Selaku seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, saya telah menjalankan amanah dan tanggungjawab yang dipikul dengan sebaiknya. Namun begitu, pada hari ini saya telah menerima satu tangkap layar (screen shot) daripada sebuah kumpulan Whatsapp yang mengandungi ugutan bunuh terhadap saya.
Kebebasan bersuara merupakan hak asasi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan. Malah, Artikel 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat yang telah diterima oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga mengiktiraf hak untuk menyuarakan pendapat dan bersuara. Namun begitu, saya yakin bahawa ugutan bunuh tidak diterima sebagai sebahagian daripada hak asasi ini.
Saya sentiasa terbuka dan meraikan perbezaan pandangan, namun ugutan bunuh seperti ini adalah sesuatu yang serius dan memerlukan kepada tindakan selanjutnya daripada pihak berkuasa. Semalam juga, saya telah meminta pegawai saya untuk membuat satu laporan polis terhadap ugutan bunuh tersebut. Pihak PDRM juga telah mengambil keterangan saya petang ini juga. Saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat ugutan bunuh ini.