Skip to content

Usaha pencegahan banjir, bantuan bencana, usaha menyelamat dan pengurusan pemulihan haruslah dilaksanakan secara disentralisasi kepada kerajaan negeri dengan peruntukan tahunan melebihi RM100 juta atau 20% dari sumbangan cukai negeri tersebut

Bencana banjir di Sabah dan Semenanjung Malaysia baru-baru ini telah menyerlahkan kegagalan kerajaan Persekutuan dalam pencegahan banjir, bantuan bencana, usaha menyelamat, dan pemulihan pasca bencana sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 55 nyawa(2 masih hilang) dan kerugian ekonomi sebanyak RM20 bilion. Tiada yang menonjol kegagalan kerajaan Persekutuan berbanding prestasi Perdana Menteri dan Menteri yang mengecewakan di mana mereka kelihatan tidak berminat atau tidak prihatin dan langsung tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Siapa boleh lupa penduduk yang terpaksa merengkok di atas bumbung di Taman Sri Muda selama 3 hari?Macam takda kerajaan? Kegagalan kerajaan ini menyebabkan badan-badan amal, NGO seperti Tzu Zhi dan wakil rakyat terpaksa mencari jalan sendiri untuk membantu mangsa banjir bila macam sudah tiada kerajaan lagi. Lebih teruk, agensi pengurusan bencana khusus seperti NADMA menolak tanggungjawab dan sebaliknya menyalahkan kerajaan negeri.

Ini adalah kegagalan sistemik kedua-dua kepimpinan dan struktur pentadbiran kerajaan Persekutuan. Perlu ada anjakan paradigma daripada kaedah kini yang tidak berkesan di mana Putrajaya membuat keputusan bagaimana menjalankan kerja-kerja menyelamat dari bilik berhawa dingin beratus kilometer dari lokasi bencana. Memandangkan Kerajaan Persekutuan telah membuktikan ketidakcekapan dan ketidakupayaan menangani krisis banjir negara dan mahu menyalahkan kerajaan negeri, maka kerajaan harus melaksanakan desentralisasi.

LebIh-lebih lagi bila kerja-kerja mitigasi dan pemulihan dijalankan menerusi Pejabat Daerah di bawah Kerajaan Negeri. Lebih baik NADMA diletakkan di bawah kerajaan negeri yang lebih tahu macam mana uruskan banjir secara real-time semasa ia berlaku dan bukannya secara “remote control” beratus atau beribu batu daripada kejadian.

DAP mencadangkan disentralisasi usaha pencegahan banjir, bantuan bencana, usaha menyelamat dan pengurusan pemulihan kepada Kerajaan Negeri dengan peruntukan tahunan melebihi RM100 juta atau 20% dari sumbangan cukai negeri tersebut. Sumbangan kewangan sedemikian tidak akan menjejaskan Belanjawan Persekutuan dengan menyalurkan peruntukan sedia ada di Kementerian Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri. Ini bermakna kerajaan negeri akan bertanggungjawab ke atas isu perparitan, kerja-kerja tebatan banjir termasuk penyelenggaraan cerun bukit, bantuan bencana, kerja-kerja penyelamatan dan pemulihan dalam pembersihan dan mengembalikan kehidupan mangsa banjir kepada normal melalui bantuan kewangan yang diperlukan.

Pengecualian Faedah Dan Moratorium Pinjaman Bank Untuk 6 Bulan Lagi

Macam mana boleh membantu isi rumah, keluarga dan syarikat-syarikat menebus balik kehilangan harta sebanyak RM20 bilion ini? Kita lihat beribu kenderaan yang hanyut, jalan dan infrastruktur yang rosak, premis perniagaan dan rumah yang pecah sama sekali. Adakah bantuan RM1.4 bilion ataupun RM2 bilion seperti yang disebutkan oleh YB Menteri tadi mencukupi atau RM1,000 untuk setiap orang memadai?

Kami ingin mengesyorkan agar pengecualian faedah dan moratorium pinjaman bank dilanjutkan selama 6 bulan apabila ditamat pada akhir bulan Februari ini. Pada masa inilah bank-bank harus membuat sumbangan dengan keuntungan sektor ini berjumlah kira-kira RM 20 bilion tahun lepas. Seluruh negara sedikit sebanyak terjejas dengan bencana banjir ini, khususnya Selangor, apabila rantai bekalan barangan banyak yang terputus. Contohnya penghantaran kereta X50 dilambatkan hampir 6 bulan ekoran kesan negatif banjir.

Yang menjadikan banjir lebih rumit ialah pembalakan secara berleluasa khususnya di negeri Pahang namun pihak berkuasa seolah-olah tidak nampak kayu-kayu balak yang dihanyut air banjir. Kini pembalakan disambung semula seperti tidak ada banjir besar yang berlaku. Takkan Perdana Menteri yang berasal dari negeri Pahang tidak mengetahui perkara ini?

Dalam Bajet 2022, Kementerian Kewangan telah memperuntukkan 450 juta ringgit untuk memelihara kelestarian alam sekitar dan biodiversiti. Sejauh manakah ini berkesan dengan pembalakan berleluasa dan juga sikap Menteri yang sesat seperti seorang Menteri yang menyatakan bahawa spesies orang utan tidak tergugat kerana kalau manusia terserempak dengan orang utan, manusia tidak bunuh orang utan sebaliknya orang utan akan bunuh manusia.

Kerajaan negeri boleh bertindak dengan lebih berkesan dalam melaksanakan tebatan banjir, kerja-kerja menyelamat dan menyalurkan bantuan. Melainkan desentralisasi dilaksanakan, kitaran suram rakyat Malaysia ‘tenggelam’ dalam kegagalan pengurusan bencana banjir pasti akan berulang tanpa sebarang penyelesaian.

Keyakinan Pelabur Asing Terjejas Sekiranya Tidak Ada Tindakan Terhadap Azam Baki Yang Melanggari Undang-undang Lawan Rasuah.

Tadi YB Menteri Kewangan menyatakan keyakinan pelabur asing dicerminkan di pasaran kewangan bagi minggu berakhir 14 Januari, di mana pelabur asing telah mencatatkan pembelian bersih berjumlah 400 juta ringgit di pasaran saham negara. Ini sebelum skandal saham Ketua Pesuruhjaya SPRM meletup. Sekiranya tidak ditangani maka ia akan menjejaskan iklim pelaburan di Malaysia.

Perdana Menteri harus mengambil tindakan atas pendedahan Suruhanjaya Sekuriti mengenai konspirasi licik Azam Baki untuk menyembunyikan kekayaan sahamnya yang tidak dapat dijelaskan dan jumlah serta kuantum dagangan saham yang luar biasa melebihi kemampuan kewangannya sebagai penjawat awam. Dikhabarkan sampai ada transaksi saham sehingga RM3 juta dalam akaun sahamnya selain daripada milikan berjuta saham dalam syarikat-syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

Perdana Menteri Ismail Sabri harus menghentikan percubaan tidak jujur kerajaan untuk menutup salah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dengan melindunginya daripada sebarang hukuman atas kesalahan dan pembohongan beliau. Apabila Azam menzahirkan rasa terima kasih kerana SC telah membersihkannya daripada salah laku kerana membenarkan akaun dagangan sahamnya digunakan oleh adiknya untuk memperoleh berjuta-juta saham dalam syarikat tersenarai, ini jelas salah kerana seperti mana-mana pasaran modal yang berfungsi di dunia, Malaysia juga melarang dagangan saham secara proksi.

Mujurlah penjelasan terbaru oleh SC bahawa Azam adalah pemegang akaun yang dinamakan dan mempunyai kawalan tunggal ke atas akaun dagangan tersebut bagi memberi arahan untuk membeli, menjual dan memindahkan sekuriti. SC membuat kesimpulan bahawa tiada dagangan secara proksi melalui akaun saham Azam oleh adik lelakinya seperti yang didakwa oleh Azam.

Dalam erti kata lain Azam berbohong apabila dia cuba mewajarkan pegangan sahamnya yang berjuta-juta ringgit dan urus niaga saham yang melibatkan jutaan ringgit dengan mendakwa akaun dagangan sahamnya digunakan sebagai akaun proksi oleh adiknya.

Perdana Menteri tidak harus menggadaikan maruahnya untuk mempertahankan tipu helah Azam kerana ini juga akan menjejaskan imej negara. A lawmaker should not be a law-breaker just as a lawman should not be an outlaw.

Perdana Menteri harus segera mengambil tindakan dengan meminta Azam bercuti sementara menunggu siasatan bebas dan saksama oleh panel yang kredibel yang boleh menjalankan tugas mereka tanpa rasa takut atau pilih kasih.