Skip to content

Wee Ka Siong harus berhenti membisu dan mengarahkan kedua-dua Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan Penang Port Sdn Bhd untuk menghentikan persiapan menamatkan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang ikonik tetapi sebaliknya segera memudahkan penerusan perkhidmatan seperti biasa pada 1 Januari 2021

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong harus berhenti membisu dan mengarahkan kedua-dua PPC dan PPSB menghentikan persiapan menamatkan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang ikonik tetapi sebaliknya memudahkan penyambungan segera perkhidmatan seperti biasa pada 1 Januari 2021. Sejak Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memenuhi permintaan saya di Parlimen pada 17 Disember 2020 untuk meneruskan perkhidmatan feri yang berusia 126 tahun, masih belum ada sebarang makluman daripada Wee, PPC dan PPSB sama ada perkhidmatan itu akan diteruskan seperti yang diarahkan.

Wee telah memilih untuk menyebarkan pembohongan bahawa saya telah membuat keputusan untuk menamatkan dan menggantikan perkhidmatan feri dengan katamar. Ini ternyata palsu apabila Wee tidak dapat menunjukkan bukti sedemikian. Tengku Zafrul juga telah mengesahkan bahawa saya telah meletakkan syarat secara bertulis ketika saya menjadi Menteri Kewangan, agar perkhidmatan feri Pulau Pinang dapat diteruskan sebagai pertukaran dengan pembayaran insentif tunai RM30 juta kepada PPSB.

Sebaliknya, Wee dan Pengerusi PPC Tan Teck Cheng memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan feri pada 31 Disember 2020, tanpa mempedulikan sentimen terhadap nilai sejarah dan warisannya yang unik. Tan bahkan mengatakan bahawa keputusan untuk memberhentikan feri berusia 126 tahun itu didorong oleh statistik dan ekonomi, bukannya emosi atau politik.

Jelas rakyat Pulau Pinang telah “dikhianati” oleh politik kotor pemimpin MCA di Kementerian Pengangkutan dan PPC, dalam memberhentikan perkhidmatan feri Pulau Pinang secara sendirian tanpa mengambil kira pendapat bukan sahaja 1.7 juta orang rakyat Pulau Pinang tetapi juga rakyat Malaysia yang menyayangi warisan. Tan bahkan memberitahu media Cina bahawa dia terkejut dengan pusingan-U yang diumumkan oleh Tengku Zafrul untuk meneruskan feri Pulau Pinang dan bahkan mempersoalkan adakah Tengku Zafrul telah membuat keputusan yang betul.

Sekiranya Wee dan Tan memilih untuk menentang arahan Menteri Kewangan dengan berpura-pura bahawa tidak ada perubahan dalam keputusan untuk menamatkan perkhidmatan feri atau tidak ada pusingan U seperti dikatakan oleh Tan sendiri, maka ini akan mencetuskan pertikaian undang-undang. Mampukah Kementerian Pengangkutan mengabaikan syarat untuk meneruskan perkhidmatan feri yang dikenakan oleh Kementerian Kewangan, melalui dana RM30 juta kepada PPSB untuk memudahkan pengambilalihan perkhidmatan feri Pulau Pinang?