Kemarin, saya telah melawat mahasiswa Muhammad Syahir Rahimi Bin Syukri yang menjadi mangsa serangan samseng bersenjata di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 14 September 2015.
Serangan ini berlaku ketika Muhammad Syahir sedang melakukan rondaan dalam kawasan kampus mengawasi poster calon pilihan raya kampus dari disabotaj oleh pihak lawan pada waktu malam. Kemudian secara tiba-tiba beliau diserang oleh dua lelaki bersenjata yang tidak dikenali. Muhammad Syahir dipercayai dikelar dibahagian dada, tangan dan dahi beliau sebelum disimbah dengan sejenis cecair.
Saya mengecam sepenuhnya keganasan yang berlaku ini. Lebih malang lagi, keganasan tersebut telah berlaku dalam kampus Universiti Kebangsaan Malaysia yang sepatutnya sebuah tempat yang selamat untuk mahasiswa kita. Pihak UKM perlu bertanggungjawab sepenuhnya dalam kes ini. Jika dibiarkan, kemungkinan perkara yang lebih teruk mungkin berlaku. Keselamatan dan nyawa anak-anak kita di Universiti tersebut bagai telur di hujung tanduk.
Jika perkara ini berlaku kerana perbezaan pandangan politik pilihan raya kampus yang sedang berlangsung ketika itu, jelas budaya politik samseng ugut, pukul, tipu malah bunuh yang kita baca di surat khabar kini telah menular ke dalam kampus universiti kita.
Sebelum ini, dalam siri kempen pilihan raya kampus telah beberapa kali kejadian keganasan berlaku.
Pada pilihan raya kampus 2011, seorang calon Pro-Mahasiswa Universiti Malaya, Mastura Abu Bakar telah hilang dan kehilangan beliau dipercayai berkait rapat dengan pilihan raya kampus. Ketika ditemui Masturah berada dalam keadaan trauma dan lemah.
Pada tahun 2012, pengerusi Pro-Mahasiswa Universiti Malaya Edikoup Lakip Sedyanto telah diserang oleh lima orang yang tidak dikenali. Perkara tersebut turut dikaitkan dengan pilihan raya kampus Universiti Malaya.
Politik keganasan: Politik bapa borek anak rintik
Budaya politik samseng dan politik keganasan yang dipraktikkan oleh parti pemerintah kini meracuni para penyokong mereka di peringkat universiti. Sesiapa yang tidak bersetuju dengan pemerintah akan ditentang bukan dengan hujah dan idea tetapi dengan keganasan.
Orang ramai masih ingat pada 5 Julai yang lalu, sekumpulan samseng yang terdiri daripada ahli dan penyokong UMNO telah mengugut, menyerang dan mencederakan wakil rakyat dan pemimpin pembangkang termasuk Lim Kit Siang yang hadir dalam forum di sebuah kedai kopi di Permas, Johor.
Pada Mei 2014, sekumpulan ahli dan penyokong UMNO telah menyerbu dan menceroboh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan mengugut pegawai-pegawai kerajaan yang bertugas di situ. 15 orang yang terlibat telahpun disabit kesalahan oleh mahkamah pada Mac 2015.
Pada Mei 2014 juga, sekumpulan ahli dan penyokong UMNO yang diketuai oleh Mohd. Razlan Mohd. Rafii, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan telah menyerbu ibu pejabat DAP, merosakkan papan tanda parti serta mengugut dan mencederakan staff DAP yang hadir di situ.
Nampaknya, demi survival politik, parti pemerintah terutamanya UMNO kini menggunakan “khidmat” samseng-samseng dan geng-geng bawah tanah (underworld gangs) untuk melakukan kerja-kerja keganasan.
Polis Diraja Malaysia perlu bertindak tegas dalam isu ini kerana politik keganasan sudah berada pada tahap yang membimbangkan dan kini pula menular ke dalam kampus universiti-universiti kita.
Jika dibiarkan, maka kita akan melahirkan mahasiswa yang hanya tahu untuk menggunakan keganasan bagi menyelesaikan masalah. Kejadian malang yang menimpa Muhammad Syahir merupakan bayangan kepada masa depan negara kita jika parti pemerintah dibenarkan untuk terus bermaharajalela.