Skip to content

Wee Ka Siong merupakan Menteri Pengangkutan yang teruk berbanding Loke Siew Fook kerana gagal memahami peranan Malaysia Airports Holding Bhd sebagai syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong telah membuat tuduhan tidak berasas bahawa saya membantu sebuah syarikat di Pulau Pinang, Ideal Property, mendapatkan inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dalam projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA). Wee tidak dapat mendedahkan apa-apa surat dari saya ketika saya menjadi Menteri Kewangan yang mengarahkan MAHB untuk memberikan kontrak tersebut kepada Ideal Property.

Sebaliknya, Wee bergantung pada surat yang dihantar oleh Ideal Property kepada MAHB yang menyatakan minat mereka terhadap projek pembesaran itu. Ada sesuatu yang amat tidak kena dengan logik mental Wee jika surat yang menyatakan minat oleh syarikat dalam sesuatu projek dikatakan sebagai bukti salahlaku .

Ini adalah tindakan politik terdesak oleh Wee untuk mengelak tanggungjawab kerana mengkhianati rakyat Pulau Pinang dengan menghentikan projek pembesaran PIA bernilai RM800 juta, sehingga kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Nasional (NASP) yang dijangka siap hanya pada tahun 2023. Selain kekurangan bukti terhadap saya, Wee lupa empat aspek penting berbentuk institusi dan prosedur oleh PH yang nampaknya diabaikan oleh kerajaan PN sekarang.

Satu, Kementerian Kewangan di bawah PH melaksanakan tender terbuka untuk projek infrastruktur awam utama. Walaupun didakwa oleh Wee, tidak ada syarikat yang diberi hak eksklusif untuk membesarkan PIA melalui tender rundingan terus sama ada oleh MAHB atau oleh Kementerian Pengangkutan di bawah Loke Siew Fook.

Dua, MAHB telah memohon kebenaran merancang projek pembesaran PIA di bawah namanya sendiri kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang. Ini menunjukkan bahawa MAHB bermaksud untuk melaksanakan projek itu sendiri atau dengan rakan kongsi swasta melalui inisiatif pembiayaan swasta, yang mana MAHB harus pilih melalui tender terbuka. Kebenaran merancang telah diluluskan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

Tiga, MAHB adalah syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia dan tertakluk pada peraturan kawalselia yang ketat. Profil pemilikannya termasuk pegangan besar oleh rakan kongsi asing, yang akan menolak tender rundingan terus terhadap kepentingan kewangan mereka sendiri.

Empat, PH melantik profesional dan pakar bebas ke Lembaga Pengarah MAHB, termasuk bekas hakim Mahkamah Persekutuan,Tan Sri Datuk Zainun Ali sebagai Pengerusi. Lembaga Pengarah, dan bukan Kementerian Kewangan, yang akan meluluskan pemberian kontrak yang sepatutnya dilakukan melalui tender terbuka. Kerajaan PN yang ada sekarang menukar kembali pembaharuan institusi ini dengan melantik ahli politik ke Lembaga MAHB.

Keempat-empat faktor ini dan kurangnya bukti jelas menunjukkan bahawa Wee Ka Siong adalah Menteri Pengangkutan yang teruk berbanding Loke Siew Fook kerana gagal memahami peranan Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) sebagai syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia.

Wee hanya bermaksud memangsakan Pulau Pinang dengan menghentikan projek seperti pembesaran PIA yang telah diluluskan oleh PH. Inilah sebabnya mengapa DAP Pulau Pinang melancarkan kempen tandatangan secara besar-besaran (lihat: www.dappg.org/4projects) untuk mengembalikan projek pembesaran PIA ini yang dihentikan oleh Wee dan kerajaan PN.