Skip to content

Warga asing lebih mudah ‘cari makan’ di Malaysia

Malaysia telah menjadi sasaran warga asing untuk mencari nafkah hidup. Mereka datang ke negara ini untuk ‘mencari makan’. Hari ini lebih kurang 6 juta warga asing berada di negara ini. Sebahagian besar daripada golongan ini berada di negara kita tanpa sebarang dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.

Warga asing memasuki negara kita untuk bekerja di sektor-sektor yang berisiko tinggi dan kotor. Kerja-kerja seperti ini tidak diminati oleh pekerja tempatan. Tetapi, hari ini, warga asing telah memasuki sektor-sektor lain dan mewujudkan persaingan yang tidak sihat kepada pekerja tempatan.

Walaupun kerajaan menegaskan bahawa peluang pekerjaan harus diberikan kepada pekerja tempatan terlebih dahulu, tetapi pada realitinya, keadaan adalah amat berbeza di pasaran buruh. Majikan mencari pelbagai helah untuk memilih pekerja asing kerana dapat mengurangkan kos operasinya. Perkara ini sukar dikawal kerana penguatkuasan tidak lancar dan mungkin terdedah dengan unsur-unsur rasuah.

Perkara yang lebih serius adalah penglibatan warga asing dalam aktiviti perniagaan dengan menggunakan lesen milik warga tempatan. Pihak Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengeluarkan Pekeliling Pengeluaran Permit Perniagaan Kecil oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada 30 Jun 2008. Tetapi, perlaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang adalah tidak berkesan dan dicurigai.

Ramai warga asing membuat perniagaan di negara kita walaupun ada peraturan yang menghadkan Pengeluaran Perniagaan Kecil dikeluarkan kepada warganegara Malaysia sahaja. Warga asing menjalankan perniagaan secara bebas tanpa pemilik permit berada di tempat berniaga. Syarat bahawa pemilik permit perlu berada di premis perniagaan pada sepanjang masa dilanggari secara terbuka.

Fenomena warga asing berniaga di Malaysia telah menjadi perkara lumrah dan diterima tanpa disedari oleh rakyat tempatan. Pihak Berkuasa Tempatan juga bersikap ‘tutup mata’ dalam hal ini.

Kerajaan harus mengambil tindakan tegas menghalang warga asing berniaga di negara ini. Jika tidak, sumber rezeki anak tempatan akan direbut oleh warga asing. Kerajaan seharusnya lebih prihatin dalam menjaga hak dan kebajikan warga tempatan terlebih dahulu.