Disebabkan pelbagai faktor, tahap kesedaran pengambilan vaksin dalam kalangan penduduk Negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan adalah agak rendah berbanding dengan semua Negeri di Semenanjung Malaysia.
Bagi ketiga-tiga negeri ini, pendaftaran untuk suntikan vaksin adalah terendah, manakala jumlah penduduk yang gagal hadir temujanji vaksin juga amat serius.
Setakat ini, ketiga-tiga negeri ini menghadapi dua masalah utama. Yang pertamanya, kadar vaksinasi agak lambat. Ramai penduduk yang telah membuat pendaftaran sejak beberapa bulan lagi masih menunggu temujanji vaksin diberi kepada mereka. Akibat daripada situasi pandemik yang semakin ketara, golongan tersebut semakin khuatir kerana tidak menerima sebarang jawapan.
Kedua, kadar pendaftaran suntikan vaksin agak rendah. Setakat 6 Jun, kadar pendaftaran suntikan vaksin bagi Pahang, Kelantan dan Terengganu adalah 43.36%、36.83% dan 43.28%, iaitu kadar pendaftaran yang paling rendah berbanding dengan semua negeri di Semenanjung Malaysia.
Dengan kata lain, meskipun bekalan vaksin mencukupi pada masa akan datang, lebih daripada separuh vaksin tidak diperlukan dalam ketiga-tiga negeri ini.
Yang lebih ketara, Kelantan dan Pahang juga mencatatkan kadar penduduk gagal hadir temujanji vaksin yang amat tinggi.
Berdasarkan berita yang dipaparkan oleh Utusan Melayu pada 26 Mei, sebanyak 10,000 penduduk masing-masing di Kelantan dan Terengganu tidak hadir temujanji vaksin.
Selain itu, menurut data yang diumumkan oleh Menteri Besar Pahang, iaitu dalam negeri Pahang, Raub merupakan daerah paling tinggi mencatatkan jumlah ketidakhadiran iaitu 45 %, diikuti Pekan (43 %), Maran (40%), Bera (28%), Bentong dan Jerantut (22 %), Temerloh (18 %), Rompin (17%), Kuantan (15 %), Lipis (14 %) dan Cameron Highlands (9 %).
Terdapat pelbagai jenis sebab di mana penduduk tidak berhasrat untuk membuat pendaftaran atau tidak hadir temu janji.
Antara sebab tidak berhasrat membuat pendaftaran adalah sesetengah penduduk meragui status halal vaksin, terpengaruh dengan berita tidak sahih mengenai pemvaksinan, tidak mempercayai vaksin dan matlamat imunisasi kelompok dan sebagainya.
Di samping itu, sebab-sebab tidak hadir temujanji suntikan vaksin termasuk tidak menyemak aplikasi MySejahtera, sukar menghubungi penduduk luar bandar, sukar menghadiri pusat vaksinasi kerana jarak jauh dari rumah, khuatir terhadap kesan suntikan vaksin kerana terpengaruh dengan berita palsu, dan sebagainya.
Lebih-lebih lagi, masalah akan timbul selepas penduduk tidak hadir janji temu suntikan vaksin. Contohnya, vaksin tersebut berkemungkinan akan terbazir, manakala penduduk lain menganggap bahawa mereka boleh mendapat vaksinasi secara “walk-in”.
Maka, penduduk yang berminat berkumpul tanpa temujanji dan mengakibatkan kehuru-haraan di sesetengah pusat vaksinasi. Selain itu, khabar angin juga tersebar bahawa sesetengah pemimpin parti tempatan menyalahgunakan kuasa untuk memasukkan nama “orang sendiri” dalam senarai menunggu vaksin.
Sekiranya Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin boleh menunaikan janji untuk membekalkan vaksin yang mencukupi dan membuka lebih banyak pusat vaksinasi, kadar vaksinasi akan meningkat dan mencapai sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan, iaitu memberi suntikan vaksin kepada 80% rakyat Malaysia sebelum bulan Februari 2022.
Jika melihat perbandingannya, kadar pendaftaran suntikan vaksin yang rendah merupakan masalah yang jauh lebih ketara.
Masalah ini berkaitan dengan tahap kesedaran rakyat tentang vaksinasi, namun sukar diselesaikan dalam masa terdekat kerana berita palsu yang sering tersebar luas membawa impak negatif ke atas tahap keyakinan mereka.
Namun, disebabkan keadaan pandemic yang semakin ketara, kita tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk meningkatkan kesedaran seluruh rakyat terhadap vaksinasi secara berperingkat.
Demi mencapai sasaran komuniti kelompok, saya berpendapat bahawa kerajaan harus mewajibkan seluruh rakyat untuk menerima vaksin melalui penggubalan undang-undang, dan pengecualian hanya diberi kepada rakyat yang mempunyai bukti doktor.
Walau bagaimanapun, bagi penduduk luar bandar dan pedalaman, kerajaan tidak mampu mendirikan pusat vaksinasi berskala besar disebabkan kepadatan penduduk yang rendah dan jarak yang agak jauh. Pendekatan biasa iaitu membuat pendaftaran dan menunggu temujanji adalah tidak efektif bagi golongan tersebut, maka sasaran imuniti kelompok sukar dicapai.
Maka, saya mencadangkan bahawa setelah bekalan vaksin stabil, pihak kerajaan seharusnya melaksanakan strategi Vaksinasi Oportunistik (Opportunistic Vaccination) di ketiga-tiga negeri di Pantai Timur serta Sabah dan Sarawak agar mencapai sasaran imunisasi kelompok (herd community) secepat mungkin.
Melalui strategi ini, kerajaan boleh membekalkan vaksin dalam kuantiti besar kepada hospital, klinik kesihatan komuniti, klinik bergerak agar pihak berkenaan boleh memberi suntikan vaksin kepada mana-mana penduduk yang hadir untuk menerima perkhidmatan medikal.
Tanpa mengambil kira penduduk berhasrat mendapatkan khidmat nasihat kesihatan, menderma darah, memohon rawatan susulan, discaj dari hospital, menemani pesakit dan sebagainya, suntikan vaksin boleh diberi kepada sesiapa yang melawat ke hospital atau klinik berkenaan tanpa memerlukan pendaftaran yang memakan masa.
Selain itu, pasukan perkhidmatan kesihatan luar bandar yang sering membekalkan perkhidmatan kesihatan secara bergerak di kawasan pedalaman juga boleh membawa vaksin sekali agar memberi suntikan vaksin kepada penduduk tempatan termasuk budak-budak tanpa mengikuti syarat-syarat keperluan yang ditetapkan untuk penduduk kawasan bandar.
Pada 6 Jun, Malaysia mencatatkan 30 kluster Covid-19 terbaharu, iaitu rekod tertinggi sejak pandemik ini melanda negara kita. Kerajaan perlu sedar bahawa virus Covid-19 telah merebak dalam seluruh negara, maka kita tidak boleh membazirkan masa lagi dan perlu mengambil pendekatan drastik untuk mengatasi masalah kesedaran tentang vaksinasi yang rendah dalam golongan penduduk luar bandar dan kawasan pedalaman.
Oleh itu, Strategi Vaksinasi Oportunistik adalah salah satu pendekatan yang haruslah dilaksanakan.