Universiti Teknologi Mara sekali lagi berada disuluh lampu spotlight kerana mengadakan Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara pada 6 Mei 2014 di Dewan Agong Tuanku Canselor.
Seminar tersebut dianjurkan oleh Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Warisan Ibnu Aaby dan Majlis Agama Islam Selangor dengan sokongan Utusan Malaysia, Kumpulan Karangkraf, TV Al-Hijrah, Zikay Group dan Pantai Bharu Group of Companies.
Semua mahasiswa yang mengikuti kursus termasuk Sejarah Malaysia dan Hubungan Etnik diminta hadir ke seminar tersebut dengan pelepasan kuliah diberikan kepada yang hadir.
Seminar itu diadakan dengan tujuan untuk meningkatkan kefahaman umat Islam berkenaan isu kalimah Allah.
Melihat pada tajuk tersebut pada mulanya saya sebagai graduan UiTM tidak sangka akan keterbukaan UiTM untuk mengadakan seminar saya kira untuk membuka minda dan ruang perdebatan intelektual di antara peserta seminar tersebut.
Nyata sekali jangkaan awal saya silap apabila mendapat tahu isi kandungan seminar tersebut di adakan dengan niat memomokkan agama Kristian di mata peserta-peserta seminar. Seperti tertera di dalam aturcara majlis ada satu sesi khas berjudul ‘Ancaman Kristianisasi’ oleh Tuan Haji Insan L.S Mokoginta Buku khas terbitan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berjudul Pendedahan Agenda Kristian yang didakwa terkandung dakwaaan evangelis dan helah Kristian untuk mempengaruhi umat Islam daripada kepercayaan mereka telah diedarkan kepada lebih 1000 mahasiswa yang mengikuti seminar tersebut.
Buku tersebut menyalahkan Kristianisasi sebab utama berlakunya murtad di kalangan umat Islam.
Saya amat kecewa dengan pendekatan yang diambil oleh UiTM berkenaan perkara ini. Sekiranya benar ingin meningkatkan kefahaman dan menguatkan akidah umat Islam, caranya sudah pasti dengan bukan memomokkan agama lain.
Saya juga amat kesal kerana UiTM tidak mempertimbangkan perasaan mahasiswa, tenaga pengajar dan juga staf beragama Kristian yang berkhidmat di UiTM. Apakah perasaan mereka melihat universiti tempat mereka menuntut ilmu dan mencari sumber rezeki memburukkan agama mereka?
UiTM telah banyak berjasa kepada rakyat Malaysia khususnya yang berketurunan Melayu dan Bumiputera. UiTM sebagai satu institusi yang disegani tidak seharusnya berdiri serendah ini hanya demi memuaskan hati mereka yang berfikiran sempit, penuh dengan kebencian dan nyata sangat keterbelakang.
Sejak bila tanahair kita jadi begini? Tunku Abdul Rahman, Bapa Merdeka, pengasas Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Setiausaha Agung pertama Organisation of Islamic Conference (OIC) pada tahun 1960an menghantarkan ucapan tahniah kepada gereja St Andrew’s Presbyterian semasa sambutan jubli emasnya. Walaubagaimanpun, ampir 50 tahun selepas itu, kita mula menuduh adanya ancaman Kristianisasi di kalangan umat Islam dan cuba mewujudkan ketegangan agama dan kaum, dan paling teruk dianjurkan oleh institusi pengajian tinggi yang disegani. Sangat menyedihkan. Kejadian ini hanya membawa nama buruk kepada UiTM.
UiTM sepatutnya menganjurkan inter-faith seminar yang menekankan prinsip-prinsip asas yang dikongsi bersama oleh semua agama menunjukkan bahawa perbezaan antara kita adalah cetek dan persamaan kita lebih mendalam, meningkatkan kefahaman antara agama dan seterusnya mewujudkan perpaduan yang lebih utuh.
Tetapi nyata sekali perpaduan bukanlah agenda seminar tersebut.
Bukan sahaja dengan itu, seorang mahasiswaUiTM Sabah berdepan tindakan disiplin dan boleh digantung pelajaran kerana menulis bantah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di laman Facebook peribadi beliau. Mohd Fathihie Gadius didakwa melanggar Kaedah-Kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 kerana boleh menggalakkan perbuatan melanggar tatatertib, kekacauan, keengkaran di kalangan pelajar.
Saya percaya sepatutnya penganjur Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara yang dikenakan tindakan sedemikian dan bukannya Mohd Fathihie yang hanya menyuarakan hak beliau sebagai rakyat Malaysia tanpa melanggar batasan kebebasan individu yang tertakluk di dalam Perlembagaan.