Skip to content

Vaksinasi masih merupakan jalan keluar daripada pandemik COVID-19

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan , Khairy Jamaluddin seharusnya tidak menabur kekeliruan awam dengan menyatakan bahawa dia sekarang mengelak istilah “imuniti kelompok”, apabila ini adalah dasar utama Kerajaan PN dan sasaran Program Imunisasi Kebangsaan (PICK), yang menelan belanja dana awam RM5 bilion. Khairy mengatakan dia sekarang memilih untuk menggunakan istilah “imunisasi”, dan menyedari bahawa vaksin bukanlah penyelesaian yang terjamin untuk pandemik.

DAP terkejut kerana Khairy mengatakan bahawa vaksinasi bukanlah penyelesaian yang terjamin untuk pandemik COVID-19 sedangkan itulah yang sedang berlaku di seluruh dunia. Banyak negara telah dibuka semula kerana kejayaan program imunisasi mereka sehingga kita dapat melihat stadium bola sepak dipenuhi orang yang menyaksikan kejuaraan bola sepak UEFA Euro 2020. Sebaliknya Malaysia berada dalam ‘total lockdown’. Jelas, vaksinasi masih merupakan jalan keluar daripada pandemik COVID-19.

Kerajaan PN telah dikritik hebat kerana bersikap sambil lewa dalam menempah dan mendapatkan vaksin yang mengakibatkan kelewatan penghantaran. Sebagai tindak balas, Khairy telah menyalahkan negara-negara Barat kerana membolot bekalan vaksin di atas ketidakcekapan Kerajaan PN untuk mendapatkan vaksin dengan segera. Namun, masalah seperti itu nampaknya tidak dihadapi Singapura dan Indonesia.

Adakah Khairy ingin mengatakan kepada rakyat Malaysia bahawa kita mungkin membelanjakan RM5 bilion dengan sia-sia untuk mencapai sasaran vaksinasi 80 peratus penduduk bagi mencapai “imuniti kelompok” terhadap COVID-19 menjelang 31 Disember 2021? Jangan lupa, PN telah dikritik hebat kerana menyalahgunakan kuasa darurat untuk meminda Akta Kumpulan Wang Amanah Negara tanpa kelulusan Parlimen bagi menggunakan RM5 bilion untuk PICK.

Khairy perlu menjelaskan secara terbuka pernyataannya dalam webinar yang dianjurkan oleh Oxford & Cambridge Alumni Network Malaysia pada 16 Jun bahawa imuniti kelompok bukanlah penyelesaiannya. Menambah kekeliruan dasar mengenai imuniti kelompok, Perdana Menteri Mahiaddin Md Yasin terus menggunakan istilah tersebut beberapa hari yang lalu. Jadi adakah Kerajaan PN telah berubah-ubah fikiran lagi sama ada mereka telah mengabaikan matlamat imuniti kelompok?

Benarkan Rakyat Malaysia Membayar Kos Pentadbiran Sebanyak RM45 Setiap Dos Bagi Mendapatkan Vaksin Percuma Seperti Syarikat Di Bawah Inisiatif PIKAS.

Khairy dengan berani mengakui kesilapannya untuk membuka pendaftaran vaksin kepada semua rakyat Malaysia, muda dan tua, walaupun keutamaan vaksinasi diberikan kepada warga emas pada fasa pertama. Khairy mengakui bahawa Malaysia sepatutnya belajar dari United Kingdom atau Singapura, yang membuka pendaftaran vaksin secara berperingkat mengikut kumpulan usia, yang mengakibatkan jumlah kematian lebih rendah di kalangan kumpulan warga emas yang berisiko tinggi.

Khairy juga perlu menjawab persoalan masyarakat bahawa rakyat Malaysia yang mampu, tidak boleh membayar kos pentadbiran bagi mendapatkan vaksin percuma seperti syarikat yang membayar untuk mengambil bahagian dalam inisiatif Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI). Sekiranya syarikat boleh membayar kos pentadbiran sehingga RM45 setiap dos bagi mendapatkan vaksin percuma untuk pekerjanya, termasuk pekerja asing, mengapa tidak membenarkan rakyat Malaysia menerima kemudahan yang sama untuk membayar bagi mendapatkan vaksin percuma?