Saya mewakili seluruh barisan dan jentera kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih kepada Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak sepanjang perkhidmatan sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Kelapan secara rasminya sejak tanggal 1 Mei 2021.
Sesungguhnya segala jasa, khidmat dan sumbangan Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi kepada pentadbiran Kerajaan Negeri dan negeri Pulau Pinang ibarat intan manikam bersilang nilam, cahaya melimpah serata negeri dan akan terus dikenang dalam lipatan sejarah negeri.
Saya akan senantiasa mengingati dan melaksanakan amanat yang dititipkan oleh Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi supaya negeri ini mengekalkan kestabilan politik, memperkukuh pertumbuhan ekonomi serta memperluas kesejahteraan rakyat, dengan hasil usaha bersama.
Kerendahan diri, dedikasi dan kebijaksanaan Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi juga akan senantiasa menjadi pedoman di hati sanubari barisan pimpinan dan pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam membangunkan serta memajukan negeri Pulau Pinang ke arah yang lebih baik.
Pada masa sama, dengan rendah hati, saya mewakili pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah binti Mohd. Nor atas segala sokongan dan dedikasi yang dicurahkan kepada rakyat Pulau Pinang khususnya dalam aspek kebajikan dan pembangunan wanita. Sesungguhnya, ketokohan Toh Puan ibarat bunga yang sedang mekar mengharum dalam keseluruhan taman didiami keluarga Pulau Pinang dalam keadaan yang penuh harmoni serta penuh kasih sayang.
Nukilan ini bukan sekadar kata semata-mata namun percayalah, banyak tangan yang menadahkan doa buat kesejahteraan Tun dan Toh Puan yang sangat kami sayangi dan sanjungi. Saya mewakili rakyat Pulau Pinang mendoakan agar Tun dan Toh Puan dikurniakan kesihatan yang baik, kebahagiaan dan kecukupan yang hakiki