Sejak UMNO-BN tumbang pada pilihanraya umum ke-14 lalu, mereka semakin terdesak dan masih lagi tidak boleh menerima fakta bahawa UMNO bukan lagi di tampuk kuasa. Situasi menjadi semakin teruk apabila Ahli Parlimen Jeli, Datuk Mustapha Mohamad dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman telah keluar parti. Difahamkan situasi akan menjadi lebih teruk pada masa akan datang.
Namun demikian, baru-baru ini, difahamkan bahawa UMNO secara terdesak ingin berunding dengan pihak BERSATU untuk kononnya ‘selamatkan orang Melayu’. Juga difahamkan sesetengah pihak daripada UMNO juga ingin bekerjasama dengan pihak PKR juga (https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2018/09/19/bn-in-merger-talks-with-ppbm-says-umno-mp).
Setelah lima bulan menjadi pembangkang UMNO masih terdesak seperti nyawa-nyawa ikan ingin berunding dengan pelbagai pihak untuk naik ke tampuk kuasa untuk dengan alasan ‘menyelamatkan Melayu’. UMNO patut ambil ikhtibar bahawa sejak 2008 di mana Selangor dan Pulau Pinang bertukar kerajaan, Melayu tidak pernah ditindas dan kekal menyokong Pakatan Rakyat/Pakatan Harapan dengan mandat lebih tinggi pada pilihanraya umum ke-13 dan ke-14 kerana prestasi pentadbiran yang cekap, amanah dan telus.
Sudah jelas bahawa majoriti rakyat Malaysia termasuk orang Melayu dah semakin meluat dengan kerenah UMNO di mana beberapa pemimpin kanan parti pun mula menjauhi diri daripada UMNO. Skandal bekas Perdana Menteri Najib Razak yang mendapat perhatian dunia di mana pemimpin UMNO seperti Lokman Adam masih lagi ‘bersolidariti’ dengan Najib Razak hanya menunjukkan bahawa UMNO takkan insaf akan penderhakaan mereka kepada rakyat Malaysia selama ini. UMNO hanya ingin menyelamatkan UMNO dan tidak pernah mengambil peduli terhadap orang Melayu kerana mereka hanya gilakan harta dan kuasa.
DAP bersama rakan-rakan Pakatan Harapan akan menghormati mandat rakyat tanpa mengira latar belakang untuk mentadbir Kerajaan Persekutuan serta memastikan agenda reformasi negara akan dilaksanakan dengan prinsip CEKAP, AMANAH dan TELUS.