Ugutan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyekat pembangunan infrastruktur bagi Sabah mengkhianati semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan melupakan bahawa tanpa Sabah, tidak akan ada Malaysia. Muhyiddin telah mengugut rakyat Sabah bahawa Kerajaan Persekutuan hanya dapat memberikan peruntukan kepada Sabah sejauh mana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, dan Sabah akan mendapat peruntukan yang lebih rendah berbanding dengan sebelumnya, sekiranya kerajaan Sabah yang dipimpin Warisan Plus tidak sehaluan dengan PN.
Ini telah menidakkan Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan pembentukan Malaysia dan Suruhanjaya Cobbold, sebagai pendahulu Perjanjian Malaysia 1963. Lord Cobbold selaku Pengerusi menegaskan bahawa Sabah dan Sarawak adalah rakan kongsi setara dengan Semenanjung Malaysia. Bagaimana Sabah boleh dianggap sebagai rakan kongsi setara jika Perdana Menteri boleh mengugut rakyat Sabah untuk menyekat pembiayaan pembangunan yang dijanjikan?
Ini tiada beza dengan tindakan buli siber Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi bin Zainul Abidin terhadap Veveonah Mosibin setelah Veveonah mendedahkan capaian internet yang lemah di luar bandar Sabah dengan memanjat pokok. Daripada menyelesaikan masalah capaian internet yang buruk di luar bandar Sabah, dia memanggil Veveonah sebagai pembohong dan ingin mencari populariti untuk dirinya. Orang Sabah tidak boleh membiarkan diri mereka dibuli dengan penghinaan dan ugutan seperti ini.
Rakyat Sabah harus memberi pengajaran kepada Muhyiddin dengan mengundi Warisan Plus dan Datuk Seri Shafie Apdal, untuk menghantar mesej yang jelas dan tanpa ragu-ragu bahawa orang Sabah menentukan siapa yang akan dipilih sebagai kerajaan dan Ketua Menteri mereka. Lebih penting lagi rakyat Sabah tidak akan tunduk pada ugutan seperti ini dan akan bersatu untuk memastikan semangat dan surat Suruhanjaya Cobbold dan Perjanjian Malaysia 1963 dipatuhi.
Muhyiddin perlu faham bahawa sama seperti tanpa Sabah tidak ada Malaysia, begitu juga tanpa sokongan orang Sabah, tidak ada yang boleh dipilih menjadi Ketua Menteri. Bagaimana Muhyiddin boleh memanggil dirinya “Abah Sabah” ketika dia tidak melakukan apa-apa untuk Sabah. Ini satu lagi penghinaan kepada orang Sabah seolah-olah orang Sabah tidak layak menjadi “Bapa Sabah”? Rakyat Sabah dan bukan Muhyiddin akan menentukan siapa yang akan menjadi Ketua Menteri Sabah.