Zahid Hamidi nampaknya masih tidak dapat menerima hakikat bahawa Barisan Nasional tidak lagi berkuasa. Pada hari ini, SPR bukan budak suruhan kepada parti pemerintah seperti di bawah pemerintahan BN.
Kajian penambahbaikan bagi merapatkan jurang dalam piawaian antarabangsa berkenaan ketidak-seimbangan bilangan pengundi di antara kerusi-kerusi Parlimen sedang dijalankan oleh SPR. Itu merupakan tugas hakiki mereka yang disambut baik oleh Pakatan Harapan.
Beliau juga ada menyebut tentang penambahan kerusi DUN. Setahu saya selaku ahli EXCO Kerajaan Negeri, tidak ada lagi sebarang usul untuk meminda undang undang tubuh negeri yang dicadangkan oleh pihak SPR, ataupun oleh mana-mana ADUN di Negeri Perak. Adakah YB Bagan Datuk itu menipu semata-mata?
Sebagai Presiden UMNO yang sedang direhatkan oleh parti beliau sendiri, tuduhan yang dilemparkan beliau ini seolah-olah peribahasa ‘meludah ke langit akhirnya kena batang hidung sendiri’. Kenyataan beliau ini jelas menunjukkan bahawa UMNO melihat SPR bertindak dengan mengikut arahan parti pemerintah, seperti zaman pemerintahan Barisan Nasional.
Pada saat kerajaan dan rakyat sedang mencari jalan mengusahakan penyelesaian masalah dan kemelut yang ditinggal oleh UMNO sewaktu mereka memerintah, kenyataan Zahid yang berunsur fitnah ini sepatutnya tidak beliau utarakan.
Berpolitiklah secara berhemah bagi membawa kebaikan kepada rakyat, bukannya berhujah untuk mengundang hasutan dan cerita khayalan yang membawa kepada kebencian.