Wakil Rakyat DAP perlu terus menggesa dan menyuarakan tanpa gentar dan pilih kasih untuk vaksinisasi yang lebih pantas dan kemudahan kesihatan yang lebih baik bagi memerangi lonjakan jangkitan Covid-19 di Pulau Pinang yang hampir mencecah 1,000 kes semalam. Ini berikutan penurunan dalam vaksinisasi daripada 30,000 dos harian yang disasarkan di Pulau Pinang dicapai bulan lepas kepada 23,369 dos harian pada 7 Ogos. Untuk bulan Ogos, sasaran 30,000 hanya tercapai sekali sahaja pada 5 Ogos, dengan jumlah vaksinisasi harian paling rendah sebanyak 21,614 dos pada 1 Ogos.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow telah berkata tentang mencapai 40,000 dos harian pada bulan ini tetapi dengan bekalan vaksin yang tidak menentu, mungkin sukar untuk sekadar mencapai sasaran purata 30,000 dos harian. Mampukah kerajaan persekutuan menjamin penghantaran segera untuk membolehkan 40,000 dos harian dicapai menjelang hujung Ogos? Vaksinisasi ialah satu-satunya perlindungan terhadap risiko kematian yang tinggi akibat Covid-19. 99% pesakit Covid-19 dalam Kategori 5 pada 7 Ogos belum menerima vaksin.
Kementerian Kesihatan juga perlu menyalurkan sumber yang lebih banyak kepada melebarkan sistem sokongan kesihatan kita, seperti lebih banyak katil ICU. Jabatan Pesakit Luar Hospital Pulau Pinang terpaksa ditukar menjadi wad pemerhatian dan rawatan awal pesakit Covid-19 berikutan peningkatan mendadak pesakit Covid-19 yang dihantar ke Jabatan Kecemasan dan Trauma dan dimasukkan ke wad hospital. Jabatan Kesihatan Negeri berkata bahawa dengan penutupan sementera tersebut, klinik-klinik kesihatan di daerah timur laut telah bersiap siaga untuk menerima pesakit luar dengan bantuan pegawai perubatan daripada Jabatan Pesakit Luar hospital.
Dalam kita ingin bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk memerangi Covid-19 dan meningkatkan kadar vaksinisasi, wakil rakyat DAP perlu menyuarakan secara tegas demi kepentingan rakyat Pulau Pinang apabila pegawai ataupun kerajaan persekutuan gagal menunaikan janji mereka. Masanya sudah tiba untuk mengenepikan perbezaan politik dan menggunakan kepakaran profesional bagi memastikan sebarang halangan yang mengekang pemberian vaksin, rawatan dan saringan massa dengan segera dapat diselesaikan dengan pantas.
Satu operasi yang sama dengan Operasi Lonjakan Kapasiti (OSC) di Lembah Klang yang mempromosikan koordinasi rapat antara kerajaan persekutuan dan negeri patut dilaksanakan serta merta untuk Pulau Pinang. Menteri yang bertanggungjawab ke atas program vaksinisasi, Khairy Jamaluddin telah melantik Ahli Parlimen DAP Bangi Dr. Ong Kian Ming sebagai penyelaras OSC Lembah Klang mewakili kerajaan negeri Selangor. OSC berkesan untuk mempercepatkan kadar vaksinisasi dengan Lembah Klang kini merekodkan hampir 100% populasi dewasa menerima dos pertama.