hilang” selepas TPPA diimplementasikan.[1] Setengah pihak pula sebut mungkin sampai 40% yang terjejas. Kebimbangan pengusaha SME adalah munasabah terutama di kalangan mereka yang tidak merupakan pengeksport terutamanya ke Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru, iaitu empat pasaran yang akan dibuka akibat daripada perjanjian TPPA. Kerajaan tidak boleh menafikan bahawa masih terdapat ‘kredibiliti gap’ di antara kerajaan dan SME yang kecil. Saya beri satu contoh. Sebelum GST diperkenalkan pada bulan April tahun lalu, kerajaan melalui Jabatan Kastam memberi jaminan kepada SME dan peniaga-peniaga lain bahawa bayaran balik ataupun ‘refund’ daripada GST yang dikutip oleh mereka akan dipulangkan dalam masa 2 minggu. Tetapi sampai sekarang, saya difahamkan bahawa SME masih lagi menunggu berbulan-bulan sebelum ‘refund’ ini dipulangkan kepada mereka. Kesan negatif dari segi sekatan tunai ataupun ‘cash flow’ akan dirasakan lebih oleh SME kecil yang tidak mempunyai simpanan tunai yang besar.
Isu pertama adalah kerajaan wajib memberikan bantuan kepada SME yang akan mengalami kesan yang buruk akibat daripada TPPA. Bantuan dari segi kewangan dan juga bantuan teknikal ataupun ‘technical assistance’ mesti diberikan kepada SME yang kecil untuk menyediakan mereka untuk persaingan akibat daripada TPPA. Tetapi buat masa sekarang, tidak ada apa-apa dasar yang konkrit seperti Tabung Mudah TPPA yang telah diumumkan oleh MITI ataupun mana-mana Kementerian lain untuk membantu SME menghadapi cabaran pesaingan akibat daripada TPPA. Jikalau kerajaan tidak ada sebarang langkah-langkah mitigasi ataupun ‘mitigation measures’ yang dirancang secara terperinci, khusus dan sistematik, bagaimana SME boleh mempercayai jaminan kerajaan bahawa TPPA ini akan membawa kesan positif kepada mereka?
Isu kedua yang saya hendak bangkitkan ialah berkenaan dengan Investor State Dispute Settlement (ISDS) yang melibatkan kerajaan negeri. Walaupun pihak Kementerian telah memberi jaminan bahawa teks TPPA akan menghadkan tindakan undang-undang remeh ataupun ‘frivolous lawsuits’, tidak akan jaminan kukuh bahawa kes ISDS yang melibatkan kerajaan negeri tidak akan dibawakan ke tribunal antarabangsa.
Saya rujuk kepada beberapa kes yang melibatkan kerajaan negeri di Kanada yang telah dibawa kepada Tribunal Antarabangsa melalui ISDS yang termaktub dalam Perjanjian NAFTA ataupun North American Free Trade Agreement.
Dengan izin, contoh yang pertama: “Chemical giant Dow AgroSciences used NAFTA to force the province of Quebec, after it banned 2,4-D, a pesticide that the Natural Resources Defence Council says has been linked in many studies to cancer and cell damage, to publicly acknowledge that the chemical does not pose an “unacceptable risk” to human health, a position the government had previously held.”
Dengan izin, contoh yang kedua: “Mesa Power Group, an energy company owned by Texas billionaire T. Boone Pickens, is claiming $775 million (approximately €523 million) in a challenge to the province of Ontario’s Green Energy Act, which gives preferential access to local wind farm operators.”[2]
Contoh-contoh seperti ini menunjukkan bahawa bukan sahaja kerajaan persekutuan yang boleh dibawakan ke Tribunal Antarabangsa tetapi kerajaan negeri pun boleh diheret ke Tribunal yang sama. Ini sangat membimbangkan kerana dana dan kepakaran kerajaan negeri memang terhad berbanding dengan kerajaan persekutuan. Dan kes-kes di Tribunal Antarabangsa memakan kos yang tinggi oleh kerana peguam yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini adalah daripada syarikat peguam antarabangsa yang kebanyakannya berpusat di Amerika Syarikat dan mengenakan fi yang mahal. Sebagai satu contoh, kes yang melibatkan undang-undang terhadap pembungkusan kotak rokok di Australia, walaupun telah dimenangi oleh kerajaan Australia, memakan kos sebanyak AUS$50 juta.[3]
Sebagai satu contoh, bolehkah kerajaan persekutuan memberi jaminan kepada kerajaan negeri Pahang bahawa ia tidak akan diheret ke Tribunal Antarabangsa oleh Lynas jikalau kerajaan negeri, melalui Majlis Perbandaran Kuantan, menghentikan lesen operasi Lynas di Gebeng akibat daripada pencemaran alam sekitar? Bolehkah kerajaan pusat memberi jaminan bahawa bantuan kewangan kepada kerajaan negeri tersebut untuk melawan kes di Tribunal Antarabangsa?
Adakah benar Malaysia boleh menarik diri daripada TPPA tanpa membayar ganti rugi kepada syarikat-syarikat Amerika Syarikat yang melabur kerana Malaysia adalah “signatory” kepada TPPA? Saya harap YB Menteri boleh jawab berapakah banyak gantirugi yang harus dibayar?
Isu ketiga ialah berkenaan dengan perolehan kerajaan dari segi ketelusan ataupun ‘transparency’. Salah satu kebaikan TPPA yang telah diumumkan oleh pihak Kementerian dan juga merupakan satu bab dalam Perjanjian TPPA ialah ketelusan dan anti-rasuah ataupun ‘anti-corruption’ terutamanya dalam perolehan kerajaan ataupun “Government Procurement” (GP).
Tetapi kerajaan Malaysia berjaya untuk meletakkan satu ‘opt out’ clause dalam bab perolehan kerajaan di mana projek di bawah Kerjasama Awam Swasta ataupun Public Private Partnerships (PPP) dikecualikan daripada persaingan terbuka. Ini bermakna bahawa kontrak perundingan terus ataupun ‘direct negotiations’ di bawah PPP akan diteruskan selepas perjanjian TPPA dikuatkuasakan. Telah terbukti bahawa PPP di bawah kerajaan Barisan Nasional telah digunakan oleh memberi keuntungan kepada kroni-kroni dan meningkatkan beban kepada rakyat jelata. Kontrak lumayan untuk membekalkan elektrik kepada Tenaga Nasional Berhad melalui Penjana Kuasa Bebas ataupun Independent Power Plants (IPPs); kontrak konsesi untuk membina dan menjalankan operasi tol lebuh raya yang kian menaikkan harga tol; kontrak membina dan beroperasi asrama di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang mengenakan kos yang tinggi ke atas mahasiswa; ini adalah sebahagian daripada PPP yang ditawarkan dengan kaedah yang tidak telus dan yang membawakan impak yang begitu negatif kepada ekonomi dan rakyat Malaysia. Kerajaan persekutuan telah melepaskan peluang emas untuk menggunakan Perjanjian TPPA sebagai proses memperbaiki sistem perolehan kerajaan dengan menghapuskan PPP. Ini adalah antara sebab utama kenapa kami di pihak pembangkang tidak boleh menyokong Perjanjian TPPA ini kerana membelakangkan prinsip akauntabiliti dan ketelusan.
Isu penting yang lain seperti harga perubatan, harta intelek, alam sekitar dan hak buruh akan dibangkitkan oleh rakan-rakan saya sebelah sini dan saya harap, oleh kawan-kawan di pihak sebelah sana juga demi kepentingan rakyat Malaysia. Harga ubat adalah di antara isu kritikal DAP menolak TPPA kerana kebimbangan besar kenaikan harga bukan sahaja menyusahkan rakyat tetapi mungkin mengancam nyawa pesakit-pesakit. Apakah jaminan bahawa kes seperti Turing Pharmaceuticals yang menaikkan harga ubat Daraprim sebanyak 5000% daripada US13.50 ke US750 tidak berlaku bila Amerika Sayrikat sendiri tidak boleh menghalangnya.
Saya tidak nafikan TPPA ada baiknya untuk negeri-negeri seperti Pulau Pinang dan Selangor. Tetapi saya berdiri sebagai pemimpin DAP untuk semua rakyat Malaysia. Macam mana kita boleh yakin bahawa langkah-langkah perlindungan untuk rakyat Malaysia dapat dilaksanakan bila janji GST tidak akan memudaratkan ekonomi dan menurunkan kos kehidupan rakyat merupakan omong-omong kosong. TPPA ada baik buruknya, tetapi selagi bn tidak dapat tunaikan janji bahawa GST akan bawa kebaikan dengan menurunkan kadar harga barangan, macam mana 30 juta rakyat malaysia boleh diyakinkan bahawa tppa menguntungkan mereka?Memandang bahawa isu-isu yang saya telah bangkitkan masih dijadi tanda tanya, kami di pihak DAP dan pihak Pakatan Harapan menolak Perjanjian TPPA dengan sebulat suara.
Sumber:-
[1] http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/30-of-smes-risk-going-bust-post-tppa-says-industry-rep dan http://www.thestar.com.my/metro/smebiz/columns/2016/01/18/moving-beyond-the-local-market/
[2] http://www.commondreams.org/views/2015/10/23/naftas-isds-why-canada-one-most-sued-countries-world