Skip to content

Utamakan perpaduan negara, ekonomi dan mata pencarian rakyat daripada perpaduan kaum, pilihan raya umum awal dan mengejar jawatan politik

Sambutan Merdeka tahun ini sepatutnya milik rakyat dan bukannya ahli politik. Penekanan Perdana Menteri Ismail Sabri bahawa perpaduan kaum adalah kunci untuk merealisasikan Keluarga Malaysia adalah salah. Keutamaan seharusnya adalah perpaduan negara, ekonomi dan mata pencarian rakyat berbanding perpaduan kaum, mengadakan pilihan raya umum awal tahun ini dan mengejar jawatan politik secara membuta tuli dalam apa jua cara.

Menekankan perpaduan kaum bukan bermaksud Keluarga Malaysia tetapi Keluarga Melayu, Keluarga Cina, Keluarga India, Keluarga Dayak/Iban, Keluarga Kadazan Dusun Murut(KDM). Adakah Keluarga Malaysia wujud apabila Ismail gagal secara jelas untuk menafikan dan menentang kenyataan palsu, tidak berasas, rasis dan ekstremis oleh Presiden PAS dan Ketua Pemuda PAS yang masing-masing menyalahkan orang bukan Islam dan bukan bumi sebagai punca rasuah di Malaysia dan mengugut demonstrasi seluruh negara untuk mengharamkan konsert oleh artis antarabangsa?

Krisis ekonomi semasa akan menjadi isu utama rakyat, malah lebih besar daripada pemenjaraan bersejarah bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak kerana salah guna kuasa. Dengan tunduk terhadap tekanan UMNO untuk mengadakan pilihan raya umum awal, Ismail tidak mengendahkan kedudukan berbahaya pemulihan ekonomi negara ketika menghadapi kenaikan harga dan inflasi, kekurangan tenaga buruh yang teruk, kemerosotan nilai ringgit, tadbir urus yang lemah, rasuah yang berleluasa dan kemelesetan ekonomi dunia yang akan berlaku.

Daripada menumpukan kepada mata pencarian rakyat, Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi dan BN mendakwa senario politik yang tidak stabil telah meletakkan ekonomi negara dalam keadaan merosot, sekali gus memerlukan pilihan raya umum yang awal. Walaupun UMNO betul bahawa ekonomi negara berada dalam keadaan merosot, UMNOlah yang menggugat kestabilan Perdana Menteri mereka sendiri dengan ancaman berulang kali untuk memanggil pilihan raya umum awal apabila perhatian penuh harus diberikan ke arah menyelesaikan masalah ekonomi semasa.

Pastikan Akauntabiliti Penuh Mengenai Bagaimana RM50 bilion Dividen Petronas Digunakan.

Pilihan raya umum tidak sepatutnya diadakan tahun ini untuk mengelak menjadikan pembentangan Belanjawan 2023 sebagai Belanjawan Pilihan Raya yang direka terutamanya bukan untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara tetapi untuk meningkatkan prospek kemenangan pilihan raya bagi Perdana Menteri dan partinya.

Dengan tambahan RM25 bilion pembayaran dividen daripada Petronas kepada kerajaan, menjadikan jumlah RM50 bilion untuk 2022, wujud kebimbangan bahawa RM50 bilion dana awam ini akan digunakan bukan untuk kepentingan rakyat, tetapi dijolikan untuk kepentingan politik.

Rakyat perlu mengambil kembali semangat Merdeka daripada ahli politik yang tidak bertanggungjawab dan memastikan akauntabiliti penuh terhadap penggunaan dan perbelanjaan bayaran RM50 bilion daripada Petronas.