Skip to content

UMNO manipulasi SPR

Saya merujuk kepada kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang mendakwa mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah memanipulasi banyak kerusi majoriti Melayu dan menjadikannya kerusi campuran demi memastikan kemenangan Barisan Nasional selepas mengalami kekalahan teruk di kawasan majoriti Melayu ketika Pilihanraya Umum tahun 1999.

Pengakuan Ismail Sabri ini sekali lagi membuktikan bahawa SPR merupakan alat politik Umno-Barisan Nasional untuk kekal berkuasa selama-lamanya.

Walau bagaimanpun, kenyataan Ismail Sabri yang berbaur perkauman memang serasi dengan kenyataan rasis yang diucapkan oleh para pemimpin UMNO yang lain dan lidah rasmi mereka Utusan Malaysia.

Lebih-lebih lagi, pengakuan Ismail Sabri yang begitu angkuh tersebut telah mendedahkan bahawa Dr Mahathir sememangnya sanggup memperalatkan SPR supaya memanipulasi pilihanraya sesuka hati demi kepentingan diri sendiri.

Kenyataan Ismail Sabri juga selari dengan kenyataan bekas Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid ketika menyertai Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) bahawa beliau sanggup melakukan tiga proses persempadanan semula demi mengekalkan kuasa Melayu.

SPR seharusnya menjalankan amanah yang diberi kepada mereka dengan adil dan bebas daripada sebarang pengaruh politik demi memelihara, menyelia dan mengekalkan proses demokrasi di negara ini melalui pilihanraya yang bebas dan adil.

Namun demikian, PRU yang telah dikendalikan oleh SPR sebelum ini sememangnya terdedah kepada pelbagai penyelewengan seperti skandal dakwat kekal (Indelible Ink) yang akhirnya menjadi “Dakwat tidak Kekal”.

Penyempadanan kawasan pilihan raya yang tidak adil juga membolehkan Barisan Nasional berjaya memenangi 60 peratus kerusi Parlimen walaupun hanya mendapat 47 peratus undi popular dalam PRU-13 yang lalu.

UMNO telah mengakui bahawa mereka sanggup memperalatkan SPR dan penyempadanan semula kawasan pilihan raya yang akan datang semestinya dilakukan demi kemenangan UMNO-BN semata-mata. Pakatan Rakyat pasti akan terus membantah sekeras-kerasnya tipu-helah yang dilakukan oleh UMNO dan SPR.

Saya juga mengharapkan pihak pembangkang dan pertubuhan masyarakat sivil dapat bekerjasama bagi meneruskan usaha mereformasi sistem pilihanraya demi memastikan proses demokrasi di negara ini dijalankan dengan bersih dan adil.