Saya rasa lucu untuk melihat Presiden MCA Wee Ka Siong menunjukkan reaksi yang kuat terhadap wawancara saya di Mingguan Malaysia semalam berkenaan “MCA Agak Sesat”.
“MCA Agak Sesat” adalah persepsi orang ramai terhadap MCA, ia juga merupakan realiti dan dilema yang dihadapi oleh MCA. Oleh itu, Wee Ka Siong memang tidak perlu berdalih.
MCA telah kalah teruk dalam empat Pilihan Raya Umum berturut-turut sejak tahun 2008. Ini menunjukkan bahawa parti itu telah kehilangan sokongan daripada masyarakat Cina, dan ia hanya bertahan dengan bergantung pada penyokong UMNO sahaja.
Selepas berlakunya “Langkah Sheraton” pada 2020, MCA segera membentuk kerajaan dengan PAS dan parti politik lain melalui pintu belakang. Sebelum ini, MCA pernah kuat mengecam DAP kerana bekerjasama dengan PAS di bawah Pakatan Rakyat di peringkat negeri, tetapi pada 2020, MCA bertukar pendirian politik dan menampar mulutnya sendiri dengan bekerjasama dengan PAS dalam kerajaan. Bukankah ini kehilangan arah dan “sesat”?
Selain itu, selepas Pilihan Raya Umum pada November 2022 dan sebelum kerajaan persekutuan baru dibentuk, Wee Ka Siong dan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Wee Jeck Seng senyap-senyap menandatangani surat akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, dan sekali lagi bekerjasama dengan PAS yang pernah kuat dihentam berdekad-dekad oleh MCA.
Sokongan dua ahli parlimen MCA terhadap Tan Sri Muhyiddin telahpun disahkan oleh Pengerusi PAS Hadi Awang pada 30 November pada tahun yang sama, dan kedua-dua mereka memang tidak pernah menafikan tingkah laku rahsia ini.
Motif Wee Ka Siong dan rakannya menandatangani surat akuan bersumpah kepada Tan Sri Muhyiddin secara rahsia adalah semata-mata untuk menjadi menteri, sehingga sanggup tikam belakang BN, menunjukkan betapa taksubnya beliau ingin mendapatkan jawatan dalam kabinet. Ini mencerminkan MCA memang telah hilang prinsip politik dan sesat dari segi hala tuju politik.
Selain itu, PAS telah berulang kali mengeluarkan kenyataan dan dasar yang melanggari hak asasi manusia dan kebebasan individu, seperti mengenakan denda terhadap orang yang pakai seluar pendek dan sebagainya, tetapi MCA tidak melemparkan kritikan terhadap PAS seperti dahulu, bukankah ini sekali lagi menunjukkan MCA tidak berprinsip dan sesat?
Sebenarnya, adalah lebih baik bagi MCA untuk keluar dari BN dan kembali ke tangan Perikatan Nasional untuk memperbaharui hubungannya dengan Bersatu dan PAS.