Skip to content

Wan Saiful yang perlu membuktikan bahawa risalah “Bahan Kempen Komunikasi BN” adalah penerbitan BN, siapa yang bertanggungjawab untuk penerbitan ini, dan juga bila ia diterbitkan

Selepas pendedahan oleh Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng, di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang mengatakan bahawa Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Mohamad Hasan, tidak tahu menahu mengenai sebuah risalah yang kononnya diterbitkan oleh BN yang bertajuk “Bahan Kempen Komunikasi BN”, tanggungjawabnya kini jatuh kepada Wan Saiful untuk membuktikan bahawa risalah ini adalah penerbitan BN, dan menunjukkan siapa yang bertanggungjawab terhadap penerbitannya serta bila risalah ini diterbitkan.

Dokumen ini kononnya digunakan BN dalam kempen pilihan raya umum ke-15.

Bekas ketua perhubungan Bersatu itu telah mencabar Guan Eng untuk menyaman BN atas tuduhan yang dibuat oleh Ahli Parlimen PAS untuk Kepala Batas, Siti Mastura Mohamad, yang mengatakan kononnya Guan Eng dan saya ada pertalian kekeluargaan dengan pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng, dan juga Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew – yang disebut Mastura sebagai “Lim” Kuan Yew.

Namun, kini tanggungjawabnya jatuh kepada Wan Saiful untuk membuktikan yang risalah ini diterbitkan oleh BN, dan untuk mendedahkan siapa yang bertanggungjawab ke atas penerbitan ini serta bila ia diterbitkan.

Perkara ini merupakan simptom yang menandakan kemerosotan berterusan negara kita serta kegagalan kita untuk membetulkan hala tuju negara untuk bangkit semula sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia sekiranya sistem pendidikan dan politik negara terus dikenali dengan profesor-profesor kangkong, Ahli-ahli Parlimen yang buta media, dan pemegang ijazah doktor falsafah yang gagal untuk mengenal pasti penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian.

Perkara ini membuatkan saya tertanya-tanya, mengapakah pihak Pembangkang hari ini, sama ada dari Bersatu atau PAS, menarik tokoh-tokoh yang terburuk dari masyarakat Malaysia, dan bukannya menonjolkan tokoh-tokoh yang terbaik. Adakah parti-parti politik ini mampu untuk berubah atau adakah mereka akan membawa kita ke arah menjadi sebuah negara yang gagal, berpecah belah, dan kleptokratik.

Saya gesa Yang di Pertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, dan Menteri Pendidikan Tinggi, Khaled Nordin, serta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, untuk memandang serius terhadap isu kemerosotan sistem politik dan pendidikan negara dan untuk mereka ini mengambil tindakan yang sewajarnya sebelum terlalu lambat.