Rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan oleh betapa besarnya kes korupsi yang melibatkan 1MDB dan mantan Perdana Menteri Najib Razak apabila semalam, pihak polis mendedahkan jumlah nilai baranganan yang dirampas pada bulan lepas.
Setelah mengambil masa lebih daripada sebulan untuk mengira dan menilai, pihak polis akhirnya menganggarkan jumlah nilai rampasan adalah sekitar RM900 juta hingga RM1.1 billion. Ini termasuk RM116 juta dalam bentuk wang tunai, lebih 12,000 keping barang kemas, dan 567 beg tangan.
Sudah tentu ini belum lagi termasuk aset, wang, dan barangan bernilai yang disimpan oleh Najib dan rakannya yang lain di luar negara.
Najib telah menyatakan bahawa barang rampasan tersebutan adalah “hadiah” daripada pemimpin luar negara dan rakan-rakan peribadinya. Kenyataan ini menunjukkan bahawa Najib sekali lagi ingin memperbodohkan rakyat kerana sebab yang hampir sama diberikan oleh beliau ketika menyatakan bahawa RM2.6 billion yang dimasukkan ke dalam account peribadi beliau pada 2013 ialah “derma” daripada seorang putera Saudi.
Nampaknya, Najib belum lagi sedar akan kesilapannya.
Perhatian pada Sistem Pembiayaan Politik
Lebih merisaukan lagi, Najib turut menyatakan bahawa RM116 juta wang tunai yang dirampas itu merupakan wang untuk membiayai perbelanjaan pilihan raya dalam PRU14. Ini juga adalah sama dengan akuan beliau dahulu, yang turut disokong oleh beberapa orang Menteri, bahawa RM2.6 billion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya pada 2013 adalah untuk membiayai kempem PRU13 Barisan Nasional.
Maka, isu sistem pembiayaan politik (political financing) adalah isu yang amat penting untuk diberi perhatian oleh pihak kerajaan dan ahli-ahli parlimen.
Pada waktu ini, terdapat kelemahan dari segi perundangan dan kawalan dalam pembiayaan politik, yang menyebabkan kejadian sebegini, di mana ahli-ahli politik boleh melepaskan diri dengan menyatakan bahawa wang korupsi adalah “derma” untuk tujuan piliha raya.
Ini turut menyebabkan kejadian di mana calon-calon pilihan raya membeli undi dengan memberi wang dan pelbagai barangan bernilai kepada pengundi-pengundi dalam PRU yang lepas.
Pakatan Harapan perlu menunjukkan kepimpinan dalam meformasikan sistem pembiayaan politik
Dalam wawancara yang sama, Najib juga telah menuduh bahawa Pakatan Harapan telah membantah dan menolak reformasi pembiayaan politik, walaupun pada hakikatnya beliau mempunyai kuasa penuh untuk mencadangkan dan meluluskan undang-undang pembiayaan politik ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
Oleh itu, kerajaan Pakatan Harapan dan ahli-ahli parlimen perlu mengambil langkah segera untuk merangka undang-undang mengenai pembiayaan politik. Ini adalah untuk memastikan supaya korupsi dan penyalahgunaan dana untuk pilihan raya tidak akan berlaku lagi.
Sebagai langkah pertama, Pakatan Harapan perlu menunaikan janji di dalam manifestonya untuk mewujudkan mekanisme pembiayaan politik yang berintegriti dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk menyemak cadangan-cadangan yang lalu dan menyediakan draft Akta Kawalan Pembiayaan Politik.
Pakatan Harapan perlu berani dan menunjukkan kepimpinan dalam membentuk sistem politik yang lebih terbuka, telus, dan akauntable. Sekaranglah masanya untuk Malaysia berubah menjadi sebuah negara demokrasi yang berfungsi.
Untuk ini berlaku, Pakatan Harapan harus menerajui inisiatif ini dan menunjukkan kepada Najib bagaimana untuk melakukannya.