YB Dato’ Speaker,
Saya mohon mencadangkan bahawa Dewan yang mulia ini meluluskan Rang Undang-Undang Pinjaman Negeri Pulau Pinang (Bank Dan Sumber-Sumber Kewangan Lain) 2017 yang bertajuk “Suatu Enakmen Pinjaman Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Bank Dan Sumber-Sumber Kewangan Lain) 2017” .
YB Dato’ Speaker,
Untuk makluman Dewan yang mulia bahawa sehingga 31 Mac 2017 kedudukan pinjaman Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan Kerajaan Persekutuan yang berjumlah RM64.49 Juta adalah lebih baik berbanding dengan jumlah pinjaman yang dibuat oleh negeri-negeri lain. Negeri Pahang mempunyai jumlah pinjaman yang paling banyak iaitu berjumlah RM3,119.13 Juta, diikuti Negeri Sabah berjumlah RM2,828.25 Juta, Negeri Sarawak sebanyak RM2,534.07 Juta, Negeri Kedah sebanyak RM2,712.40 Juta dan sebagainya.
Berkaitannya tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rang Undang-Undang Pinjaman Negeri Pulau Pinang (Bank Dan Sumber-Sumber Kewangan Lain) 2017 ini iaitu seperti di bawah subseksyen 3(1), Negeri diberi kuasa untuk meminjam dari semasa ke semasa apa-apa jumlah wang yang diperlukan oleh Negeri daripada mana-mana bank atau sumber kewangan lain yang diluluskan bagi maksud itu oleh Kerajaan Persekutuan atas terma dan syarat yang dipersetujui antara Negeri dan pihak berkenaan. Apa-apa pinjaman yang dibuat oleh Negeri di bawah subseksyen (1) hendaklah seberapa cepat yang munasabah, dimaklumkan kepada Dewan Undangan Negeri.
Kerajaan Negeri telah menandatangani MOU dengan China Exim Bank pada 16 Disember 2014 yang membolehkan Kerajaan Negeri membuat pinjaman daripada bank tersebut pada bila-bila masa untuk tujuan seperti yang telah dipersetujui. Rang Undang-undang ini diharuskan atas keperluan undang-undang seperti mana yang disyorkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam surat beliau bertarikh 31 Mei 2016. YAB Perdana Menteri menyatakan sekiranya Kerajaan Negeri ingin mendapatkan pinjaman daripada China Exim Bank, beberapa syarat yang ditetapkan dalam Perkara 111(2) Perlembagaan Persekutuan perlulah diperhalusi. Antaranya ialah :
a) Tiada undang-undang negeri yang memperuntukkan kuasa untuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang membuat pinjaman bagi maksud tersebut, dan ini bermakna Dewan Undangan Negeri perlu membuat suatu undang-undang bagi maksud tersebut terlebih dahulu.
b) Dalam menimbangkan permohonan pinjaman oleh negeri, Kerajaan Persekutuan wajib berunding dengan Majlis Kewangan Negara berkenaan dengan perjalanan kuasa meminjam negeri di bawah Perkara 108(4)(c) Perlembagaan Persekutuan.
c) Tempoh pinjaman hendaklah tidak melebihi 5 tahun.
Jumlah wang yang dipinjamkan di bawah Rang Undang-undang Pinjaman Negeri Pulau Pinang (Bank Dan Sumber-Sumber Kewangan Lain) 2017 disediakan untuk tujuan membiayai pelaburan, pelaksanaan pembangunan fizikal, ekonomi dan sosial bagi Negeri Pulau Pinang, dan bagi perkara-perkara yang berkaitan dengannya termasuk melaksanakan Penang Transport Master Plan Strategy 2013-2030.
Bagi maksud penggubalan draf Rang Undang-undang ini maka, Kerajaan Negeri melalui YB Penasihat Undang-undang Negeri telah merujuk kepada Enakmen Pinjaman (Rancangan untuk Membiayai Penyusunan Semula Perkhidmatan Bas Awam) (Negeri Pulau Pinang) 2006 [Enakmen 7] dan Enakmen Pinjaman Negeri Pulau Pinang (Projek Bangunan Arked dan Pusat Makanan Laut Batu Kawan 2009 [Enakmen 8]. Secara dasarnya, sebahagian peruntukan yang terkandung di dalam draf Rang Undang-Undang ini merupakan peruntukan standard yang diperuntukkan dalam semua perundangan lain yang serupa di peringkat Negeri dan juga di Persekutuan.
Wang yang dipinjam di bawah subseksyen 3(1) berserta dengan faedah dan perbelanjaan lain yang berhubungan dengannya bakal dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan Negeri. Tempoh pinjaman yang dibuat di bawah Enakmen ini hendaklah tidak melebihi tempoh lima (5) tahun.
Tertakluk kepada seksyen 6, wang yang dipinjam di bawah subseksyen 3(1) berserta dengan faedah dan perbelanjaan lain yang berhubungan dengannya, hendaklah dibayar balik menurut terma dan syarat yang dipersetujui antara Negeri dengan pihak berkenaan bagi tujuan pembiayaan di bawah Enakmen ini. Wang yang perlu dibayar itu hendaklah diperuntukkan daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri atau mana-mana sumber kewangan Negeri dan semua wang yang perlu dibayar kepada mana-mana bank atau pihak lain hendaklah dibayar pada tiap-tiap tahun kewangan.
Saya berharap dengan pembentangan Rang Undang-Undang Pinjaman Negeri Pulau Pinang (Bank Dan Sumber-Sumber Kewangan Lain) 2017 maka suatu perundangan baru mengenai Pinjaman Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat diwujudkan. Saya percaya Rang Undang-undang tersebut yang disediakan atas inisiatif dan pimpinan Kerajaan Negeri adalah menjurus untuk memberikan limpahan pelaburan dan merancakkan pertumbuhan sosio-ekonomi, melaksanakan pembangunan fizikal demi untuk kesejahteraan serta kemakmuran rakyat di Negeri Pulau Pinang.
Sekian, YB Dato’ Speaker, saya mohon mencadangkan.
Maklumat Tambahan:
Baki Pinjaman Belum Selesai Kerajaan Negeri Bagi Tahun 2016-2017 (Sehingga 31 Mac 2017)
| Negeri | Tahun 2016 (RM Juta) | Tahun 2017 (RM Juta) |
| Pahang | 3,116.91 | 3,119.13 |
| Sabah | 2,828.25 | 2,828.25 |
| Sarawak | 2,572.40 | 2,534.07 |
| Kedah | 2,460.57 | 2,712.40 |
| Kelantan | 1,428.21 | 1,429.82 |
| Selangor | 1,110.80 | 1,093.46 |
| Melaka | 959.47 | 957.16 |
| Negeri Sembilan | 950.67 | 949.09 |
| Terengganu | 918.49 | 919.02 |
| Johor | 545.10 | 545.10 |
| Perlis | 385.98 | 385.98 |
| Perak | 340.73 | 338.72 |
| Pulau Pinang | 64.72 | 64.49 |
| Jumlah | 17,682.30 | 17,876.69 |
Sumber: Jabatan Akauntan Negara Malaysia