Skip to content

UMNO yang akan beruntung daripada pilihan raya PBT di Selangor, bukan DAP

Semalam, pada 5 Februari 2015, dalam siaran akhbar Sinar Harian, ADUN Permatang, Datuk Sulaiman Razak telah membuat beberapa tuduhan yang tidak berasas terhadap DAP.[1]
Pertama, Sulaiman menuduh bahawa sebab utama DAP menuntut pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) ialah untuk ‘membolot lebih banyak kerusi di kawasan perbandaran’ dan ‘untuk monopoli dari segi jawatan dan pembuat keputusan sekali gus mengetepikan hak kaum lain”.

Sebenarnya, pihak yang akan paling beruntung daripada pilihan raya PBT di negeri Selangor adalah UMNO dan bukan DAP. Di Selangor, UMNO memegang 12 daripada 56 kerusi DUN (21%) dan 4 daripada 22 kerusi parlimen (18%). Walaupun UMNO berjaya memenangi sebanyak 18% daripada undi popular di Selangor pada PRU 13, mereka tidak mempunyai seorang wakil pun di mana-mana pihak berkuasa tempatan. Dengan wujudnya pilihan raya PBT, parti UMNO, dengan sokongan sebanyak 18%, boleh memenangi sekurang-kurangnya 50 daripada 300 ahli majlis yang buat masa ini dilantik oleh kerajaan negeri.

Pada masa yang sama, ada kemungkinan yang besar bahawa UMNO akan menguasai majlis daerah Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor melalui pilihan raya PBT memandangkan sokongan yang kuat untuk UMNO di kawasan-kawasan ini.

Sebagai satu contoh lagi, di kawasan seperti Petaling Jaya di mana UMNO tidak bertanding di sebarang kerusi parlimen ataupun DUN, pilihan raya PBT akan memberi peluang dan ruang kepada UMNO untuk mendapatkan perwakilan di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Kedua, Sulaiman menuduh bahawa DAP mahu ‘mengambil kesempatan untuk menjadi majoriti dalam PBT’ terutamanya di PBT seperti MBPJ, MBSA dan MPAJ yang mempunyai bajet yang besar. Tuduhan Sulaiman adalah berdasarkan pandangan bahawa kawasan perbandaran adalah majoriti bukan Melayu dan ini akan lebih memihak DAP.

Tuduhan ini juga tidak berasas. Mengikut banci penduduk 2010, 10 daripada 12 PBT di negeri Selangor majoritinya orang Melayu, termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam (MBS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ). Di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), penduduk Melayu adalah pluraliti. Hanya Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) pluralitinya orang Cina.

Jadual 1: Penduduk di 12 PBT di Selangor mengikut komposisi kaum, Banci 2010

Pihak Berkuasa Tempatan Bumiputera Cina India Lain-lain
Petaling Jaya 46.2 39.6 13.3 0.9
Shah Alam 71.1 16.7 11.2 1.0
Selayang 59.1 25.4 13.9 1.6
Klang 50.7 28.1 20.7 0.5
Subang Jaya 42.3 44.7 12.4 0.6
Sepang 68.4 16.2 14.8 0.6
Kajang 56.9 31.0 11.4 0.7
Ampang Jaya 57.9 32.6 7.8 1.7
Kuala Langat 65.6 18.2 15.8 0.4
Kuala Selangor 74.9 9.5 15.4 0.2
Sabak Bernam 54.5 39.5 5.9 0.2
Ulu Selangor 70.2 12.4 17.0 0.4

Adakah UMNO tidak mempunyai keyakinan ia boleh mengalahkan DAP dalam pilihan raya PBT di kawasan majoriti Melayu seperti di Shah Alam dan Ampang?

Ketiga, Sulaiman menuduh DAP ‘sengaja mencipta isu untuk menyalahkan kerajaan persekutuan kerana pilihan raya PBT tertakluk di bawah Akta Parlimen dalam senarai bersama kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri’.

Sebenarnya, kerajaan negeri mempunyai dua cara untuk mengendalikan pilihan raya PBT walaupun kerajaan persekutuan enggan bekerjasama. Cara yang pertama ialah untuk meluluskan undang-undang negeri di DUN untuk menjalankan pilihan raya PBT dan mendapatkan pengecualian daripada Akta Kerajaan Tempatan 1976. Ini adalah cara yang diambil oleh kerajaan negeri Pulau Pinang tetapi gagal dilaksanakan apabila rayuan di Mahkamah Persekutuan ditolak.

Cara yang kedua ialah untuk menjalankan pilihan raya PBT dengan menggunakan jentera kerajaan negeri Selangor dan melantik pemenang sebagai ahli majlis. Cara ini telah digunakan oleh kerajaan negeri Selangor untuk memilih ketua kampung Cina di Kampung Baru Sungai Jarum di Kuala Langat, Kampung Bagan di Pulau Ketam dan Pandamaran di Klang. Cara yang sama boleh digunakan untuk memilih Ahli Majlis PBT tetapi memerlukan perancangan yang lebih terperinci.

Pilihan raya PBT di Selangor bukan sesuatu yang baru. Ia dinyatakan dalam manifesto Pakatan Rakyat Selangor untuk PRU 13 seperti berikut: “Melaksanakan dasar menurunkan kuasa secara berperingkat menerusi pelaksanaan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan.”

Jikalau UMNO di Selangor terus menentang pilihan raya PBT di Selangor, adakah ia kerana mereka tidak ada keyakinan terhadap kebolehan sendiri untuk menarik sokongan dan memenangi kerusi ahli majlis ataupun kerana UMNO di Selangor tidak mahu berkhidmat kepada rakyat melalui kerajaan PBT?