Hari ini (April 9, 2015) merupakan hari terakhir persidangan untuk Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-13 yang berlangsung sejak Mac 9, 2015.
Dalam tempoh 20 hari Parlimen bersidang kali ini, dengan tergesa-gesa Kerajaan telah membentangkan dan meluluskan beberapa undang-undang baru serta beberapa pindaan terhadap undang-undang sedia ada. Ini termasuk pindaan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan penggubalan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015 (POCA) yang telah banyak mencetus kontroversi.
Masalah dan kecacatan POTA dan POCA telah banyak diperbincangkan oleh ahli-ahli Parlimen, ahli akademik dan peguam-peguam. Saya tidak berhasrat mengulangi atau mendalami hujah mereka di sini. Malah, tujuan saya adalah untuk mempersoalkan dasar dan keutamaan Kerajaan dalam membentangkan rang undang-undang di Parlimen.
Apakah POTA, POCA dan SOSMA yang tidak bermanfaat dan kontroversi didahulukan sehingga perkara-perkara yang jauh lebih mendesak, telah lama diperbincangkan, dan tiada bantahan seperti Rang Undang-undang Air Minum Yang Selamat (Safe Drinking Water Bill) ditangguhkan tanpa sebab.
Menurut rekod Parlimen, RUU yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada persidangan ini termasuklah berikut:
- RUU Pencegahan Keganasan 2015 [POTA]
- RUU Langkah-langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015
- RUU Penjara (Pindaan) (No.2) 2015
- RUU Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015 [POCA]
- RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2015
- RUU Hasutan (Pindaan 2015)
- RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2015
- RUU Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) (Pindaan 2015) [SOSMA]
- RUU Keterangan (Pindaan) 2015
- RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015
- RUU Suruhanjaya Sekuriti (Pindaan 2015)
- RUU Kumpulan Wang Persaraan (Pindaan) 2015
- RUU Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Pindaan) 2015
- RUU Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Pindaan) 2015
- RUU Ahli Kimia (Pindaan) 2015
- RUU Perbekalan Tambahan (2014) 2015
Menurut laporan akhbar, sebahagian besar RUU yang dibentangkan oleh Kerajaan di atas khususnya RUU POTA, POCA dan SOSMA mengundang kritikan yang keras dari pembangkang dan NGO tetapi Kerajaan BN masih berkeras memaksa undang-undang tersebut diluluskan di Dewan Rakyat. Atas nama memerangi keganasan, Kerajaan BN menumpukan sepenuh tenaga untuk menggubal undang-undang zalim POTA, POCA dan SOSMA yang membenarkan tahan tanpa bicara yang boleh disalahgunakan.
Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan kerajaan meluluskan undang-undang tersebut. Pada masa yang sama, adalah sungguh mengecewakan kerana RUU Air Minum Yang Selamat yang sudah bertahun-tahun dibincang sekali lagi tidak dibentang kali ini.
Untuk makluman semua, tugas untuk memantau kualiti air minum yang dibekalkan kepada pengguna diletakkan di bawah Kementerian Kesihatan. Piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan telah lama dibuat berdasarkan Piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Akan tetapi, buat masa sekarang apabila syarikat pembekal air gagal mematuhi Piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan, tiada apa-apa undang-undang yang boleh digunapakai untuk memdakwa mereka yang bersalah dan bertanggungjawab di Makhamah.
Akibatnya, tahun demi tahun, rakyat di seluruh Malaysia, khususnya penduduk Kluang yang saya wakili terpaksa untuk menggunakan air paip yang keruh, berbau dan pada suatu ketika, bercacing. Sepanjang tempoh dua tahun saya bekerja sebagai Ahli Dewan Negeri Kawasan Mengkibol, Johor, aduan tentang kualiti air minum diterima setiap minggu.
Kuasa kerajaan negeri hanya terhad kepada air mentah manakala untuk air terawat dan air minuman, kuasa membuat undang-undang dan penguatkuasaan adalah pada Kerajaan Persekutuan.
Cadangan untuk menggubal Akta Air Minum yang Selamat sudah lama dibincang. Contohnya, pada Jun 1, 2006, kerajaan telah mengenalpasti keperluan dan kajian dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (http://kpdnkk.bernama.com/newsBm.php?id=201239&).
Pada Disember 2013, Kementerian Kesihatan telah mengumumkan seranta awam atas talian untuk RUU Akta Air Minum Yang Selamat di laman web (http://www2.moh.gov.my/news/2251). Perkara ini juga pernah dibawa ke Dewan Rakyat pada persidangan 27 Oktober 2014 oleh Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong.
Pada Jun 2014, saya dimaklumkan oleh seorang pengarah di Kementerian Kesihatan bahawa draf RUU Air Minuman Yang Selamat tersebut telahpun siap dirangka dan pada masa itu berada di Jabatan Peguam Negara. Jadi apakah sebab rang undang-undang tersebut masih diperlengah-lengahkan lagi?
Dengan itu, saya menggesa Menteri Kesihatan S. Subramaniam dan Peguam Negara Abdul Ghani Patail supaya memberi keutamaan kepada akta yang menjamin kesihatan dan hak jutaan rakyat Malaysia. RUU Akta Air Minuman Yang Bersih harus dibentang dan dibahas pada sidang Dewan Rakyat yang akan datang bermula 18 Mei 2015.
Parlimen adalah tempat di mana undang-undang yang menjamin hak dan keesejahteraan rakyat digubal, bukannya tempat untuk membuat undang-undang zalim seperti POTA, POCA dan SOSMA.