Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berlandaskan Perlembagaan Persekutuan. Setiap warga Malaysia harus menyokong dan mendokong amalan pilihanraya sebagai mekanisme untuk memilih pemimpin-pemimpin negara.
Tetapi, proses demokrasi di negara kita adalah ‘setengah masak’ dan mempunyai banyak cacat cela. Satu daripadanya ialah penetapan tarikh pilihanraya umum. Kerajaan merahsiakan tarikh pilihanraya umum daripada ketahui lebih awal. Ini disifatkan sebagai satu amalan yang melanggar hak demokrasi berparlimen dan bersikap tidak adil kepada blok pembangkang.
Di negara-negara yang lebih maju, tarikh pilihanraya ditetapkan lebih awal. Ini membantu kedua-dua pihak iaitu kerajaan mahupun pembangkang membuat persediaanya yang sewajarnya untuk menghadapi pilihanraya. Parti-parti politik boleh merancang kempen pilihanrata dengan lebih baik. Rakyat juga tidak perlu berada dalam keadaan tidak menentu dan terpaksa membuat ramalan setiap masa.
Taktik ini sebenarnya merupakan muslihat kerajaan untuk mengadakan pilihanraya pada ketika yang paling sesuai bagi pihaknya. Ini adalah tidak adil dan merosakkan amalan demokrasi yang berasaskan prinsip saksama. Perbuatan tidak adil ini juga merupakan satu sebab kenapa Barisan Nasional menang dalam setiap pilihanraya umum sebelum ini. Hakikatnya, Barisan Nasional tidak berani bertembung dengan pembangkang di pentas yang sama rata.
Walaupun Perlembagaan Persekutuan dan kesemua Undang-undang Tubuh Negeri memperuntukkan kuasa kepada SPR untuk menentukan tarikh sebenar pilihanraya, tetapi tarikh pembubaran parlimen ditentukan oleh ketua kerajaan yang memerintah iaitu Perdana Menteri. Kuasa SPR hanya terhad untuk menentukan tarikh sebenar pilihanraya iaitu dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri dibubarkan. Dalam kata lain, Perdana Menteri yang menentukan tarikh pilihanraya secara tersirat dan bukannya SPR.
Saya menyeru kepada Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak supaya berani mengumumkan tarikh Pilihanraya Umum Ke 14 lebih awal. Jangan memperlekehkan rakyat dengan permainan politik kotor yang hanya menguntungkan Barisan Nasional. Transformasi yang dilaung-laungkan itu adalah tidak bermakna jika sistem demokrasi negara tidak dipulih dengan segera.