Skip to content

Ujian Saringan Covid-19 dengan harga berpatutan RM70 di Kepong

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kepong bersama-sama KL Medical Clinic dan Tokong Yuen Long telah bekerjasama untuk menyediakan khidmat kit ujian saringan ‘Covid-19 Antigen Rapid Test’ (RTK-Ag) dengan harga yang berpatutan RM70 kepada orang awam. Penyediaan khidmat ini dilihat sebagai salah sebuah usaha untuk melandaikan lengkung wabak Covid-19 di Malaysia.

Kes baru harian Covid-19 di Malaysia sudahpun menjangkau 5,728 semalam. Oleh itu, ujian saringan Covid-19 berskala besar merupakan sesuatu yang mustahak dan wajar disediakan untuk orang awam, lebih-lebih lagi di dalam kawasan zon merah seperti di Kuala Lumpur. Selain itu, dengan adanya ujian saringan RTK-Ag harga berpatutan ini, lebih ramai orang boleh mengetahui di peringkat awal dan membantu dalam memastikan seseorang individu itu bersiap-siaga sekiranya keputusan ujiannya positif. Langkah seperti kuarantin kendiri dapat dilakukan dengan lebih awal dan risiko penyebaran juga dapat dikurangkan.

Bagi yang ingin melakukan ujian saringan ini, mereka hanya perlu membawa salinan kad pengenalan dan membayar RM70. Bagi warga asing yang ingin melakukan ujian, mereka hanya perlu bawa dokumen yang membuktikan identiti sendiri, kad kerja, atau surat daripada majikan. Bagi mereka yang memegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) pula, perkhidmatan ini diberikan secara percuma. Keputusan pula akan diberikan melalui platform Whatsapp dalam tempoh 24 jam.

Sekiranya wakil rakyat dari pihak pembangkang, yang tidak mempunyai peruntukan, dapat menyediakan khidmat ini, sudah semestinya wakil-wakil rakyat di pihak kerajaan dapat melakukan perkara yang sama, bahkan pelaksanaannya mungkin lebih bagus dan terancang.