PSUKPP/21/0353/46 (20)
3 Ogos 2016
YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof
Menteri Kerja Raya,
Kementerian Kerja Raya,
Tingkat 6, Blok B Kompleks Kerja Raya,
Jalan Sultan Salahuddin,
50580 Kuala Lumpur [No. Faks: 03-27113288]
Yang Berhormat Dato’ Sri,
PERMOHONAN KELULUSAN UNTUK MEMBINA JAMBATAN KETIGA PULAU PINANG BEBAS TOL DI ANTARA PERSIARAN GURNEY KE BAGAN AJAM, SEBERANG PERAI UTARA
Dengan hormatnya saya merujuk kepada perkara tersebut di atas dan juga surat Yang Berhormat Dato’ Sri yang bertarikh 25 Julai 2016 berkaitan perkara di atas.
2. Sebagaimana yang Yang Berhormat Dato’ Seri sedia maklum, Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat komited dan bersungguh-sungguh dalam mengusulkan rancangan pembinaan Jambatan Ketiga Pulau Pinang tanpa tol, jambatan utama pertama di Malaysia yang bebas daripada pelaksanaan tol. Hasrat Kerajaan Negeri untuk mempertingkatkan sistem pengangkutan moden yang menghubungkan Seberang Perai Utara (SPU) dengan kawasan Pulau adalah satu inisiatif penambahbaikan “connectivity” sedia ada di Pulau Pinang yang boleh membawa pembangunan seimbang di kawasan SPU.
3. Seperti yang dipohon oleh Yang Berhormat Dato’ Sri, laporan kebolehlaksanaan projek terowong bawah dasar laut dan laporan rekabentuk akan dikemukakan kepada pihak Yang Berhormat Dato’ Sri sebaik ianya siap pada penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan. Kini kemajuannya adalah di tahap 83% siap.
4. Kerajaan Negeri kurang faham logik Yang Berhormat Dato’ Sri yang perlukan kajian kebolehlaksanaan projek terowong bawah dasar laut sedangkan ianya tiada kaitan dengan jambatan ketiga. Yang diminta oleh Kerajaan Negeri adalah kelulusan bagi jambatan ketiga dan bukannya terowong bawah dasar laut.
5. Oleh itu, kami amat berharap supaya permohonan terhadap cadangan pembinaan projek jambatan ketiga ini diberi kelulusan secara prinsip oleh pihak Yang Berhormat Dato’ Sri supaya Kerajaan Negeri dapat mengambil tindakan sewajarnya ke arah merealisasikan pelaksanaan projek tersebut.
Sekian.
Yang ikhlas,
LIM GUAN ENG
Ketua Menteri Pulau Pinang