Skip to content

Usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam menangani isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak melalui pelancaran 5 video pendidikan seks bagi kanak-kanak merupakan hasil iltizam politik Pakatan Harapan dan harus disahut oleh pemimpin agama dan pemimpin komuniti dan masyarakat untuk diuar-uarkan

Matlamat Kementerian Pembangunan Wanita, Kluarga dan Masyarakat supaya video mengenai sentuhan selamat dan sentuhan jahat yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah agar mengena sasaran 150,000 kanak-kanak tidak mungkin dapat dicapai tanpa penglibatan secara menyeluruh oleh pemimpin agama dan pemimpin komuniti dan masyarakat untuk menyampaikan pesanan yang mustahak ini.

Cadangan untuk memperkenalkan sukatan pendidikan seks yang lebih mampan dan praktikal di peringkat sekolah secara keseluruhan serta inisiatif untuk mempromosikan bahan-bahan publisiti bagi mendedahkan kanak-kanak kepada jenis-jenis sentuhan dan ruang serta platfom untuk membuat aduan telahpun banyak kali dibangkitkan oleh saya dan Ahli-ahli Parlimen yang lain di Dewan Rakyat sebelum ini dari zaman pemerintahan Barisan Nasional namun ketiadaan iltizam politik untuk menyahut cadangan Ahli Parlimen pembangkang menyebabkan kewujudan satu lompang dalam struktur pendidikan seks dan mesej perlindungan yang sepatutnya disampaikan dahulu.

Kini dengan keazaman politik yang baru dan komitmen untuk meletakkan kepentingan dan keselamatan kanak-kanak sebagai agenda kebangsaan kerajaan Pakatan Harapan, perjuangan untuk mewujudkan kesedaran awam bermula dengan tanggungjawab masyarakat untuk melindungi kanak-kanak dan perjuangan ini bukanlah hanya terletak diatas bahu kerajaan sahaja. Walaupun wujud beberapa video yang amat efektif yang menceritakan jenis bahaya yang wujud diluar dan keselamatan kanak-kanak daripada menjadi mangsa jenayah seksual telahpun diterbitkan oleh NGO-NGO yang berfokuskan kepada penonton kanak-kanak, namun ini merupakan usaha yang amat signifikan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Pemimpin-pemimpin dalam struktur-struktur masyarakat dalam bentuk Tok Batin bagi komuniti Orang Asli dan Orang Asal, Tuai Rumah di Rumah Panjang, Ketua Kampung, Penghulu, Jawatankuasa MPKK, KRT, Persatuan Penduduk, JMB, JMC, Ahli Majlis dan wakil rakyat serta pemimpin agama sebagai imam di surau dan masjid, paderi dan pastor di gereja, sami di kuil Hindu dan tokong Cina, granthi di Gurdwara, serta pemimpin keagamaan yang lain yang mempunyai pengaruh yang luas harus menggunakan peluang ini untuk berganding bahu dan menggembleng tenaga dan menguatkan semangat untuk menguar-uarkan kelima-lima video-video keselamatan ini kepada anak-anak kita dan kepada golongan ibubapa juga supaya mereka juga peka kepada risiko dan bahaya yang wujud diluar sana.

Dua minggu yang lalu, Ahli-ahli Parlimen dari 7 negara ASEAN telah bermesyuarat di Malaysia dalam Mesyuarat Kaukus ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) dan telah menyokong sebulat suara satu senarai semak yang dipersetujui oleh kesemua 7 negara ASEAN akan usaha bersama untuk membanteras jenayah eksploitasi kanak-kanak dalam industri pelancongan dan semasa perjalanan atau “Sexual Exploitation of Children in Travel and Tourism (SECTT)”.

Dengan kerjasama negara-negara ASEAN pemangsa seksual akan menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dengan pemangsa seksual yang lain dengan usaha pengawasan dari badan penguatkuasa serta persefahaman dan permuafatakan diantara Interpol dan negara-negara ASEAN dapat diasaskan.

Namun demikian, usaha bersama diantara negara ASEAN dan dalam negara untuk memerangi jenayah seksual kanak-kanak tidak mungkin tercapai tanpa penglibatan oleh semua pemimpin agama dan pemimpin komuniti dan masyakarat dengan menggembleng tenaga untuk membina satu benteng yang kukuh untuk melindungi anak-anak kita.

“It takes a network to defeat a network”.