Skip to content

Ucapan Wong Kah Woh, ADUN Kawasan Canning dalam membahas Bajet 2015 (Perak)

Dato’ YDP,

Terima kasih kerana mengizinkan saya untuk mengambil bahagian untuk membahaskan Titah Perasmian DYMM Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan.

Bajet 2015

Bajet 2015 telah mencatatkan satu deficit sebanyak RM50.06 juta. Kerajaan Negeri telah cuba untuk mengjustifikasikan deficit yang terbesar ini dalam 7 tahun yang lepas ini dengan menyatakan bahawa Kerajaan Negeri telah mengakhiri tahun-tahun kewangan dengan lebihan sejak 2009. Namun, sekiranya pengurusan kewangan boleh dikendalikan dengan lebih baik, saya percaya bajet kita boleh mencapai satu imbangan kewangan yang baik.

Saya meneliti bahawa Anggaran Hasil Cukai Tanah Tunggakan adalah sebanyak RM110,531,454.00, angka-angka ini merupakan satu angka yang paling tinggi dalam sejarah Negeri Perak. Ia merupakan 10% daripada anggaran hasil dalam bentuk cukai.

Biarlah kita bandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini:-

TAHUN Anggaran Hasil Sebenar
2011 RM35,303,059.00 RM45,324,269
2012 RM59,291,278.00 RM43,140,000
2013 RM70,000,000.00 RM28,913,660 (41.3%)

Laporan Audit: Ini hanya 23.6% daripada jumlah yang sepatutnya diaudit

2014 RM96,734,630
2015 RM110,531,454.00

Jumlah anggaran hasil cukai tertunggak pada 2015 sebanyak RM110,531,454.00 adalah hampir 50% daripada jumlah cukai tanah semasa yang mencatatkan suatu anggaran sebanyak RM242,794,322. Ini merupakan satu angka yang amat membimbangkan. Persoalannya, apa yang terjadi dengan pengurusan kewangan negeri dan agensi kutipan cukai tertunggak ini? Kenapa setiap tahun kita berhadapan dengan suatu tunggakan cukai tanah tunggakan yang begitu tinggi? Siapakah mereka yang mempunyai cukai tertunggak sebanyak ini? Samaada kerajaan negeri cuba untuk menyelindungi sesetengah pihak yang terlibat dalam isu ini? – Bangunan UMNO?

Saya ingin tahu samaada terdapat tindakan drastik diambil dalam mencapai kutipan semula sebanyak RM110 juta ini? Saya ingin meningatkan Kerajaan Negeri bahawa, walaupun anggaran cukai tanah tunggakan adalah setinggi RM110 juta, jumlah kutipan semula pada tahun 2013 hanya sekitar RM29 juta sahaja berbanding dengan anggaran hasil sebanyak RM70 juta pada tahun tersebut, hanya 41% sahaja yang dicapai.

Sekiranya usaha kutipan hasil cukai tanah tunggakan ini tidak ditingkatkan, maka janganlah kita harapkan kita dapat mencapai kutipan sebanyak RM110juta ini dan sejurusnya akan membawa satu deficit yang lebih besar.

Kegagalan Kerajaan Negeri untuk membawa manfaat kepada Rakyat

Saya telah perhatikan dari beberapa hari sidang yang lepas, yang mana Kerajaan Negeri telah gagal untuk membawa projek-projek dan infrastructure dan melaksanakan polisi-polisi yang bermanfaat kepada warga Negeri Perak.

Pertama, kegagalan Kerajaan Negeri untuk merealisasikan satu Lapangan Terbang Antarabangsa (UMAT) untuk Negeri Perak;

Kedua, kegagalan Kerajaan Negeri untuk merealisasikan tol exit di kawasan Kampar;

Ketiga, “KEJAYAAN” Kerajaan Negeri dalam percubaan untuk membawa masuk pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang tidak diundang.

Utara Malaysia Airport Terminal (UMAT)

YAB Pangkor telah menyatakan dalam ucapannya berkenaan dengan perkhidmatan yang diberikan oleh Firefly, Malindo Air dan YOU Wings (Sriwijaya Air). Saya hendak ingatkan bahawa, Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah yang kita ada sememangnya tidak dapat menampung keperluan warga perak dan juga mencapai hasrat sektor pelancongan. Run-way yang telah dinaiktaraf hanya sekadar boleh menampung keperluan ATR-72 dan Boeing 737-600 yang sekadar menampung penerbangan jarak pendek. Beoing 737-800 tidak dapat mendarat dengan penumpang penuh. Maka, Kerajaan Negeri harus merealisasikan projek Lapangan Terbang Antarabangsa yang baru.

Yang anehnya, dalam ucapan bajet YAB MB, tidak pernah disebutkan apa-apa berkenaan dengan projek Utara Malaysia Airport Terminal (UMAT), samaada Projek ini telahpun menjadi sia-sia sahaja?

UMAT telah diumumkan oleh YAB Menteri Besar way back pada bulan Mei 2012, dan setelah 2 tahun 6 bulan, sampailah sekarang Kerajaan Negeri masih tidak mampu untuk merealisaikan projek ini. Dalam tempoh masa ini, bukan sahaja kita tidak mendapatkan apa-apa perkembangan positif, malah projek untuk suatu lapangan terbang zon utara pula telahpun diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kulim International Airport, Negeri Kedah, satu negeri yang mana juga diperintah oleh Kerajaan BN. Kenapa bukan negeri Perak? Samaada Kerajaan Negeri Perak tidak mampu dan berupaya untuk berunding dengan Kerajaan Persekutuan dalam perkara ini?

Apa yang lebih mengejutkan adalah, YB Chenderiang, semasa dalam menjawab soalan 2 hari yang lepas, Kerajaan Negeri sekarang sedang mencari lokasi untuk projek lapangan terbang di kawasan Seri Iskandar. Kenapa Seri Iskandar pula? Sememangnya Kerajaan Negeri telah jauh pada tahun 2005/6 mengumumkan untuk pembinaan satu Lapangan Terbang di Seri Iskandar dengan akos RM301 juta, kenapa sampai sekarang, selepas projek UMAT diumumkan, Kerajaan Negeri sebut berkenaan dengan Seri Iskandar pula? Apa yang terjadi?

Selaku Kerajaan Negeri, janganlah sekali-sekala membuat pengumuman yang belum lagi tentu. Jangan cuba untuk membuat satu feel-good-factor yang mana pada akhirnya akan menyebabkan keyakinan pelabur-pelabur asing merosot. (umum sini, umum sana, semua tak buat….)

Pada masa yang sama, pada masa kita mewa-wakan berkenaan dengan peningkatan perkhidmatan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, adalah patut dan betul untuk kita meningkatkan system pengakutan awam di sekitar Bandar Ipoh. Apabila syarikat-syarikat penerbangan masuk, apakah usaha kerajaan untuk memastikan pengangkutan awam dari dan ke kawasan-kawasan tumpuan seperti Pekan Lama dan Bandar Baru, dan tarikan pelancongan yang lain adalah ditingkatkan? Saya tidak nampak ada apa-apa usaha berkenaan dengan itu.

Tol Exit Kampar

Keadaan yang sama berlaku dalam isu tol exit untuk kawasan Kampar. YAB MB telah dilaporkan ada 08.12.2011 mendesak pihak PLUS untuk membina 2 exit yang telah dijanjikan, iaitu di kawasan Alor Pongsu dan Kampar. Isu yang sama telah bangkit dalam Dewan yang mulia ini pada April 2014, dan sekali lagi dalam sesi soalan jawab pada hari pertama Dewan yang mulia ini, masih tidak mempunyai jawapan yang konkret daripada pihak Kerajaan. Berapa lamakah rakyat Perak hendak menunggu untuk mendapatkan satu exit PLUS di Kampar? Saya tidak berharap bahawa warga Perak perlu tunggu setahun demi setahuna dan akhirnya tidak ada apa-apa berita.

Akta Pengurusan Sisa Pepejal & Pembersihan Awam 2007

Apabila Kerajaan Negeri gagal untuk merealisasikan kedua-dua projek di atas untuk manfaat warga Negeri Perak, Kerajaan Negeri pula memilih untuk cuba merealisasikan hasrat dan matlamat Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan Akta Pengurusan Sisa Pepejal & Pembersihan Awam 2007, yang mana telahpun ditolak oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat pada tahun 2008 demi kebaikan Rakyat.

Jawapan daripada EXCO pada hari pertama sidang ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri telah membuka semula subjek ini dan mengkaji pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal ini. Saya amat bimbang kerana daripada apa yang saya nampak, Kerajaan Negeri mempunyai cenderung untuk bertunduk kepada Kerajaan Persekutuan dan membuat keputusan yang akan menjejaskan kepentingan Rakyat bagi selama-lamanya?

Saya ingin bangkitkan dalam Dewan ini bahawa, Seksyen 30 Akta tersebut memberikan kuasa kepada syarikat konseisi untuk mengenakan bayaran daripada kerajaan tempatan dan penghuni-penghuni. Harus diingatkan bahawa peruntukkan yang sama turut terdapat dalam Sewerage Services Act, Seksyen 30 juga, yang mana sedang hanunting rakyat untuk sekian lama. Ini merupakan Indah Water Ke-2.

Sejarah pahit membuktikan bahawa Rakyat telah membayar Cukai Taksiran untuk perkhidmatan-perkhidmatan harian, tetapi terpaksa untuk membuat bayaran tambahan untuk perkhidmatan pembetungan apabila Akta Indah Water Konsortium dilaksanakan. Sekarang, dengan adanya Akta Pengurusan Sisa Pepejak, bagaimanakah Kerajaan Negeri boleh memberikan satu jaminan kepada rakyat bahawa tidak ada caj tambahan dikenakan? Samaada rakyat akan dikenakan Cukai Taksiran Ketiga selepas dikenakan Cukai Taksiran dan Caj Indah Water?

Saya mencadang kepada Kerajaan Negeri supaya untuk menolak pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pejajal & Pembersihan Awam, bukan sahaja untuk memastikan kuasa tertentu tidak diberikan kepada Kerajaan Persekutuan, yang lebih penting juga demi untuk memastikan kepentingan Rakyat diberikan pertimbangan keutamaan.

Menteri Besar Incoporated (Perbandanan Menteri Besar)

YAB Menteri Besar telah mengumumkan bahawa Menteri Besar Incorporated telah diaktifkan demi untuk kebaikan Negeri Perak. YAB MB telah menyatakan dalam sidang akhbar bahawa MB Inc “bukan MB punya”.

Maka, pada hemah saya, adalah patut dan harus bagi Kerajaan Negeri untuk memperjelaskan kenapakah isu-isu seperti penganugerahan tanah, khasnya dalam tanah yang melibatkan petani, ia dianugerahkan kepada MB Inc dan bukannya kepada mereka yang memerlukan tanah secara terus? Bagaimanakah pengurusan MB Inc boleh dilihat lebih telus daripada penganugerahan tanah secara terus oleh pihak Kerajaan Negeri, yang mana keputusan EXCO yang melibatkan 10 orang EXCO adalah perlu manakala untuk MB Inc hanya 2 orang eksekutif iaitu MB dan YB Sungai Manik yang merupakan ahli pengarah? Wouldn’t the power be too concentrated in MB Inc?

Majlis Bandaraya Ipoh

Ipoh telah mula berkembang dengan pesat semula sejak tahun 2008. Datuk Bandar yang terdahulu Datuk Roshidi Hashim pernah menyatakan pada tahun 2012 sahaja Majlis Bandaraya Ipoh telah meluluskan 4450 permohonan untuk kebenaran merancang. Saya ingin merakamkan syabas kepada MBI untuk pencapaian tersebut.

http://www.chinapress.com.my/node/424840

Namun, sejak tahun 2014, saya telah mendapat balasan bahawa pemprosesan permohonan Kebenaran Merancang telah menjadi begitu lama sehinggalah telah memperlahankan kemajuan Bandar Ipoh. Saya ingin tahu bahawa, apakah KPI yang digunakan oleh MBI dalam mengendalikan pemprosesan permohonan. Berapakah masa yang akan diambil? Masalah sekarang adalah, terdapat juga Kebenaran Merancang yang telah diluluskan oleh One Stop Centre (OSC) MBI tetapi Datuk Bandar tangguh dalam menangani Pelan PU!

Pada masa yang sama, apabila Ipoh telah mula berkembang dengan pesat, tiba-tiba pula Caj Kemajuan dikenakan mulai tahun 2014. Apabila pasaran masih belum bersedia dengan caj tambahan ini, tindakan ini jelas merupakan saya tindakan menyembelih angsa yang boleh bertelur emas!

Apabila kita berbincang dalam isu bajet, ia juga menarik perhatian samaada Kerajaan Negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan mampu untuk memperolehi bajet yang sebanyak mungkin daripada Kerajaan Persekutuan. Pada akhir tahun 2008, Datuk Bandar Ipoh pada ketika itu telah berjaya mendapat suatu bajet daripada Kerajaan Persekutuan untuk membina semula pasar-pasar awam di sekitar Ipoh, setiap satu peruntukkan RM5 juta.

Di kawasan saya, pasar kg simee telah mempunyai sejarah lebih daripada 50 tahun dan telah mempunyai banyak masalah tempatan. Memandangkan suara majority daripada kalangan rakyat adalah tidak bersetuju dengan pembinaan semula pasar, maka pihak Kerajaan Tempatan patutlah melaksanakan public engagement dan memahami kehendak rakyat. Saya percaya bahawa projek penaik-tarafan pasar kg simee secara berperingkat boleh diterima dengan suara rakyat didengar dan dijadikan pertimbangan utama akan mendapat respond yang baik daripada rakyat.

Untuk tujuan ini, demi kebaikan rakyat untuk satu pasar yang lebih selesa, saya boleh cadangkan kepada pihak MBI bahawa saya tidak memerlukan RM5 juta dari KPKT tersebut, hanya RM1 juta adalah mencukupi untuk menaiktaraf pasar kg simee secara keseluruhan. Pihak kami sanggup bekerjasama untuk segala aspek nasihat dan pandangan dan teknikal sekiranya MBI dapat mempertimbangkan dan meluluskan peruntukkan ini.

Saya ingin merakamkan terima kasih, apabila selepas berkali-kali isu dibangkitkan dalam Dewan, semalam saya menerima jawapan bertulis bahawa Majlis Bandaraya Ipoh akan menurap semula Jalan Perajurit secara keseluruhan pada tahun 2015. Namun, saya terkejut apabila mendapat jawapan bahawa jumlah perbelanjaan MBI dalam penurapan semula jalan tersebut adalah sebanyak RM900,000.00 untuk 300 meter sahaja! Saya percaya bahawa jumlah tersebut sudah boleh mencukupi untuk menampung kos penurapan secara keseluruhan Jalan Perajurit sepanjang 3km!

Peruntukkan Ahli Dewan

Sememangnya, kebanyakan masalah tempatan bolehlah diselesaikan dengan mudah, dan kesemua ini adalah tertakluk kepada keinginan pihak-pihak yang tertentu untuk menyelesaikannya. Kami faham bahawa ada kalanya Kerajaan Tempatan mungkin mempunyai bajet yang terhad, demi untuk membantu kami dalam membantu Rakyat dan membantu Kerajaan Tempatan, saya percaya bahawa sekiranya peruntukkan Kerajaan Negeri turut disalurkan kepada pihak Pembangkang, maka kebanyakan masalah dapat diselesaikan demi kepentingan Rakyat.

Kita harus mengambil iktibar berkenaan dengan trend yang kita ada pada hari sekarang, yang mana Kerajaan Selangor telahpun mampu dan bersedia untuk memberikan peruntukkan sebanyak RM200,000.00 kepada ADUN2 Pembangkang, sudah sampainya Perak No. 1 yang kita banggakan ini untuk sekurang-kurangnya mengikut jejak Kerajaan Selangor yang baik tersebut demi kebaikan Rakyat.

Kesimpulan

Setiap kali kita bangkitkan isu-isu dalam Dewan ini, kesemua kita adalah berharap bahawa isu-isu yang terbangkit akan mendapat jawapan daripada wakil Kerajaan Negeri. Mengikut tradisi yang lepas, hanya sebahagian kecil isu yang terbangkit akan dijawab.

Maka, demi untuk memantapkan fungsi Dewan yang mulia ini, saya ingin mencadangkan bahawa isu-isu yang terbangkit, sekiranya tidak diberikan jawapan semasa pengulungan atas sebab kesuntukan masa, maka haruslah diberikan balasan secara bertulis. Saya percaya bahawa bahawa ia akan membantu setiap satu kita untuk berkhidmat dengan lebih efisien lagi.

Sekian, perbahasan daripada Canning. Terima kasih.