Skip to content

Wakil rakyat Johor harus nyatakan pendirian

YAB Perdana Menteri harus memaklumkan rakyat apakah sebab sebenarnya rombakan Jemaah Menteri yang dijalankan pada 28 Julai 2015 khasnya tindakan beliau melucutkan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Rakyat khasnya warga Johor tertanya-tanya tentang perkara ini dan mengaitkannya dengan pendirian tegas bekas TPM dalam skandal 1MDB.

Kita akui bahawa dalam sistem Westminister yang diamalkan oleh Malaysia PM mempunyai prerogatif untuk melantik dan menggugurkan mana-mana anggota Jemaah Menteri. Bagaimana pun, isu yang harus ditekankan di sini ialah ketelusan keseluruhan proses dan rakyat berhak mengetahui sebab-sebab pemimpin yang dipilih mereka dilucutkan daripada amanah yang diberikan sebelum ini.

Terdapat 21 orang ahli Dewan Rakyat dari Johor, mereka diingatkan bahawa mereka telah diberikan amanah daripada rakyat dan harus menjawab kepada rakyat tentang pendirian dalam isu yang melibatkan kepentingan seluruh rakyat termasuk warga Johor. Saya berasa kecewa dengan tindakan YB Tan Sri Datuk Seri Utama Shahrir Abdul Samad membela PM dalam suatu program wawancara semalam. Selama ini beliau terkenal dengan keberanian dan kelantangan beliau berpegang kepada prinsip. Sehubungan itu, saya amat menaruh harapan kepada seorang lagi tokoh yang juga terkenal dengan kelantangan beliau iaitu YB Datuk Nur Jazlan bin Mohamed, Ahli Parlimen kawasan Pulai. Adakah beliau akan terus berani dan lantang dalam mempertahankan amanah yang diberikan oleh rakyat?

Ahli-ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional dan Menteri Besar negeri Johor juga didesak menyatakan pendirian mereka secara terbuka berkenaan isu 1MDB ini ekoran daripada rombakan baru-baru. Adakah pemimpin UMNO Johor akan menjadi pak turut kepada PM sehingga tiada seorang pun yang berani berdiri bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin, seorang pemimpin yang berasal dari Johor yang dipecat kerana kelantangan suara beliau mempersoalkan isu skandal kewangan 1MDB?