Undang undang pengurusan dan penguatkuasaan kawalan sungai seharusnya digubal bagi memastikan kelancaran saliran air sungai. Ini penting bagi menghindari banjir kilat yang sering berlaku seperti di beberapa kawasan di Sungai Siput.
Sungai Siput merupakan antara kawasan yang dibelenggu masalah banjir kilat sekian lama. Projek Masma yang diberi peruntukan RM18 juta semasa pentadbiran PH dijangka hanya akan memulakan kerja dalam beberapa bulan ini dengan kos jangkaan RM20 juta.
Walaupun sehingga kini, beberapa kerja kerja kecil telah dijalankan namun, ia gagal menyelesaikan masalah tanpa projek bersekutu. Kerja terkini oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) termasuk di kawasan Taman Lintang Makmur dijangka hanya akan melegakan dan bukan menyelesaikan masalah secara jangka panjang.
Selain itu, JPS sebagai pihak yang bertanggungjawab atas pengurusan sungai dan saliran ibarat harimau tanpa gigi tidak membantu keadaan.
JPS tiada kuasa mengarah atau denda mereka yang menyebabkan masalah kepada kelancaran saliran sungai.
Syarikat peladangan atau pekebun kecil yang membuat aktiviti tanaman semula menjejaskan keadaan sungai apabila sungai dipenuhi mendapan daripada aktiviti penanaman semula. Sungai menjadi cetek dan menghalang perjalanan air. Ini menyebabkan air ‘ditendang balik’ ke hulu seperti yang berlaku di kawasan perbandaran Sungai Siput.
Selain itu, pokok pokok tumbang dan longgokan sampah sungai juga menyebabkan masalah sungai tersekat. Tiada suatu undang undang khusus yang membolehkan mereka mengarahkan pembersihan sungai di dalam kawasan persendirian atau berdepan dengan penguatkuasaan serta denda.
Pokok pokok tumbang dalam sungai di kawasan persendirian serta pembuangan sampah ke dalam sungai oleh mereka yang tidak bertanggungjawab juga harus dihalang dengan undang undang jelas.
Saya berharap agar kerajaan dapat membentangkan usul undang undang bagi menangani masalah ini secepat mungkin. Perhatian yang serius harus diberi kepada pengubalan undang undang tersebut.