Skip to content

Zahid mesti menjelaskan mengapa KKDW tidak tersenarai dalam belanjawan tambahan. Beliau juga mesti akur dengan teguran Anwar dan mendedahkan sumber pembiayaan JALB

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengingatkan semua kementerian supaya lebih berdisiplin dalam menguruskan perbelanjaan awam. Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh menangani setiap masalah hanya dengan menambah peruntukan.

Teguran Anwar amat berkaitan dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). Kerajaan sudah menanggung subsidi kira-kira RM40 bilion. KKDW tidak boleh menganggap wang awam sebagai cek kosong setiap kali peruntukan asalnya tidak mencukupi.

Semakan saya terhadap Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan dan anggaran perbelanjaan pembangunan tambahan bagi 2023, 2024 dan 2025 mendapati tiada peruntukan tambahan secara langsung kepada KKDW di bawah B.22 atau P.22.

Perkara 101 Perlembagaan Persekutuan menyediakan mekanisme Parlimen bagi perbelanjaan tambahan dan perbelanjaan lebih. Seksyen 15(5) Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 turut mewajibkan Menteri Kewangan menyatakan tujuan dan sumber pembiayaan bagi perbelanjaan tersebut ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan.

Ketiadaan KKDW dalam anggaran tambahan meninggalkan dua kemungkinan. Peningkatan peruntukan JALB sama ada dibiayai melalui pindahan yang diluluskan dalam peruntukan P.22 sedia ada, atau jumlah perbelanjaan P.22 KKDW telah melebihi amaun yang diluluskan oleh Parlimen.

Sekiranya dana itu diperoleh melalui pindahan dalaman, Ahmad Zahid mesti mendedahkan waran Perbendaharaan, kelulusan pindahan serta program atau projek yang peruntukannya telah dikurangkan.

Sekiranya jumlah perbelanjaan P.22 KKDW melebihi peruntukan yang diluluskan oleh Parlimen, kerajaan mesti menjelaskan mengapa KKDW tidak dimasukkan dalam anggaran perbelanjaan tambahan atau perbelanjaan lebih yang dibentangkan di bawah Perkara 101.

Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal tidak secara automatik menjadikan perbelanjaan melebihi peruntukan sebagai suatu kesalahan jenayah. Namun, ketiadaan hukuman jenayah tidak menghapuskan kewajipan kerajaan untuk mendedahkan, menjelaskan dan mempertanggungjawabkan perkara itu kepada Parlimen.

Ahmad Zahid juga merupakan anggota Jawatankuasa Dasar Fiskal yang ditubuhkan di bawah Akta tersebut. Beliau mesti menunjukkan teladan dengan memastikan perbelanjaan KKDW mematuhi disiplin fiskal yang dituntut oleh Perdana Menteri.

Kementerian Kewangan dan KKDW juga mesti mendedahkan mekanisme undang-undang serta sumber pembiayaan bagi tambahan RM300 juta yang disediakan pada 2026.

Ahmad Zahid harus menerbitkan penyata penyesuaian lengkap yang menunjukkan peruntukan asal dan akhir P.22, semua pindahan yang diluluskan serta perbelanjaan sebenar yang dicaj kepada P.22 bagi setiap tahun.

Sekiranya dokumen tersebut tidak didedahkan, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dan Ketua Audit Negara harus menyiasat sama ada pelarasan peruntukan itu mematuhi Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang kewangan yang berkaitan.