Bencana banjir di Semenanjung Malaysia baru-baru ini telah menyerlahkan kegagalan kerajaan Persekutuan dalam pencegahan banjir, bantuan bencana, usaha menyelamat, dan pemulihan pasca bencana sehingga mengorbankan 54 nyawa dan kerugian ekonomi sebanyak RM20 bilion. Tiada yang menonjol kegagalan kerajaan Persekutuan berbanding prestasi Perdana Menteri dan Menteri yang mengecewakan di mana mereka kelihatan tidak berminat atau tidak prihatin dan langsung tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
Siapa boleh lupa imej jelik Perdana Menteri yang enggan turun daripada keretanya ketika melawat mangsa banjir atau Menteri Rina Harun yang membersihkan kawasan yang sudah bersih dan bukannya rumah mangsa banjir yang dipenuhi lumpur? Lebih teruk, agensi pengurusan bencana khusus seperti NADMA menolak tanggungjawab dan sebaliknya menyalahkan kerajaan negeri.
Ini adalah kegagalan sistemik kedua-dua kepimpinan dan struktur pentadbiran kerajaan Persekutuan. Perlu ada anjakan paradigma daripada kaedah kini yang tidak berkesan di mana Putrajaya membuat keputusan bagaimana menjalankan kerja-kerja menyelamat dari bilik berhawa dingin beratus kilometer dari lokasi bencana. Memandangkan Kerajaan Persekutuan telah membuktikan ketidakcekapan dan ketidakupayaan menangani krisis banjir negara dan mahu menyalahkan kerajaan negeri, maka kerajaan harus melaksanakan desentralisasi.
DAP mencadangkan disentralisasi usaha pencegahan banjir, bantuan bencana, usaha menyelamat dan pengurusan pemulihan kepada Kerajaan Negeri dengan peruntukan tahunan melebihi RM100 juta atau 20% dari sumbangan cukai negeri tersebut. Sumbangan kewangan sedemikian tidak akan menjejaskan Belanjawan Persekutuan dengan menyalurkan peruntukan sedia ada di Kementerian Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri. Ini bermakna kerajaan negeri akan bertanggungjawab ke atas isu perparitan, kerja-kerja tebatan banjir termasuk penyelenggaraan cerun bukit, bantuan bencana, kerja-kerja penyelamatan dan pemulihan dalam pembersihan dan mengembalikan kehidupan mangsa banjir kepada normal melalui bantuan kewangan yang diperlukan.
Kerajaan negeri boleh bertindak dengan lebih berkesan dalam melaksanakan tebatan banjir, kerja-kerja menyelamat dan menyalurkan bantuan. Apabila banjir besar berlaku di Pulau Pinang pada 5 November, Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertindak dan mengambil alih bukan sahaja kerja-kerja menyelamat dan pemberian bantuan, malah pengurusan pemulihan telah dilaksanakan dengan jayanya sehinggakan kerja pembersihan utama telah selesai dalam masa seminggu dan keadaan pulih kepada normal dalam masa sebulan.
Putera Charles begitu kagum apabila beliau melawat Pulau Pinang selepas banjir berlaku sehinggakan dia bertanya sama ada bencana banjir besar benar-benar berlaku di sini. Melainkan desentralisasi dilaksanakan, kitaran suram rakyat Malaysia ‘tenggelam’ dalam kegagalan pengurusan bencana banjir pasti akan berulang tanpa sebarang penyelesaian.