Baru-baru ini pemimpin-pemimpin pembangkang Barisan Nasional telah mengkritik Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana gagal dalam 51 perkara sejak tahun 2008.
Saya mendapati di antara 51 perkara ini, terdapat 10 perkara adalah bersangkut paut dengan isu kesesakan lalulintas dan pengangkutan awam yang di bawah portfolio saya.
Saya ingin menegaskan bahawa dakwaan oleh Barisan Nasional adalah kurang adil kerana sudah menjadi pengetahuan umum bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang giat dan aktif melaksanakan rancangan-rancangan Pelan Induk Pengangkutan Negeri.
Pada peringkat ini, Kerajaan Negeri masih perlu mendapat kelulusan dari Kerajaan Persekutuan untuk projek LRT dan Penang South Reclamation supaya ianya dapat dilaksanakan.
Saya ingin mengingati Barisan Nasional Negeri Pulau Pinang bahawa Kerajaan Persekutuan adalah bertanggungjawab atas isu-isu pengangkutan awam dan sepatutnya projek-projek yang dijanjikan seperti projek LRT perlu dilaksanakan oleh mereka.
Sepatutnya Barisan Nasional harus melaksanakan kewajipan membina LRT di Pulau Pinang tetapi mereka telah mungkir janji pilihanraya.
Oleh kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang peka tentang masalah kesesakan lalulintas dan keperluan sistem pengangkutan awam dan rangkaian lebuhraya yang lebih efisien, ia telah memulakan initiatif untuk melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan.
Rakyat jelata berharap bahawa Barisan Nasional tidak mensabotaj usaha-usaha murni Kerajaan Negeri Pulau Pinang walaupun mereka tidak ingin membantu.