DAP mengutuk UMNO atas cubaan untuk mempolitikkan insiden-insiden terkini di Pulau Pinang dengan kenyataan-kenyataan yang menyalahkan parti-parti pembangkang, padahal UMNOlah yang bermain dengan api kebencian kaum dan agama; berbanding fokus Pakatan Rakyat terhadap isu kenaikan harga gula, petrol, tarif elektrik dan tol lebuhraya.
Saya mahu ingatkan UMNO bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pernah mengatur sebarang demonstrasi. Malah Kerajaan Negeri Pulau Pinang dikritik teruk apabila ia menasihatkan supaya demonstrasi membantah kenaikan harga barang oleh beberapa NGO ditangguhkan sehingga selepas sambutan Tahun Baru Cina.
Dalam jangkamasa 10 hari, rakyat Malaysia telah menyaksikan babak-babak jelik berupa kebencian kaum dan keganasan yang diperlihatkan dalam insiden-insiden yang dihadiri pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO, termasuk wakil-wakil rakyatnya, ahli dan penyokong UMNO di Pulau Pinang.
- Sebuah perhimpunan di Seberang Jaya pada 18 Januari untuk memprotes “flash mob” kangkung yang dianjurkan ADUN PKR Machang Bubuk, Lee Khai Loon. Meskipun dianjurkan oleh PKR, DAP tetap disalahkan dengan saya serta Sdr Lim Kit Siang dijadikan sasaran selain mengugut dengan ancaman 13 Mei. Sepanduk-sepanduk penuh fitnah dan hasutan dipamerkan seperti “Kerana mulut pemimpin DAP, 13 Mei 1969 terjadi… Mahu lagi kaa?”
- Perhimpunan susulan di Taman Alma, Bukit Mertajam pada 19 Januari di mana potret saya, Sdr Lim Kit Siang dan patung Khai Loon dibakar serta seorang penunggang motosikal diserang, dipukul dan motorikalnya dicuri;
- Buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, seorang pegawai kerajaan kanan berketurunan Melayu, Penolong Pegawai Daerah Abu Hassan Osman telah diserang secara terbuka pada 21 Januari di hadapan 35 orang pegawai polis yang sepatutnya melindungi beliau di Teluk Bahang. Walaupun pakaian Abu Hassan terkoyak selepas serangan tersebut, penyerangnya tidak diberkas dengan serta merta tetapi hanya setelah saya menghubungi Ketua Polis Pulau Pinang. Abu Hassan mengetuai pasukan penguatkuasa untuk merobohkan 14 struktur yang kosong dan ditinggalkan (bukan warung tanpa lesen yang telah lama beroperasi) selepas menerima aduan daripada penduduk Melayu setempat;
- Suatu memorandum telah diserahkan oleh sebuah NGO Muslim dan disokong oleh Naib pengerusi UMNO Bahagian Tanjung yang mendesak supaya diharamkan penjualan daging khinzir secara terbuka di kawasan seperti Lebuh Chulia, Jalan Kuantan dan Jalan C. Y. Choy di George Town. Penjualan daging khinzir secara menggantung daging tersebut di gerai telah menjadi kelaziman sejak zaman penjajahan British serta sewaktu BN memerintah. Kenapa baru sekarang hendak dijadikan isu sedangkan kawasan tersebut 95% didiami penduduk bukan Islam?
Kesemua insiden ini jelas bertujuan untuk mengalihkan perhatian daripada isu kenaikan harga gula, minyak, tarif elektrik dan bayaran tol. Sebagai perbandingan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang langsung tidak menaikkan apa-apa bayaran untuk perkhidmatan di bawah Kerajaan Negeri seperti cukai tanah, cukai pintu, tariff air dan lesen perniagaan.
Tiga sepanduk berkualiti tinggi dengan mesej menghasut turut dinaikkan oleh kumpulan yang tidak diketahui di tiga gereja katolik di Pulau Pinang pada hari Ahad lalu. Gereja-gereja berkenaan sudah pun membuat laporan polis. Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi juga telah mengesahkan sepanduk-sepanduk tersebut tidak ada kena mengena dengan gereja dan bertujuan untuk sengaja membangkitkan kemarahan umat Islam. Beliau menyifatkan tindakan oleh kumpulan-kumpulan ini sebagai melampau dan sedang disiasat oleh pihak polis di bawah Akta Hasutan.
Ini kemudiannya diikuti dengan serangan terhadap Gereja Assumption di Lebuh Farquhar Pulau Pinang awal pagi Isnin oleh dua lelaki tidak dikenali, apabila dua molotov cocktail dilempar ke arah gereja; satu darinya meletup manakala satu lagi jatuh ke rumput. Mujurlah tiada lagi ulangan insiden tersebut berikutan peningkatan rondaan polis di rumah-rumah ibadat Kristian dan umat Islam.
Di saat genting ini, dengan kuasa-kuasa ekstremis dan rasis yang meneruskan keganasan mereka untuk menggugat keamanan dan perpaduan, DAP memperkukuh komitmennya untuk melindungi, mengekal dan menggalakkan rasa hormat terhadap kepelbagaian budaya, serta keharmonian kaum dan agama dengan menolak keganasan dan kebencian.