Skip to content

Undi popular bagi PR Pulau Pinang meningkat sebanyak 7.7% membuktikan bahawa sangkaan PM Najib Razak kononnya PR Pulau Pinang gagal mendapat sokongan pengundi bukan Cina ternyata salah

Pakatan Rakyat Pulau Pinang menyaksikan peningkatan undi popular sebanyak 7.7%, iaitu daripada 58% pada pilihanraya umum 2008 kepada 65.7% pada 2013. BN mendapat 32% undi popular, dengan bakinya merupakan undi rosak dan undi untuk calon bebas. Ayunan sebanyak 7.7% terhadap Pakatan Rakyat adalah besar bagi ayunan normal sebanyak 3-4% lantas membuktikan bahawa sangkaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kononnya Pakatan Rakyat gagal mendapat sokongan pengundi bukan Cina adalah sama sekali tidak benar.

Bagi kerusi-kerusi Parlimen, Pakatan Rakyat mencatatkan meningkatan 4%, aripada 63% pada tahun 2008 kepada 67% pada tahun 2013. BN pula mendapat 31% dengan bakinya adalah undi rosak. (lihat jadual)

PR P.Pinang % Undi Popular PRU2008 vs PRU2013 (DUN and Parlimen)

PR P. Pinang % Undi Popular PRU 2008 % Undi Popular PRU 2013 Pertambahan Peratusan Undi Popular
Parlimen 63.0% 67.0% 4.0%
DUN 58.0% 65.7% 7.7%

Termasuk undi rosak

– Pengurangan pecahan undi daripada PRU 2008 dengan PRU 2013 menunjukkan majoriti pengundi Pulau Pinang menyokong Pakatan Rakyat pada kadar serupa di peringkat Parlimen dan DUN.

PR P. Pinang # undi popular PRU2008 vs PRU2013 (DUN dan Parlimen)

PR P. Pinang jumlah undi sah PRU2008 jumlah undi sah PRU2013 Pertambahan jumlah undi sah
Parlimen 341,836 492,863 151,027
DUN 319,757 490,798 171,041

– Pertambahan bilangan undi di peringkat DUN adalah lebih besar berbanding pertambahan bilangan undi Parlimen. Ini memperlihatkan peningkatan keyakinan terhadap kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Pertambahan undi popular untuk Pakatan Rakyat sebanyak 7.7% boleh dikaitkan dengan pertambahan sokongan daripada semua komuniti di Pulau Pinang, dari kaum Cina, India dan Melayu. Walaupun terdapat pertambahan signifikan daripada pengundi Cina dan India, terdapat juga pertambahan dari kalangan pengundi Melayu. Jika tidak bagaimana mungkin sebuah negeri dengan 35% pengundi Melayu dapat memberikan 66-67% undi popular bagi Pakatan Rakyat di kedua-dua kerusi DUN dan Parlimen? Memandangkan adalah mustahil untuk mendapat sokongan 100% dari kedua-dua kaum India dan Cina, pertambahan undi popular dan majoriti seperti yang boleh dilihat di bawah hanya boleh didapati daripada peningkatan sokongan pengundi Melayu.

Undi Majoriti PR P. Pinang PRU2008 vs PRU2013 (DUN dan Parlimen)

PR P. Pinang Majoriti PR PRU2008 Majoriti PR PRU2013 Pertambahan Majoriti
Parlimen 141,733 263,004 121,271 (+86%)
DUN 97,418 257,552 160,134 (+164%)

Majoriti Pakatan Rakyat bertambah sehingga 86% bagi kerusi Parlimen dan sehingga 164% bagi kerusi DUN untuk PRU kali ini berbanding tahun 2008. Fakta menunjukkan dengan jelas bahawa Pakatan Rakyat menang di Pulau Pinang lantaran meningkatnya sokongan daripada ketiga-tiga komuniti kaum.

DAP kesal dengan sikap UMNO dan MCA yang terus cuba membangkitkan isu perkauman dengan kononnya wujud tsunami Cina sedangkan sebenarnya ia adalah tsunami rakyat Malaysia daripada kesemua tiga kaum terbesar di Pulau Pinang. Permainan api perkauman yang dimainkan oleh BN ini sangat bahaya memandangkan kita telah melihat di sepanjang tempoh kempen bahawa sebenarnya kumpulan-kumpulan penyokong BN berketurunan Cina daripada persatuan-persatuan 1Malaysia yang bertindak kasar terhadap kaum Cina sendiri, manakala penyokong Melayu BN yang bertindak kasar terhadap orang Melayu.

Orang Melayu dan orang bukan Melayu bukanlah sebodoh yang disangkakan BN sehingga boleh termakan sentimen perkauman yang dimainkan BN, dan mereka pastikanya akan menolak politik konfrontasi perkauman BN dan menerima politik kolaborasi Pakatan Rakyat. Saya telah menyebut dalam ucapan majlis angkat sumpah saya semalam bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang 2.0 akan berlaku adil kepada semua tanpa mengira kaum, agama dan pendirian politik, termasuk mereka yang menyokong BN.