Keputusan beberapa orang wakil rakyat dan pemimpin UMNO untuk meninggalkan UMNO baru-baru ini telah mengundang kebimbangan ramai pihak. Bukan sahaja itu, penerimaan beberapa orang wakil rakyat tersebut menganggotai PPBM pula telah menambah berbagai spekulasi dan analisa, lantas memanaskan iklim politik negara. Antara yang paling lantang mengkritik pula adalah penyokong-penyokong Pakatan Harapan sendiri.
Mana-mana wakil rakyat berhak untuk membuat keputusan sama ada parti yang didukungi beliau masih selari dengan pegangan dan perjuangannya sendiri. Merenung kembali lipatan sejarah, Parti Amanah Negara juga diasaskan sekumpulan ahli dan pemimpin PAS yang berpendapat bahawa PAS telah tergelincir daripada perjuangan asalnya.
Seseorang wakil rakyat berhak membuat keputusan untuk kekal bersama atau meninggalkan parti; sama seperti seseorang pengundi berhak untuk kekal menyokong mana mana wakil rakyat dan parti atau beralih menyokong pihak yang lain.
Masalah yang timbul adalah sama ada mereka yang menentang PH atas tiket BN sewaktu pilihanraya umun ke-14, betul-betul tulus dan jujur bercerai dan meninggalkan UMNO? Apatah lagi, sekiranya mereka kini memilih untuk menyertai parti komponen Pakatan Harapan, yang dahulu mereka lawan; motif dan nawaitu di sebalik keputusan itu harus diperbetulkan.
Adakah ia sekadar sebahagian daripada sandiwara politik dan percaturan tersirat sesetengah pihak untuk memusatkan kekuasaan? Adakah ia tindakan menyelamatkan diri daripada kapal bernama UMNO yang sedang karam? Adakah ia kerana mereka tidak mampu meggalas tanggungjawab dan cabaran sebagai wakil rakyat pembangkang? Adakah ia kerana mereka merasa malu atas pendedahan salah laku pimpinan UMNO yang mereka tidak sedar atau enggan percaya selama ini?
Apa jua sebab atau alasan, rakyat berhak mengetahuinya. Biarlah rakyat membuat penilaian.
Pendirian saya jelas. Pada PRU14, suatu revolusi aman telah berlaku terhadap lanskap politik Malaysia, dan jalan untuk kembali ke amalan BN zaman dahulu telah pun dimusnahkan sama sekali.
Tidak wujud lagi ruang bagi penguasa bermaharajalela, malah buat pertama kali dalam beberapa dekad kita dapat menyaksikan dasar kerajaan diubah atas desakan rakyat. Walaupun ia sesuatu yang memalukan kerajaan, tetapi ia adalah kemenangan di pihak rakyat. Kerajaan sememangnya harus tunduk kepada rakyat; bukan sebaliknya.
Kita juga hidup dalam satu zaman baharu, di mana kematangan politik dalam kalangan rakyat adalah amat memberansangkan.
Pengasas parti UMNO, Dato’ Onn Jaafar pernah berhasrat untuk membuka keahlian UMNO pada tahun 50’an kepada semua penduduk Tanah Melayu tanpa mengira kaum. Malangnya cadangan beliau ditolak oleh ahli-ahlinya, sehingga beliau terpaksa meninggalkan parti yang diasaskannya sendiri.
Bekas pimpinan UMNO yang mahu berhijrah ke wadah yang lain, mestilah mengikut rentak, budaya dan peraturan yang sama sekali berbeza. Malah, mereka yang kekal dalam UMNO pun kini terpaksa menjalani hidup dalam realiti yang jauh berlainan ini.
Persoalan yang harus diberi tumpuan bukanlah sama ada mereka yang keluar UMNO akan diterima oleh parti-parti Harapan, tetapi sama ada mereka sebenarnya pernah bersubahat dengan kemungkaran dan kezaliman yang menjadi amalan pimpinan UMNO. Sekiranya mereka tidak terlibat atau bersubahat, sudah tentu mereka boleh sahaja berkongsi maklumat yang akan dapat membantu siasatan segala salah laku rejim terdahulu.
Sekiranya mereka ingin bertaubat dan ikhlas hendak menebus kesalahan lampau serta bersungguh-sungguh mahu memperbaiki apa yang buruk, tidak ada masalah untuk kita menerima keputusan mereka untuk keluar UMNO.
Pun begitu, DAPSY tegas tidak menyokong mana-mana wakil rakyat yang berasal UMNO/BN, diterima masuk menganggotai DAP sehinggalah kami berpuas hati individu berkenaan tidak bersubahat dalam kezaliman dan kemungkaran kerajaan dahulu.
Kami dengan rendah hati menyarankan agar rakan-rakan komponen PH juga turut mengambil pendirian dan pendekatan yang serupa.
Hakikatnya, UMNO pimpinan Onn Jaafar juga pernah mempunyai nilai-nilai teras yang selari dengan matlamat ‘Malaysia untuk rakyat Malaysia’ yang menjadi asas perjuangan DAP – meski cara menginterpretasinya pasti sahaja jauh berbeza.
Sesebuah parti berdiri kerana roh yang ditiupkan pucuk pimpinan dan anggotanya di peringkat akar umbi. Di persimpangan sejarah ini, UMNO sepatutnya kembali bermuhasabah dan mencari erti sebenar perjuangannya demi rakyat Malaysia keseluruhannya; bukan sekadar demi tembolok masing-masing atau kepentingan kelompok tertentu sahaja. Ia patut sedar bahawa itulah punca ia kecundang dalam PRU yang lalu.
Malaysia memerlukan barisan pembangkang yang kuat dan berfungsi demi memastikan demokrasi di negara ini tidak wujud dalam keadaan yang cacat, apabila parti pembangkangnya habis melarikan diri masuk parti kerajaan kerana tidak tahu bagaimana untuk berfungsi dalam sebuah demokrasi yang matang.
UMNO seharusnya menyedari hal ini dan memperbetulkan partinya segera. Bukan bertindak cabut lari membelakangkan masalah.