Ujian litmus pertama untuk setiap parti politik dari kedua-dua BN dan Pakatan Rakyat ialah samada mereka benar-benar ikhlas menentang diskriminasi gender dengan menyokong dan menerima bahawa seorang wanita berkelayakan menjadi Menteri Besar atau Ketua Menteri sesebuah negeri, sebelum memutuskan sama ada Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail sesuai untuk jawatan Menteri Besar Selangor.
Saya ingin mengulang sebut bahawa kesemua parti politik tidak kira Pakatan Rakyat atau BN harus menyatakan dengan jelas bahawa mereka menyokong dan menerima mana-mana wanita sebagai berkelayakan memegang jawatan Menteri Besar atau Ketua Menteri mana-mana negeri. Ini berikutan kenyataan yang dibuat beberapa pemimpin politik yang dirujuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Wan Azizah tidak layak menjadi Menteri Besar hanya kerana gendernya.
Pendapat sedemikian yang mendiskriminasi seseorang berasaskan gender bukan sahaja bersifat feudal dan ketinggalan zaman tetapi turut bertentangan dengan perlembagaan. Di bawah Perkara 8(2) Perelembagaan Persekutuan memperuntukkan: “Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan atau penjalanan apa-apa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.”
DAP memandang serius terhadap beberapa pemimpin politik yang membantah seorang wanita dijadikan Menteri Besar hanya kerana gendernya, padahal tidak ada masalah bagi mereka jika wanita menjadi menteri atau anggota EXCO ataupun seorang doktor. Atas sebab ini semua parti politik mesti menyatakan bahawa mereka menjunjung tinggi Perlembagaan dengan menyokong hak mana-mana wanita Malaysia untuk menjadi Menteri Besar.
Ini adalah ujian litmus pertama yang mesti dilalui sebelum kita membincangkan merit dan demerit mana-mana calon wanita yang dicadangkan untuk jawatan Menteri Besar Selangor. Seandainya prinsip asas bahawa seorang wanita berkelayakan menjadi Menteri Besar dinyatakan secara jelas, tidak ada gunanya berbalah sama ada Datuk Seri Wan Azizah sesuai atau tidak untuk memegang jawatan Menteri Besar Selangor.
DAP mengegaskan pendirian Perlembagaan Persekutuan bahawa seorang wanita layak menjadi Menteri Besar atau Ketua Menteri. Suatu mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (CEC) akan diadakan pada 10 Ogos 2014 untuk membincangkan cadangan rasmi PKR untuk menukar Menteri Besar Selangor kepada Wan Azizah dan CEC akan membuat keputusan semata-mata atas kelayakan beliau dan bukan pertimbangan gender.